Bahagian Dobi Bethel: Membasuh Semuanya, daripada Kain Buruk ke Tali Leher Sutera
Ramai lelaki dan wanita muda di pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa Amerika Syarikat menyumbang masa dan tenaga sendiri untuk bekerja dalam tempat dobi yang terletak di Brooklyn, Patterson, dan Wallkill, New York. Setiap tahun, mereka akan membasuh kira-kira 1,800 tan kain. Angka itu memang mengagumkan, tetapi yang membuat kerja ini cukup istimewa ialah mereka harus membasuh bermacam-macam jenis kain.
Setiap hari dari Isnin hingga Jumaat, mereka yang tinggal di kompleks Bethel Amerika Syarikat menghantar lebih daripada 11,000 helai pakaian ke tempat dobi Bethel, termasuk 2,300 helai baju, 650 helai seluar, dan juga stoking, pakaian dalam, serta kemeja T. Mereka juga menghantar kira-kira 900 barang lain yang perlu dibasuh dengan cara cucian kering.
Selain itu, tempat dobi juga menerima kain cadar, tuala, selimut, pakaian seragam pekerja, dan kain buruk yang bertimbun-timbun. Semua itu perlu dibasuh, dikeringkan, dan dipulangkan. Kain-kain buruk dibasuh secara pukal, manakala blaus dan tali leher sutera akan dibersihkan satu demi satu.
Pekerja di dobi memeriksa setiap pakaian untuk mencari bahagian yang koyak atau butang yang hilang. Jika terdapat butang yang perlu diganti, kerja pembaikan akan dilakukan dengan mesin automatik atau dengan tangan. Jika pakaian perlu diubahsuai atau dibaiki, tugas itu akan diserahkan kepada seorang pakar.
Memandangkan terdapat begitu banyak pakaian yang perlu diurus, sebuah mesin akan menandakan kod palang (bar code) pada setiap pakaian agar mudah dikenal pasti. Dengan adanya kod palang itu, pakaian dapat diasingkan dengan automatik. Dengan demikian, pakaian yang sudah dibasuh dan berseterika dapat dihantar ke bilik setiap ahli keluarga Bethel di Amerika Syarikat.
Para pekerja yang baru akan dilatih oleh pekerja yang mahir. Mereka mungkin perlu belajar melakukan kira-kira 20 jenis tugas. Salah satu tugas sebegini ialah kerja menghilangkan kotoran. Kerja ini nampaknya senang, tetapi pekerja yang baru perlu masa untuk menguasainya. Mereka perlu mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang jenis-jenis kain dan tindak balas kain terhadap pelbagai teknik dan bahan pembersih.
Mengenai rakan-rakan sekerjanya, Tajh, yang telah bekerja di tempat dobi untuk setahun setengah berkata, “Saya berasa seronok bekerja dengan orang dari pelbagai latar belakang. Hubungan kita sangat akrab.” Seorang pekerja lain yang bernama Shelly berkata, “Saya berasa bangga kerana dapat membantu keluarga Bethel kelihatan kemas dan rapi.”