Lompat ke kandungan

Mereka Rela Berkhidmat​—Di Albania dan Kosovo

Mereka Rela Berkhidmat​—Di Albania dan Kosovo

 “Saya tidak pernah fikir bahawa saya dapat melakukan begitu banyak untuk Yehuwa.” Itulah kata-kata Gwen dari England semasa menggambarkan perasaannya tentang khidmatnya di Albania. a

 Bible kata bahawa Tuhan mahu mengumpulkan “segala sesuatu yang bernilai dalam kalangan semua bangsa.” (Hagai 2:7) Selaras dengan nubuat itu, ada banyak Saksi seperti Gwen yang telah berpindah ke tempat lain untuk menginjil. Apakah yang mendorong mereka untuk berpindah? Apakah perubahan yang harus mereka lakukan? Biarpun menghadapi cabaran, apakah berkat yang telah membantu mereka bertabah?

Cabaran yang Berbeza tapi Keinginan yang Sama

 Para Saksi yang telah berpindah ke Albania mempunyai dorongan yang sama, iaitu kasih kepada Yehuwa dan keinginan untuk membantu orang mengenali-Nya.

 Sebelum berpindah, mereka mengambil langkah yang lebih kecil untuk meluaskan khidmat mereka. Hal ini telah membantu mereka menghadapi cabaran semasa di negara asing. Gwen kata, “Mula-mula, saya ikut kumpulan Albania di kawasan saya. Kemudian, saya menghadiri konvensyen di Albania. Lepas itu, saya pindah ke sana untuk sementara supaya dapat menguasai bahasa mereka.”

Gwen

 Semasa Manuela berumur 23 tahun, dia pindah ke kawasan lain di negaranya Itali untuk membantu sebuah sidang yang kecil. Dia kata, “Saya berkhidmat di sana selama empat tahun. Bila saya tahu bahawa Albania memerlukan lebih banyak bantuan, saya membuat keputusan untuk merintis di sana selama beberapa bulan.”

Manuela (Di tengah)

 Semasa Federica hanya berumur tujuh tahun, dia telah mendengar laporan tentang Albania semasa konvensyen. Dia kata, “Penceramah itu jelaskan bahawa penyiar di Albania mengadakan banyak pembelajaran Bible, dan ada yang bahkan mula menghadiri perjumpaan. Jadi saya beritahu ibu bapa saya mahu pergi ke Albania. Bapa saya terkejut, tapi dia kata, ‘Berdoalah tentangnya, nak. Jika itu kehendak Yehuwa, Dia akan tunaikan permintaan kamu.’ Beberapa bulan kemudian, kami sekeluarga dijemput untuk berkhidmat di Albania!” Kini, Federica sudah berkahwin dengan seorang saudara yang bernama Orges dan mereka berkhidmat sepenuh masa di Albania.

Orges dan Federica

 Selepas Gianpiero bersara, dia berpindah ke Albania bersama isterinya Gloria. Dia kata, “Kami membesarkan anak-anak kami di Itali. Tiga daripada mereka telah berpindah ke negara lain untuk meluaskan khidmat mereka. Hati kami tersentuh dengan sebuah rencana dalam majalah Menara Pengawal tentang berpindah ke tempat yang memerlukan bantuan. Maka, kami bincang tentang cara menggunakan duit pencen saya untuk berkhidmat di Albania.”

Gianpiero dan Gloria

Rancang dengan Teliti

 Orang yang mahu berpindah untuk berkhidmat di negara lain harus merancang dengan teliti dahulu. (Lukas 14:28) Contohnya, mereka harus memastikan mereka ada cukup wang untuk menampung kehidupan baharu mereka. Semasa masih di England, Gwen, yang disebut tadi, telah berpindah ke rumah kakaknya agar dapat menjimatkan duit. Sophia dan Christopher yang juga berasal dari England berkata, “Kami jual kereta dan sesetengah perabot kami. Matlamat kami adalah untuk tinggal di Albania sekurang-kurangnya setahun.” Mereka sangat gembira kerana dapat tinggal di sana lebih lama daripada yang dirancang.

Christopher dan Sophia

 Ada juga yang tinggal di Albania selama beberapa bulan, kembali ke negara asal untuk bekerja, dan kemudiannya pulang ke Albania. Itulah yang dilakukan oleh Eliseo dan Miriam selama lima tahun. Kata Eliseo, “Kampung halaman Miriam di Itali ialah tempat tarikan pelancong. Jadi senang untuk kami cari kerja sementara. Pada musim panas, kami akan pulang dan kerja selama tiga bulan. Duit itu cukup untuk biayai kehidupan kami di Albania selama sembilan bulan.”

Miriam dan Eliseo

Mengatasi Cabaran

 Selepas berpindah, saudara saudari kita perlu menyesuaikan diri dengan keadaan baharu. Tapi nasihat dan teladan Saksi tempatan banyak membantu mereka. Sophia, yang disebut tadi kata, “Semasa musim sejuk di Albania, rumah kami jauh lebih sejuk daripada rumah kami di England. Jadi saya cuba meniru cara saudari tempatan berpakaian.” Grzegorz dan isterinya Sona, yang berasal dari Poland, telah berkhidmat di Prizren, Kosovo. b Grzegorz berkata, “Penyiar tempatan sangat rendah hati, baik, dan sabar. Mereka bantu kami belajar bahasa baharu dan banyak hal yang lain. Sebagai contoh, mereka tunjuk kami kedai-kedai yang lebih murah dan cara untuk membeli barang keperluan di pasar.”

Sebab-Sebab untuk Bersukacita

 Saudara saudari yang membantu di tempat lain berpeluang untuk menjalin persahabatan yang erat dengan rakan seiman tempatan. Sona menjelaskan, “Saya boleh lihat bagaimana kasih yang ditunjukkan Yehuwa mendorong orang untuk berubah. Ini telah menguatkan iman saya. Saya rasa sebahagian daripada sidang dan gembira kerana dapat membantu saudara saudari. Mereka ialah sahabat kami.” (Markus 10:29, 30) Gloria pula berkata, “Saya kenal banyak saudari yang tabah menghadapi penganiayaan daripada orang yang benci Saksi. Hati saya sangat tersentuh apabila melihat kasih mereka untuk Yehuwa.”

Grzegorz dan Sona

 Saudara saudari yang meluaskan khidmat juga belajar hal-hal yang tidak dapat dipelajari di kampung halaman mereka. Apabila mereka sudi cuba sesuatu yang baharu, mereka merasai sukacita yang besar. Stefano menjelaskan, “Di negara saya, saya biasanya menginjil melalui interkom dan penyampaian saya selalunya pendek. Tapi orang Albania suka berbual panjang sambil minum kopi. Pada mulanya, saya tidak tahu apa yang patut dikatakan sebab saya pemalu. Tapi secara perlahan-lahan, saya menjadi lebih prihatin terhadap orang. Sekarang saya sangat selesa berbual dan menikmati kerja penyebaran.”

Alida dan Stefano

 Leah dan suaminya William berpindah ke Albania dari Amerika Syarikat. Dia berkata, “Fikiran kami semakin terbuka dan kami belajar cara hidup yang baru. Kami juga belajar untuk menjadi lebih ramah, menunjukkan hormat, dan menjalin persahabatan. Kami dapat mengasah kemahiran bercakap dan menginjil serta mengajar menggunakan Bible. William berkata, “Banyak pelancong suka pantai yang cantik di sini. Saya pula suka hiking di Pergunungan Alps Albania. Tapi apa yang membuat Albania dekat di hati saya ialah orangnya. Banyak kampung hanya dikunjungi oleh Saksi semasa kempen istimewa. Apabila kami pergi sana, kami akan meluangkan sehari suntuk. Tapi kami hanya sempat bercakap kepada beberapa keluarga kerana mereka suka berbual dengan kami.”

William dan Leah

 Sememangnya, sambutan orang Albania terhadap berita baik membawa sukacita yang terbesar. (1 Tesalonika 2:19, 20) Laura, yang berpindah ke Albania semasa masih muda berkata, “Saya pernah berkhidmat di Fier. Dalam hanya dua tahun setengah, 120 orang layak untuk mula menginjil! Dan saya belajar dengan 16 daripada mereka.” Seorang lagi saudari yang bernama Sandra kata, “Saya menginjil kepada seorang wanita yang bekerja di pasar. Dia dibaptis dan kemudian berpindah balik ke kampungnya. Kali terakhir saya tanya dia, dia kata dia ada 15 pembelajaran Bible!”

Laura

Sandra

Yehuwa Memberkati Ketabahan Mereka

 Sesetengah saudara saudari yang sudah lama berkhidmat di Albania masih menikmati kerja menginjil mereka. Ada yang berpeluang melihat bagaimana benih kebenaran yang ditanam lama dahulu akhirnya membuahkan hasil. (Pengkhutbah 11:6) Christopher, yang disebut tadi berkata, “Saya berjumpa semula dengan seorang lelaki yang pernah belajar dengan saya semasa saya mula-mula pindah ke Albania. Saya tersentuh sebab dia masih ingat perbualan kami tentang Bible dulu. Kini dia dan isterinya sudah dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa.” Federica pula menambah, “Semasa di sebuah sidang, seorang saudari tanya saya jika saya ingat siapa dia. Dia kata saya pernah menginjil kepada dia sembilan tahun lalu. Selepas saya berpindah ke kota lain, dia mula belajar Bible dan akhirnya dibaptis. Selama ini, saya sangka tahun-tahun awal kami di Albania tidak membuahkan hasil. Tapi saya silap rupanya!”

 Mereka yang berpindah ke Albania atau Kosovo sangat bersyukur kerana melihat bagaimana Yehuwa memberkati khidmat dan kehidupan mereka. Selepas bertahun-tahun di Albania, Eliseo menyimpulkan pengalamannya dengan berkata, “Orang mungkin fikir kita akan dapat hidup yang baik jika kita bergantung pada hal-hal di dunia. Tapi itu tidak benar. Apa yang memberi kita tujuan hidup dan kebahagiaan ialah prinsip Yehuwa. Khidmat saya di sini membantu saya ingat akan kebenaran ini. Saya rasa berguna dan dihargai. Saya juga mempunyai kawan-kawan sejati yang ada matlamat yang sama dengan saya.” Sandra juga meluahkan, “Bila saya berpindah ke tempat yang memerlukan bantuan, saya rasa Yehuwa telah mengabulkan hasrat saya untuk menjadi mubaligh. Saya tidak pernah menyesal kerana berpindah ke Albania. Saya sangat gembira.”

a Belajarlah lebih banyak tentang sejarah kerja penyebaran di Albania dalam Buku Tahunan Saksi-Saksi Yehuwa 2010 dalam bahasa Indonesia.

b Kosovo terletak di timur laut Albania. Banyak orang di kawasan ini menuturkan dialek Albania. Saksi-Saksi Yehuwa dari Albania, beberapa negara Eropah, dan Amerika Syarikat telah menawarkan diri untuk menginjil kepada orang yang menuturkan dialek Albania di Kosovo. Pada 2020, terdapat 256 penyiar yang berkhidmat di lapan sidang, tiga kumpulan, dan dua prakumpulan.