Orang yang Ingin Membunuh Diri Diselamatkan
DUA orang Saksi-Saksi Yehuwa mengetuk pintu sebuah rumah semasa mereka sedang menjalankan aktiviti penyebaran dari rumah ke rumah. Seorang lelaki yang gelisah membuka pintu. Di belakangnya ada seutas tali yang tergantung di atas tangga.
Lelaki itu menjemput Saksi-Saksi tersebut ke dalam rumahnya. Mereka bertanya tentang tali itu. Lelaki itu berkata bahawa dia hampir menggantung diri, tetapi dia mendengar loceng pintu berbunyi dan memutuskan untuk membuka pintu rumah buat kali terakhir. Dua orang Saksi itu menaakul dengannya lalu menemaninya berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan bantuan.
Kisah itu diterbitkan di dalam sebuah surat khabar Belgium. Namun, hal itu bukanlah kali pertama Saksi-Saksi Yehuwa membantu menyelamatkan orang yang ingin membunuh diri. Perhatikan kisah-kisah yang serupa dari serata dunia.
Seorang wanita dari Greece menulis: “Teman lelaki saya menyakiti hati saya sehingga saya mengalami kemurungan. Kesakitan yang saya alami begitu teruk sehingga saya memutuskan untuk membunuh diri. Bagi saya, itulah cara untuk mendapatkan kelegaan. Saya ingin menamatkan penderitaan yang saya alami.”
Walaupun begitu, wanita itu mendapatkan rawatan. Tidak lama kemudian, dia menghubungi Saksi-Saksi Yehuwa. Dia mula belajar Bible dan menghadiri perjumpaan. Dia berkata, “Saya telah merasai kasih sejati yang ditunjukkan oleh saudara saudari. Kasih itulah yang sudah lama saya cari. Saya memiliki sahabat sejati yang dapat dipercayai. Saya berasa tenang dan bersukacita. Saya tidak lagi risau tentang masa depan.”
Seorang Saksi di England menulis: “Seorang kenalan menelefon saya dalam keadaan cemas dan berkata dia ingin membunuh diri pada malam itu. Saya menggunakan maklumat daripada rencana dalam majalah Sedarlah! Mei 2008 yang menyatakan bahawa perbuatan membunuh diri adalah tidak wajar. Saya menaakul dengannya dan berkongsi ayat-ayat Alkitab yang melegakan hati. Akhirnya, dia tidak lagi ingin menamatkan nyawanya, meskipun dia masih menghadapi masalah.”
Michael, seorang Saksi-Saksi Yehuwa di Ghana, berbual dengan seorang wanita muda di tempat kerjanya. Pada satu hari, Michael mendapati bahawa wanita itu sangat murung, lalu dia bertanya sebabnya.
Wanita itu berkata bahawa dia ingin membunuh diri kerana suaminya telah meninggalkannya dan mencari wanita lain. Michael menenangkan hatinya dan memberinya dua buah buku yang menjelaskan ayat-ayat Bible. Maklumat yang dibaca oleh wanita itu mengubah fikirannya. Dia tidak lagi mahu membunuh diri. Wanita itu terus belajar Bible dan kini dia ialah seorang Saksi-Saksi Yehuwa.
Sebuah akhbar di Amerika Syarikat melaporkan bahawa seorang Saksi muda yang sedang menginjil ternampak sebuah kereta dengan enjinnya yang belum dimatikan.
Pemuda itu berkata, “Saya nampak hos berdiameter empat inci yang disambungkan pada ekzos kereta itu. Hujung hos itu dimasukkan ke dalam tingkap kereta yang telah ditutup dengan pita perekat.”
“Saya bergegas menghampiri kereta itu. Apabila saya melihat ke dalam cermin, saya nampak seorang wanita sedang menangis, dan dikelilingi kepulan asap dari ekzos. Saya menjerit, ‘Apa yang kamu buat?’”
“Semasa saya cuba membuka pintu, saya nampak tiga orang kanak-kanak di tempat duduk belakang. Apabila saya membuka pintu, wanita itu berkata, ‘Saya harus pergi! Saya harus pergi! Saya harus membawa anak-anak saya bersama.’”
“Saya berkata, ‘Tolonglah, janganlah buat begini. Ini bukanlah penyelesaiannya!’”
“Wanita itu berkata, ‘Saya harus pergi ke syurga, dan saya harus membawa anak-anak saya bersama.’”
“Dia terus menangis. Saya berlutut di hadapannya. Pada waktu itu, saya juga mula menangis. Sekali lagi saya berkata kepadanya, ‘Tolonglah, janganlah buat begini.’ Kemudian, saya mencapai ke dalam kereta itu lalu menariknya keluar dengan perlahan.”
“Kemudian dia berteriak, ‘Selamatkan anak-anakku!’”
“Anak-anaknya menghulurkan tangan mereka kepada saya. Dia mempunyai dua orang anak perempuan yang berumur empat tahun dan lima tahun, dan seorang anak lelaki yang berumur dua tahun. Mereka duduk di belakang tanpa menyedari bahawa mereka akan mati sekejap lagi.”
“Sebaik sahaja mereka keluar dari kereta itu, saya mematikan enjin. Kemudian, kami berlima duduk di sebuah tembok yang rendah. Saya berkata, ‘Cakaplah dengan saya.’”
Saksi-Saksi Yehuwa memandang kehidupan sebagai kurniaan yang berharga daripada Pencipta kita. Keluarga dan kawan rapat kepada orang yang membunuh diri sememangnya berasa sedih atas kehilangan yang mereka alami. Di seluas dunia, Saksi-Saksi Yehuwa berusaha untuk memberikan kelegaan kepada mereka dan membantu orang yang pernah mencuba untuk membunuh diri.