“Saya Buat Apa yang Saya Mampu”
Irma ialah seorang saudari Jerman yang berusia hampir 90 tahun. Selepas mengalami dua kemalangan dan menjalani beberapa pembedahan, dia tidak dapat menginjil dari rumah ke rumah. Biarpun begitu, Irma mengongsi kepercayaannya dengan menulis surat kepada saudara-mara dan kenalannya yang kehilangan orang tersayang. Surat-surat Irma telah membawa ketenangan hati kepada banyak orang dan menggugah semangat mereka sehingga mereka menelefonnya untuk menanya bila surat yang seterusnya akan tiba. Banyak orang juga menghantar surat kepadanya untuk mengucapkan terima kasih dan memintanya untuk menulis lebih banyak surat. Irma berkata, “Saya begitu gembira dengan reaksi mereka, dan hal ini membantu saya untuk tetap aktif secara rohani.”
Irma juga menulis surat kepada penghuni di rumah orang tua. Dia berkata, “Seorang wanita yang lanjut usia yang kehilangan suaminya menelefon saya dan berkata bahawa surat saya telah memberinya ketenangan hati. Dia menyimpan surat saya di dalam Biblenya dan selalu membacanya pada waktu petang. Seorang lagi wanita yang juga kehilangan suaminya berkata bahawa surat saya telah memberinya lebih banyak bantuan berbanding khutbah paderi. Dia ada banyak soalan dan bertanya sama ada dia boleh melawat saya atau tidak.”
Seorang kenalan Irma yang bukan Saksi telah berpindah ke tempat jauh. Dia meminta Irma untuk menulis surat kepadanya. “Dia telah menyimpan semua surat saya,” kata Irma. “Selepas dia meninggal, anak perempuannya menelefon saya. Dia memberitahu saya bahawa dia telah membaca semua surat yang saya kirimkan kepada ibunya dan bertanya sama ada saya sudi menulis surat-surat tentang Bible kepadanya juga.”
Irma amat bersukacita kerana dapat menginjil dalam cara ini. “Saya memohon Yehuwa agar terus memberi saya kekuatan untuk berkhidmat kepada-Nya,” katanya. “Meskipun saya tidak dapat menginjil dari rumah ke rumah lagi, saya buat apa yang saya mampu.”