“Yehuwa Telah Selamatkan Nyawa Kami”
Pada tahun 2005, suami seorang wanita di India yang bernama Sowbhagya telah meninggal. Sebelum suaminya meninggal, suaminya menjaga Sowbhagya dan anak perempuan mereka, Meghana, yang berumur tiga tahun, dengan baik. Tapi sekarang, Sowbhagya berasa susah untuk menyara hidup keluarganya.
Untuk membuat situasinya lebih susah, ahli keluarga Sowbhagya melayan dia dan anak perempuannya dengan buruk. Mereka dilayan seperti pengemis, dan berulang kali diberitahu bahawa mereka sangat menyusahkan. Sowbhagya mula menghadiri gereja tempatan untuk mencari kelegaan hati, namun ahli gereja memandang rendah terhadapnya kerana dia miskin. Sowbhagya juga berusaha untuk mencari kerja dengan tekun supaya dia dapat berdikari, tetapi dia langsung tidak menjumpai kerja.
Sowbhagya berkata, “Saya rasa buntu dan tawar hati. Jadi saya buat keputusan untuk bunuh diri. Tapi, saya tahu jika anak perempuan saya terus hidup tanpa saya, dia akan hidup susah. Jadi saya membuat keputusan untuk mengakhiri nyawa kami berdua.” Oleh sebab Sowbhagya berasa tidak berguna dan tidak dikasihi, dia keluar untuk membeli racun.
Dalam perjalanan pulang di dalam kereta api, salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa yang bernama Elizabeth telah menghampiri Sowbhagya dan mula bercakap dengannya. Sowbhagya memberitahu Elizabeth bahawa dia tiada kerja, dan Elizabeth berjanji untuk cuba mencari kerja baginya. Elizabeth juga memberitahunya bahawa dia dalam perjalanan untuk mengajar orang Bible. Sowbhagya terkejut kerana walaupun dia sudah melawat banyak gereja, dia tidak pernah mendengar orang belajar Bible. Elizabeth menjemput Sowbhagya untuk melawatnya dan belajar lebih banyak tentang pembelajaran Bible.
Apabila Sowbhagya pulang ke rumah, dia masih merancang untuk membunuh diri. Namun, ahli keluarganya membawa Meghana pergi berjalan-jalan. Jadi Sowbhagya menunda rancangannya untuk membunuh diri sehingga anak perempuannya pulang.
Sementara itu, dia pergi melawat Elizabeth, yang menyambutnya dengan ramah. Elizabeth menunjukkan buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? kepada Sowbhagya. Sowbhagya tertarik kepada bab yang bertajuk “Di Manakah Orang yang Telah Mati?” kerana suaminya baru sahaja meninggal. Pada hari itu juga, Sowbhagya mula belajar Bible.
Elizabeth menjemput Sowbhagya untuk menghadiri konvensyen yang akan diadakan pada minggu berikutnya, dan Sowbhagya menerima jemputan itu. Dia begitu tersentuh dengan program konvensyen itu sehingga memutuskan untuk menjadi salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Dalam perjalanan pulang dari konvensyen itu, dia mendapat kerja.
Sowbhagya terus belajar Bible. Kini, daripada berfikir untuk membunuh diri, dia ada sebab yang baik untuk terus hidup. Dia dibaptis, dan pada kemudian hari, anak perempuannya, Meghana, juga dibaptis. Hari ini, mereka berdua berkhidmat sebagai perintis biasa, dan Meghana berkhidmat sebagai pekerja sukarela dalam salah sebuah pejabat terjemahan di India.
Sowbhagya dan Meghana bersyukur kepada Elizabeth kerana telah menghampiri Sowbhagya di dalam kereta api, menunjukkan minat peribadi, dan bercakap kepadanya tentang kebenaran. Mereka juga sangat bersyukur kepada Yehuwa. Meghana berkata, “Kami sudah lama berada di kuburan jika kami tidak belajar kebenaran pada hari itu. Kini, kami sangat gembira. Saya dan ibu saya menantikan masanya kami dapat memeluk bapa saya lagi, mengajarnya tentang Yehuwa, dan memberitahunya bagaimana Yehuwa telah selamatkan nyawa kami.”