Bagaimanakah Saya Dapat Hidup dengan Pendapatan yang Kurang Berbanding Dahulu?
Adakah anda terpaksa hidup dengan pendapatan yang kurang berbanding dahulu disebabkan masalah ekonomi? Pandemik, bencana alam, pergolakan politik, dan peperangan dapat menjejaskan ekonomi secara tiba-tiba. Pendapatan yang berkurangan secara tiba-tiba dapat menyebabkan stres. Namun, Bible mengandungi nasihat praktikal yang boleh membantu anda hidup dengan lebih sederhana.
1. Akuilah bahawa situasi anda sudah berubah.
Prinsip Bible: “Aku sudah mempelajari rahsia untuk . . . hidup dalam kelimpahan atau hidup serba kekurangan.”—Filipi 4:12.
Walaupun anda mempunyai pendapatan yang kurang berbanding dahulu, anda boleh belajar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan kewangan anda yang baharu. Semakin cepat anda mengakui dan menyesuaikan diri dengan situasi anda, semakin senang bagi anda sekeluarga untuk menanganinya.
Cubalah mengenal pasti bantuan kewangan yang disediakan oleh kerajaan atau organisasi lain. Bertindaklah dengan segera kerana permohonan bagi bantuan sebegini biasanya perlu dibuat dalam masa yang tertentu.
2. Bekerjasama sebagai satu keluarga.
Prinsip Bible: “Rancangan gagal jika tiada perbincangan, tetapi rancangan berjaya jika disertai banyak penasihat.”—Amsal 15:22.
Bincanglah tentang situasi anda dengan pasangan anda dan anak-anak anda. Dengan adanya komunikasi yang terbuka, anda dapat membantu setiap ahli keluarga untuk memahami dan menyokong perubahan yang perlu dilakukan. Apabila setiap ahli keluarga bekerjasama untuk berjimat dan tidak membazir, wang anda dapat digunakan untuk lebih lama.
3. Buatlah bajet.
Prinsip Bible: ‘Duduk dan kiralah perbelanjaannya.’—Lukas 14:28.
Jika pendapatan anda kurang berbanding dahulu, adalah penting untuk tahu bagaimana semua wang anda digunakan. Buatlah bajet berdasarkan situasi anda yang terkini dengan mencatatkan pendapatan yang anda akan terima setiap bulan. Kemudian, senaraikan perbelanjaan bulanan anda walaupun anda perlu mengubah cara anda berbelanja. Dalam senarai itu, tetapkan jumlah wang tertentu yang boleh digunakan untuk kecemasan atau perbelanjaan lain yang tidak diduga.
Tip: Jangan lupa untuk mencatatkan berapa banyak wang yang digunakan untuk perbelanjaan yang kecil. Anda mungkin terkejut melihat berapa banyak wang yang telah digunakan untuk perbelanjaan kecil sebegini. Sebagai contoh, selepas mencatatkan perbelanjaannya, seorang lelaki sedar bahawa setiap tahun dia menggunakan beberapa ratus dolar untuk gula-gula getah sahaja!
4. Kenal pasti perbelanjaan yang paling penting dan buatlah perubahan.
Prinsip Bible: “Mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.”—Filipi 1:10.
Bandingkanlah pendapatan anda dengan perbelanjaan anda. Kenal pasti perbelanjaan yang tidak diperlukan atau yang boleh dikurangkan agar anda dapat hidup dengan pendapatan yang kurang. Fikirkan perkara-perkara berikut:
Pengangkutan. Jika anda memiliki lebih daripada sebuah kenderaan, bolehkah anda menjual salah satu daripadanya? Jika anda ada kereta mewah, bolehkah anda menukarnya kepada kereta yang lebih sederhana? Adakah anda benar-benar memerlukan kenderaan? Bolehkah anda menggunakan pengangkutan awam atau basikal?
Hiburan. Bolehkah anda membatalkan langganan untuk siaran melalui Internet atau televisyen satelit buat seketika? Dapatkah anda mencari perkhidmatan atau hiburan lain yang lebih murah?
Kemudahan. Bincanglah sebagai sebuah keluarga cara untuk mengurangkan penggunaan air, elektrik, dan gas. Sebagai contoh, dengan menutup lampu yang tidak digunakan dan mengurangkan air semasa mandi, anda dapat menjimatkan wang.
Makanan. Elakkan daripada makan di luar. Sebaliknya, masaklah di rumah. Rancanglah apa yang anda akan masak. Cubalah membeli dan memasak dalam kuantiti yang banyak serta menggunakan lebihan makanan untuk hidangan yang lain. Buatlah senarai beli-belah terlebih dahulu untuk mengelak daripada membeli barang-barang yang tidak diperlukan. Belilah buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan yang biasanya lebih murah. Elakkan daripada membeli makanan yang tidak berkhasiat. Anda juga boleh menanam sayur-sayuran sendiri.
Pakaian. Belilah pakaian hanya apabila diperlukan dan bukannya untuk mengikut fesyen terkini. Anda boleh membeli pakaian semasa promosi atau di kedai yang menjual barang-barang terpakai. Jemurlah kain jika cuaca dan keadaan mengizinkan. Hal ini dapat mengurangkan penggunaan elektrik mesin pengering.
Pembelian yang baharu. Sebelum anda membeli sesuatu, tanyalah diri, “Mampukah saya membeli barang ini? Adakah saya betul-betul memerlukannya?” Jika anda merancang untuk mendapatkan peralatan rumah, alat elektronik, atau kenderaan yang lebih baharu, bolehkah anda menangguhkan rancangan anda itu? Bolehkah anda menjual barang yang tidak diperlukan atau tidak digunakan lagi? Dengan berbuat demikian, anda bukan sahaja akan hidup dengan lebih sederhana, tetapi pendapatan anda juga akan bertambah.
Tip: Apabila pendapatan anda berkurang dengan tiba-tiba, anda boleh menggunakan peluang ini untuk membuang tabiat-tabiat yang mahal dan memudaratkan, seperti menggunakan tembakau, berjudi, membeli loteri, atau menyalahgunakan alkohol. Dengan membuang tabiat-tabiat seperti itu, keadaan kewangan dan mutu hidup anda akan bertambah baik.
5. Memikirkan hal-hal rohani.
Prinsip Bible: “Berbahagialah orang yang sedar akan keperluan rohani mereka.”—Matius 5:3.
Bible memberikan nasihat yang munasabah ini: “Kebijaksanaan dapat melindungi seseorang, sebagaimana duit dapat melindungi seseorang, tetapi inilah kelebihan pengetahuan: Kebijaksanaan memelihara hidup orang yang memilikinya.” (Pengkhutbah 7:12) Kebijaksanaan ini terdapat dalam Bible. Dengan menerapkan nasihatnya, banyak orang telah dibantu untuk tidak terlalu khuatir tentang keadaan kewangan mereka.—Matius 6:31, 32.