Lompat ke kandungan

Muzik dalam Pelbagai Bahasa

Muzik dalam Pelbagai Bahasa

Bukan senang untuk menterjemahkan sebuah lagu ke dalam bahasa lain, apatah lagi menterjemahkan buku lagu yang mengandungi 135 buah lagu.

Saksi-Saksi Yehuwa telah melaksanakan tugas besar itu. Dalam masa tiga tahun, mereka telah menterjemahkan buku lagu baru Nyanyilah kepada Yehuwa ke dalam 116 bahasa. Selain itu, buku lagu versi yang lain, iaitu versi yang mengandungi 55 lagu, telah diterjemahkan ke dalam 55 bahasa. Ada banyak lagi bahasa yang akan datang.

Menterjemah dan Menggubah Lirik

Saksi-Saksi Yehuwa sudah menterjemahkan bahan bacaan Bible ke dalam kira-kira 600 bahasa. Antaranya, sekitar 400 bahasa sudah tersedia dalam talian. Namun, kerja menterjemahkan buku lagu mempunyai cabaran tersendiri. Mengapa? Kerana lirik yang diterjemahkan ke dalam berbagai-bagai bahasa harus mengikut melodi yang sama.

Menggubah lirik lagu berbeza dengan menterjemah kandungan majalah. Sebagai contoh, semasa menterjemahkan majalah Menara Pengawal ke dalam bahasa lain, para penterjemah akan berusaha menyampaikan semua maksud teks asal dengan tepat. Namun pendekatan yang berbeza diperlukan untuk bidang muzik.

Cara Melakukannya

Kaedah yang digunakan semasa menterjemah lagu sedikit berbeza, kerana lirik lagu haruslah bermakna, indah, dan mudah diingat.

Kata-kata yang digunakan dalam lagu pujian haruslah mudah difahami. Dengan itu, penyanyi dapat menghayati setiap ungkapan dengan segera. Dalam setiap bahasa, lirik harus dapat dinyanyikan dengan lancar bersama iringan muzik. Seorang penyanyi patut rasa bahawa itulah kata-kata yang hendak disampaikannya.

Bagaimanakah para penterjemah mencapai matlamat itu? Mereka tidak akan menterjemah lirik buku lagu bahasa Inggeris kata demi kata. Sebaliknya, para penterjemah telah diberitahu agar menggubah lirik baru yang dapat mengungkapkan idea dan emosi lagu asal. Mereka akan berusaha mengungkapkan isi-isi Bible yang menjadi dasar setiap lagu, dan pada masa yang sama menggunakan kata-kata dalam bahasa sendiri yang senang difahami dan mudah diingat.

Mula-mula, mereka akan menterjemah lagu bahasa Inggeris secara langsung. Kemudian, seorang Saksi yang mahir mengarang lirik lagu akan menggunakan teks itu untuk menyediakan lirik yang bermakna dan indah. Untuk memastikan agar makna liriknya selaras dengan ajaran Bible, pasukan terjemahan dan para penyemak akan memeriksa hasil kerja penggubah lirik.

Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia sangat teruja semasa menerima buku lagu baru. Kami menjangkakan bahawa buku lagu ini akan disediakan dalam banyak bahasa lagi.