Lompat ke kandungan

Mengenang Konvensyen “Keliling Dunia”

Mengenang Konvensyen “Keliling Dunia”

Lima puluh tahun yang lalu, 583 orang Saksi-Saksi Yehuwa membuat perjalanan mengelilingi dunia selama 10 minggu. Tujuan mereka bukannya untuk melancong, tetapi untuk mencari pergaulan Kristian yang membina melalui siri Konvensyen “Berita Baik yang Kekal” pada tahun 1963. Oleh kerana saudara saudari ini berjumpa dengan Saksi-Saksi lain di lebih daripada 20 negara, siri konvensyen ini juga dipanggil Konvensyen “Keliling Dunia.”

Acara kemuncak setiap konvensyen itu ialah ceramah yang bertajuk “Apabila Tuhan Menjadi Raja atas Seluruh Bumi.” Nathan Knorr, seorang wakil daripada ibu pejabat sedunia Saksi-Saksi Yehuwa, telah menyampaikan ceramah ini di hampir semua konvensyen. Dia menyebut tentang keadaan dunia yang semakin merosot dan membandingkannya dengan janji Bible mengenai pemulihan Firdaus di bumi. Sebanyak 580,509 orang hadirin di seluruh dunia telah mendengar ceramah ini.

“Keliling Dunia” dalam 10 Minggu

Siri konvensyen ini bermula di Milwaukee, Wisconsin, A.S. Kemudian, saudara saudari meneruskan perjalanan ke arah timur. Selepas menghadiri konvensyen di New York, mereka singgah di England, Sweden, Jerman, dan Itali. Di setiap lokasi, mereka berpeluang untuk mengongsi berita baik daripada Bible.

Ramai orang tempatan menghargai usaha Saksi-Saksi yang meluangkan masa untuk mengunjungi mereka. Seorang wanita muda di Stockholm, Sweden, berkata, “Saya akan mengingati kunjungan kamu seumur hidup saya. . . . Betulkah kamu datang sejauh ini untuk mengongsi iman kamu terhadap Tuhan kepada saya? Kamu semua sungguh mengagumkan.”

Saudara saudari berasa kecewa apabila mereka tiba di Athens, Greece. Pihak kerajaan telah membatalkan permit untuk mengadakan konvensyen di Stadium Panathinaikos akibat tekanan daripada para pemimpin agama tempatan. Tetapi, Saksi-Saksi tetap bersemangat dan mengadakan konvensyen di rumah peribadi dan sidang tempatan. Pada akhir bulan Ogos, hampir 10,000 orang telah menghadiri program konvensyen tersebut.

Selepas meninggalkan Athens, saudara saudari meneruskan perjalanan ke Lebanon, Jordan, Israel, dan Cyprus. Rakan seiman menyambut mereka dengan ramah, dan kadang-kadang ada perkara yang lucu terjadi. Di Nicosia, Cyprus, seorang saudara berkongsi pengalamannya yang menarik, “Setiap kali saya pulang ke rumah [rakan seiman] dan menanggalkan kasut saya . . . , kasut saya akan tiba-tiba hilang . . . , tetapi muncul semula selepas lima minit, sudah siap digilap sehingga berkilat!”

Kawasan Asia dan Pasifik merupakan bahagian terakhir perjalanan saudara saudari yang menyertai siri konvensyen antarabangsa ini. Mereka menyertai konvensyen bersama-sama ribuan Saksi tempatan di India, Burma (kini Myanmar), Thailand, Hong Kong, Singapura, Filipina, Indonesia, Australia, Taiwan, Jepun, New Zealand, Fiji, dan Korea. Walaupun ramai orang perlu menyesuaikan jadual mereka untuk menghadiri konvensyen, sepasang orang muda yang baru bertunang dari Yokosuka, Jepun, telah membuat penyesuaian yang luar biasa. Apabila lelaki itu memohon cuti daripada majikan untuk menghadiri konvensyen di Kyoto, dia diberitahu bahawa permohonan cuti hanya dibenarkan untuk tujuan pengebumian dan perkahwinan. Memandangkan pasangan itu sudah merancang untuk berkahwin, mereka membuat keputusan untuk berkahwin lebih awal daripada tarikh asal yang ditetapkan. Mereka menghabiskan bulan madu di konvensyen itu!

Perjalanan mengelilingi dunia ini berakhir pada awal September dengan konvensyen di Hawaii dan California, A.S. Jumlah hadirin untuk konvensyen yang terakhir di Pasadena, California, jauh melebihi jumlah yang dijangkakan. Oleh kerana itu, kesesakan lalu lintas yang teruk berlaku selepas konvensyen bersurai. Namun demikian, menurut sebuah akhbar tempatan, seorang ketua polis berkata bahawa “antara semua konvensyen besar yang pernah saya lihat, konvensyen inilah yang paling teratur.”

Membawa Manfaat hingga Sekarang

Kita masih meraih manfaat daripada siri konvensyen itu. Buku “Segenap Bible” (“All Scripture Is Inspired of God and Beneficial”) dikeluarkan pada konvensyen tersebut, dan buku itu digunakan dalam perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa.

Harold King, tidak lama selepas dia dibebaskan dari penjara di China

Sebuah lagu baharu yang bertajuk “Dari Pintu ke Pintu” juga diperkenalkan dalam konvensyen di New York. Lagu itu digubah oleh Harold King, seorang Saksi yang dibebaskan dari penjara di China pada 1963. Harold King menggubah lagu itu semasa dia dipenjarakan seorang diri, dan lagu “Menginjil di Rumah-Rumah” yang dinyanyikan oleh Saksi-Saksi Yehuwa hari ini adalah berdasarkan lagu yang sama.

Kini, cara konvensyen Saksi-Saksi Yehuwa diadakan berbeza dengan cara pada masa dahulu. Tempat yang lebih kecil menampung jumlah hadirin yang tidak begitu ramai. Konvensyen diadakan di lebih banyak lokasi untuk mengurangkan masa perjalanan bagi para hadirin. Banyak penyederhanaan dibuat supaya lebih ramai orang dapat memberi tumpuan kepada program konvensyen. Setiap tahun, lebih daripada tujuh juta Saksi-Saksi Yehuwa dan tetamu mereka menghadiri konvensyen kita. Adakah anda juga ingin hadir? Dapatkan lokasi konvensyen berdekatan anda.