Mereka Rela Berkhidmat—Di Bulgaria
Saksi-Saksi Yehuwa di Bulgaria sibuk mengajar orang lain kebenaran tentang Tuhan dan Firman-Nya, iaitu Bible. Sejak tahun 2000, ratusan orang Saksi dari negara lain telah berpindah ke Bulgaria untuk membantu mereka. Apakah cabaran yang dihadapi mereka yang berpindah ke negara lain untuk menginjil? Mengapakah usaha mereka berbaloi? Berikut adalah pandangan beberapa orang yang telah berpindah ke Bulgaria.
Menetapkan Matlamat
Darren, yang dahulunya tinggal di England, berkata, “Sejak dulu lagi, kami memang ada matlamat untuk berkhidmat di negara lain yang memerlukan bantuan. Selepas saya berkahwin dengan Dawn, kami berpindah ke London untuk membantu mengajar Bible dalam bahasa Rusia. Ada beberapa kali, kami telah membuat rancangan yang teliti untuk berpindah ke negara lain. Tapi atas sebab-sebab tertentu kami tidak dapat pergi. Kami hampir putus asa, tapi seorang kawan membantu kami sedar bahawa situasi kami telah berubah dan matlamat kami dapat dicapai.” Jadi, Darren dan Dawn mula mencari negara di mana ada keperluan untuk guru Bible. Pada tahun 2011, mereka berpindah ke Bulgaria.
Sukacita yang dinikmati mereka yang berpindah ke negara lain telah menggalakkan sesetengah saudara saudari yang dahulunya tidak mempunyai matlamat itu. Giada, yang dahulunya tinggal di Itali bersama suaminya, Luca, berkata, “Saya jumpa Saksi-Saksi yang berkhidmat dengan bersemangat dan sukacita di Amerika Selatan dan Afrika. Sukacita dan pengalaman mereka menyentuh hati saya dan membantu saya mengubah matlamat rohani saya.”
Pada tahun 2015, Tomasz dan Veronika, bersama dua orang anak mereka, Klara dan Mathias, berpindah dari Republik Czech ke Bulgaria. Apakah yang mendorong mereka untuk berpindah? Tomasz menjawab, “Kami merenungkan teladan dan pengalaman mereka yang telah berpindah ke negara lain, termasuk saudara-mara kami. Sukacita mereka menyentuh hati kami dan kami membincangkannya bersama semasa di rumah.” Sekarang, mereka sekeluarga menginjil dengan gembira di bandar Montana, Bulgaria.
Seorang Saksi yang bernama Linda juga berpindah ke Bulgaria. Dia berkata, “Beberapa tahun lalu, semasa melawat Ecuador, saya berjumpa dengan beberapa orang yang telah berpindah ke sana untuk menginjil. Hal itu buat saya fikir bahawa mungkin suatu hari nanti, saya pun boleh berkhidmat di kawasan yang ada keperluan.” Sepasang suami isteri dari Finland, yang bernama Petteri dan Nadja, juga merenungkan teladan orang lain. Mereka berkata, “Dalam sidang kami, ada penyiar yang berpengalaman yang pernah berpindah ke kawasan lain untuk membantu orang belajar Bible. Mereka selalu menceritakan pengalaman mereka itu dengan bersemangat. Mereka kata masa itu adalah yang terbaik dalam hidup mereka.”
Perancangan Awal
Perancangan yang baik sangat penting bagi orang yang ingin berkhidmat di luar negara. (Lukas 14:28-30) Nele dari Belgium berkata, “Semasa saya mula berfikir untuk berkhidmat di negara lain, saya berdoa dan mencari rencana yang berkaitan dalam bahan bacaan kita. Saya mengkajinya untuk tahu apa yang saya perlu lakukan agar dapat berpindah.”
Kristian dan Irmina, dari Poland, telah tinggal di Bulgaria selama lebih daripada sembilan tahun. Mereka sedar bahawa dengan menyertai kumpulan bahasa Bulgaria di Poland sebelum berpindah, hal ini sangat membantu. Kumpulan itu menggalakkan mereka dan membantu mereka belajar bahasa Bulgaria. Kristian dan Irmina berkata, “Kami merasakan sendiri bahawa apabila seseorang merelakan diri, Tuhan Yehuwa akan menjaga keperluannya, dan hal ini membuat kami berasa sangat baik. Apabila kita memberitahu Yehuwa, ‘Inilah aku! Utuslah aku!’ kita dapat melakukan hal yang tidak kita sangka.”—Yesaya 6:8.
Reto dan Cornelia, sepasang suami isteri dari Switzerland, memutuskan untuk hidup dengan lebih sederhana agar dapat menyimpan duit dan bersedia untuk berpindah. Mereka berkata, “Setahun sebelum berpindah, kami melawat Bulgaria selama seminggu untuk tahu bagaimana kehidupan di sana. Kami mendapat nasihat praktikal daripada mubaligh yang berpengalaman di sana.” Reto dan Cornelia menerapkan nasihat tersebut dan kini, mereka sudah berkhidmat di Bulgaria selama lebih daripada 20 tahun.
Menangani Cabaran
Orang yang berpindah ke negara asing perlu menyesuaikan diri dengan situasi baharu dan yang mungkin mencabar. (Kisah 16:9, 10; 1 Korintus 9:19-23) Salah satu cabaran terbesar ialah mempelajari bahasa baharu. Luca, yang disebut tadi, berkata, “Kami suka memberikan komen dengan menggunakan kata-kata sendiri semasa perjumpaan Kristian. Tapi, pada mulanya, bahkan komen yang ringkas dalam bahasa Bulgaria pun susah bagi saya dan isteri! Kami berasa seperti kanak-kanak semula. Sebenarnya, komen kanak-kanak tempatan jauh lebih baik daripada komen kami.”
Ravil, dari Jerman, berkata, “Mempelajari bahasa itu memang memenatkan. Tapi saya selalu mengingatkan diri, ‘Janganlah terlalu serius, dan cubalah ketawa apabila kamu membuat kesilapan.’ Saya menganggap cabaran sebagai sebahagian daripada khidmat suci kepada Yehuwa, dan bukannya suatu masalah.”
Linda, yang disebut tadi, berkata, “Saya berasa susah untuk belajar bahasa baharu. Bahasa Bulgaria pula tidak mudah, dan banyak kali saya hampir putus asa. Kita berasa sunyi apabila kita tidak dapat bercakap dengan orang atau memahami kata-kata mereka. Untuk tetap kuat secara rohani, saya membuat pembelajaran peribadi dalam bahasa ibunda saya, iaitu bahasa Sweden. Akhirnya, dengan bantuan saudara saudari, saya dapat belajar bahasa Bulgaria.”
Satu lagi cabaran ialah perasaan rindu pada kampung halaman. Mereka yang berpindah perlu berjauhan daripada keluarga dan kawan-kawan mereka yang dikasihi. Eva, yang telah berpindah ke Bulgaria bersama suaminya, Yannis, berkata, “Mula-mula, saya berasa sangat sunyi. Untuk mengatasinya, kami sering menghubungi kawan-kawan dan keluarga kami di kampung halaman. Kami juga mencari kawan baru di sini.”
Terdapat cabaran lain juga. Robert dan Liana, yang berpindah dari Switzerland, menjelaskan, “Bahasa dan budaya tempatan merupakan cabaran yang besar bagi kami. Kami juga tidak sangka bahawa musim sejuk di Bulgaria begitu sejuk.” Namun, sikap positif dan suka bergurau telah membantu pasangan ini untuk berkhidmat di Bulgaria selama 14 tahun.
Berkatnya
Lilly ingin menggalakkan orang untuk menginjil di kawasan yang memerlukan bantuan. Dia berkata, “Jika saya tidak berkhidmat di negara lain, saya mungkin tidak akan merasakan bantuan Yehuwa seperti yang saya rasakan di sini. Saya dapat lebih sibuk membantu orang lain. Hasilnya, saya lebih rapat dengan Yehuwa, dan berasa puas dan bahagia.” Suaminya, Ravil, bersetuju. Dia berkata, “Inilah hidup yang terbaik. Kami berpeluang untuk mengenali saudara saudari yang bersemangat dari pelbagai negara. Mereka ada banyak pengalaman dalam mengajarkan kebenaran Bible. Saya telah belajar banyak daripada mereka.”
Banyak saudara saudari merelakan diri untuk berkhidmat di kawasan yang memerlukan bantuan. Hasilnya, “berita baik tentang Kerajaan Tuhan . . . disebarkan ke seluruh bumi.” (Matius 24:14) Saudara saudari yang telah berpindah ke Bulgaria dengan rela telah melihat bagaimana Yehuwa menunaikan keinginan hati mereka dan menjayakan segala rancangan mereka.—Mazmur 20:1-4.