Pameran Bible yang Unik di Perancis
Pada tahun 2014, ribuan pelawat yang pergi ke Pameran Antarabangsa Rouen di utara Perancis berpeluang melihat satu pameran yang menarik, yang bertajuk “Bible—Dahulu, Sekarang, dan Pada Masa Depan.”
Di luar gerai pameran itu, terdapat skrin-skrin TV yang menayangkan video tentang manuskrip kuno Bible. Video itu berjaya menarik minat banyak pelawat. Di dalam gerai pameran itu pula, para pelawat dapat belajar tentang nasihat praktikal yang terkandung dalam Bible, ketepatan Bible dari segi sejarah dan sains, dan mengetahui bagaimana Bible diedarkan di seluas dunia.
Pameran itu juga menunjukkan bagaimana Bible dipelihara dari dahulu sehingga sekarang, dan bagaimana berbilion-bilion orang di seluruh dunia dapat membacanya dalam bentuk cetakan atau elektronik. Selain itu, para pelawat dapat memperoleh senaskhah Terjemahan Dunia Baharu secara percuma. Terjemahan Dunia Baharu ialah Bible yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa dalam lebih daripada 120 bahasa.
Banyak pelawat mengungkapkan penghargaan mereka atas usaha Saksi-Saksi Yehuwa untuk memberikan Bible kepada orang ramai. Seorang pekerja sosial, yang melawat pameran itu bersama sekumpulan anak-anak muda, berkata, “Bible ialah harta pusaka kita semua. Bible ialah buku yang hidup. Setiap kali saya membacanya, saya mendapat jawapan kepada masalah saya.”
Seorang nenek yang berusia 60 tahun terkejut apabila dia mengetahui bahawa dia dapat memperoleh senaskhah Bible secara percuma. Dia berkata, “Kita semua patut membaca Bible semula kerana kita memerlukannya!”