Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa Membantu Membersihkan Hutan Berdekatan Lviv

Saksi-Saksi Yehuwa Membantu Membersihkan Hutan Berdekatan Lviv

Pada 6 Mei 2017, kira-kira 130 orang Saksi-Saksi Yehuwa membantu untuk membersihkan Hutan Bryukhovychi berdekatan Lviv, Ukraine. Para sukarelawan, yang berusia antara 22 hingga 80 tahun, tinggal dan bekerja di pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di Ukraine, yang terletak berhampiran hutan itu. Mereka telah membersihkan kawasan berukuran 50 hektar dan mengumpulkan kira-kira 600 kilogram sisa buangan dalam hanya tiga jam.

Menurut Mykhailo Splavinskyi, seorang jurutera di Lviv Forest Breeding and Drilling Center, “Para Saksi merupakan kumpulan pertama yang menyokong pembersihan tahunan bagi hutan ini, dan mereka telah berbuat demikian setiap tahun sejak 2014.”

Mengapa Hutan Itu Perlu Dibersihkan

“Terdapat dua sebab mengapa ada begitu banyak sampah di hutan ini,” kata En. Splavinskyi. “Pertama, sesetengah orang meninggalkan sampah mereka di sini. Kedua, lori-lori membawa sampah atau sisa buangan daripada projek pembinaan dan membuang semuanya di sini.”

Pembuangan sampah merupakan masalah serius di hutan ini. “Sampah-sampah memerlukan masa yang lama untuk mereput,” kata En. Splavinskyi. Hal ini akan “mencemari air bawah tanah, dan akhirnya akan menyebabkan masalah ekologi.” Serpihan kaca dapat menumpukan cahaya matahari sehingga mengakibatkan kebakaran hutan. Kaca-kaca dan picagari yang dibuang adalah berbahaya, terutamanya bagi kanak-kanak. “Semua masalah ini boleh dielakkan jika sampah-sampah ini dilupuskan,” katanya.

Membersihkan kawasan seluas 3,300 hektar memang mencabar. “Kami hanya ada lima orang pengawas hutan,” katanya, “jadi kami tidak mungkin dapat membersihkan kawasan yang begitu luas. Oleh itu, setahun sekali kami akan meminta orang awam untuk menyertai kerja membersihkan hutan ini.”

Kumpulkan, Asingkan, dan Hapuskan

Para sukarela Saksi menggunakan sarung tangan, beg plastik, dan pencakar untuk mengumpulkan botol, tayar, kaca, besi, kertas, plastik, dan picagari terpakai. Ihor Fedak, seorang pegawai di hutan itu, berkata, “Saksi-Saksi Yehuwa membersihkan kawasan mereka dengan baik sekali.”

Walaupun undang-undang belum ditetapkan, para sukarelawan mengasingkan sampah-sampah kepada kaca, kertas, dan plastik, agar dapat dikitar semula. Sampah-sampah itu kemudiannya diproses oleh sebuah syarikat pembuangan tempatan. Sejak 2016, para Saksi rela membayar kos untuk melupuskan sampah yang dipungut mereka. “Saya berterima kasih kepada para Saksi kerana banyak membantu kami,” kata En. Fedak.

“Kerja Pembersihan Tidak Merendahkan Martabat Saya”

Para Saksi menikmati kerja membersihkan hutan itu setiap tahun. Mereka ingin menyumbang kepada masyarakat dan hutan yang bersih. Volker berkata bahawa mereka mempunyai pandangan yang sama, iaitu: “Kerja pembersihan tidak merendahkan martabat saya. Saya berasa bangga dan puas kerana dapat berkhidmat kepada orang lain.”

Anzhelika menambah, “Bagi saya, yang penting, bukan siapa yang membuang sampah, tetapi bagaimana saya dapat membersihkan tempat itu.” Lois, yang berusia 78 tahun juga telah menyertai kempen itu. Dia berkata, “Daripada berasa marah ketika melihat sampah sarap semasa bersiar-siar, lebih baik kita memungutnya dan membuangnya di tempat yang sesuai.”

“Orang biasanya nampak kami berpakaian kemas dan memakai tali leher semasa mengongsi kepercayaan kami,” kata Wieslaw. “Tapi kami juga rela bekerja keras untuk membersihkan hutan atau buat kerja lain yang mendatangkan manfaat bagi orang lain.”