Bagaimanakah Saksi-Saksi Yehuwa Menggunakan Sumbangan yang Diterima?
Kami menggunakan sumbangan yang diterima untuk menyokong kegiatan agama kami dan memberikan bantuan kemanusiaan yang dilakukan oleh organisasi kami. Kegiatan tersebut merupakan sebahagian daripada tugas utama kami, iaitu untuk membantu orang menjadi murid Yesus Kristus.—Matius 28:19, 20.
Kami tidak pernah menggunakan sumbangan yang diterima demi keuntungan sendiri. Para penatua dan mereka yang berkhidmat dalam sidang tidak dibayar gaji. Begitu juga dengan para Saksi yang menginjil dari rumah ke rumah. Semua yang bekerja di pejabat cawangan atau di ibu pejabat, termasuk Badan Pimpinan, juga tidak diberikan upah.
Sesetengah Kegiatan Kami
Penerbitan: Setiap tahun, kami menterjemahkan, mencetak, menghantar, dan mengedarkan jutaan Bible dan bahan bacaan Bible dengan percuma. Bahan terbitan kami juga boleh dimuat turun dalam bentuk digital di jw.org dan aplikasi JW Library. Semua itu disediakan dengan percuma dan tidak mengandungi iklan.
Pembinaan dan Penyelenggaraan: Kami membina dan menyelenggarakan tempat ibadat kami di seluas dunia agar ahli sidang dapat berkumpul untuk menyembah Tuhan. Kerja pembinaan sebegitu juga dilakukan untuk pejabat cawangan dan pejabat terjemahan kami. Kerja-kerja ini biasanya dilakukan oleh sukarelawan, dan hal ini dapat mengurangkan kos.
Pentadbiran: Sumbangan untuk kerja sedunia digunakan untuk kegiatan yang dijalankan di ibu pejabat, pejabat cawangan, pejabat penterjemahan, dan bagi penyelia yang mengunjungi sidang-sidang.
Menginjil: Saksi-Saksi Yehuwa yang menyebarkan berita baik atau mengajar orang “firman Tuhan” tidak dibayar gaji. (2 Korintus 2:17) Namun, terdapat sesetengah Saksi yang menerima latihan dan menggunakan kebanyakan masa mereka untuk kerja menginjil, seperti yang dilakukan orang Kristian abad pertama. Maka, keperluan asas mereka, termasuk tempat tinggal mereka, akan disediakan.—Filipi 4:16, 17; 1 Timotius 5:17, 18.
Mengajar: Sumbangan yang diterima juga digunakan untuk mengadakan perhimpunan dan konvensyen. Selain itu, kami menghasilkan bahan audio dan video yang berdasarkan Bible. Kami juga mengaturkan sekolah-sekolah untuk melatih para penatua dan penginjil sepenuh masa agar mereka dapat melakukan tugas mereka dengan lebih mahir.
Bantuan Kemanusiaan: Sewaktu bencana berlaku, kami akan membantu menyediakan makanan, air, dan tempat tinggal bagi mereka yang menjadi mangsa, tidak kira mereka merupakan ‘saudara saudari kami yang seiman’ atau orang lain.—Galatia 6:10.