BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN
Projek Pembinaan yang Disiapkan sebelum Pandemik
1 NOVEMBER 2020
Setiap tahun, terdapat ratusan ribu orang dibaptis. Maka kita memerlukan lebih banyak bangunan teokratik. Itulah sebabnya di serata dunia, Bahagian Rekaan dan Pembinaan Tempatan merancang untuk membina atau mengubah suai lebih daripada 2,700 tempat beribadat sepanjang tahun aktiviti penyebaran 2020. a
Sedihnya, rancangan-rancangan ini tergendala kerana pandemik COVID-19. Untuk melindungi saudara saudari kita dan mematuhi undang-undang kerajaan, Jawatankuasa Penerbitan Badan Pimpinan telah menghentikan sebahagian besar projek pembinaan di serata dunia. Biarpun begitu, sepanjang tahun aktiviti penyebaran 2020, lebih daripada 1,700 tempat beribadat telah dibina dan diubah suai sebelum pandemik melanda. Tambahan lagi, lebih daripada 100 buah projek pembinaan pejabat cawangan telah disiapkan. Perhatikan bagaimana dua projek pembinaan ini telah membantu saudara saudari kita.
Pejabat Cawangan Cameroon. Pejabat cawangan lama, yang terletak di Duala, terlalu kecil dan memerlukan banyak pengubahsuaian. Maka Jawatankuasa Penerbitan telah mempertimbangkan rancangan untuk mengubah suai pejabat cawangan itu. Tetapi kos pengubahsuaian lebih tinggi daripada nilai bangunan tersebut. Mereka juga mempertimbangkan rancangan untuk membina sebuah bangunan baharu atau membeli dan mengubah suai bangunan yang sedia ada. Tetapi kedua-dua rancangan ini tidak berjaya.
Sementara itu, para saudara mendapat tahu bahawa kerajaan tempatan merancang untuk membina sebuah jalan berdekatan dengan Dewan Perhimpunan di utara Duala. Jalan ini akan memudahkan orang untuk keluar masuk dan memasang kemudahan asas di kawasan itu. Inilah apa yang diperlukan oleh pejabat cawangan. Maka Badan Pimpinan telah meluluskan projek pembinaan pejabat cawangan berdekatan dengan Dewan Perhimpunan itu.
Saudara saudari kita bekerjasama dengan kontraktor yang diupah untuk menyiapkan projek ini. Hal ini telah menjimatkan masa dan wang. Sebenarnya mereka dapat mengurangkan kos sebanyak dua juta dolar Amerika. Keluarga Bethel dapat berpindah masuk ke bangunan baharu ini sebelum COVID-19 tercetus.
Keadaan tempat tinggal dan tempat kerja yang lebih baik telah banyak membantu ahli Bethel di Cameroon. Mereka memandang pejabat cawangan yang baharu ini sebagai hadiah daripada Yehuwa. Satu pasangan suami isteri berkata, “Kami ingin bekerja lebih keras dan menunjukkan bahawa kami amat menghargai pemberian ini.”
Pejabat Penterjemahan (RTO) Tojolabal, Mexico. Selama bertahun-tahun, kumpulan penterjemahan Tojolabal bekerja di pejabat cawangan Amerika Tengah, yang terletak dekat Bandar Raya Mexico. Tetapi sebahagian besar orang yang menuturkan bahasa Tojolabal tinggal di Altamirano dan Las Margaritas, yang terletak kira-kira 1,000 kilometer dari Bandar Raya Mexico! Akibatnya para penterjemah mendapati bahawa mereka tidak dapat mengikuti perkembangan terkini bahasa Tojolabal. Mereka juga berasa susah untuk mencari saudara saudari yang sesuai untuk membuat kerja penterjemahan dan rakaman audio dalam bahasa Tojolabal.
Disebabkan oleh faktor-faktor ini, Jawatankuasa Penulisan Badan Pimpinan ingin memindahkan kumpulan penterjemahan ke kawasan yang menuturkan bahasa Tojolabal. Oleh itu, pejabat cawangan memutuskan untuk membeli dan mengubah suai sebuah bangunan. Cara ini adalah lebih murah daripada membina atau menyewa sebuah bangunan pejabat.
Seorang penterjemah Tojolabal berkata, “Selama 10 tahun saya bekerja di pejabat cawangan, saya tidak pernah jumpa keluarga yang menuturkan bahasa saya. Tetapi sekarang pejabat kami telah dipindahkan ke tempat yang mempunyai banyak penutur bahasa Tojolabal. Saya berinteraksi dengan mereka setiap hari. Hasilnya saya dapat belajar banyak perkataan baharu dan meningkatkan mutu kerja saya.”
Projek bagi Tahun Aktiviti Penyebaran 2021
Bagi tahun aktiviti penyebaran 2021, projek pembinaan akan berlangsung jika keadaan mengizinkan. Kami merancang untuk menjalankan projek di 75 buah RTO dan beberapa bangunan sekolah teokratik. Projek bagi lapan buah pejabat cawangan akan diteruskan, termasuk projek ibu pejabat sedunia di Ramapo, New York, dan juga pemindahan pejabat cawangan Argentina dan Itali. Selain itu, lebih daripada 1,000 Dewan Perjumpaan yang baharu diperlukan, lebih daripada 6,000 tempat perjumpaan perlu digantikan, dan 4,000 lagi Dewan Perjumpaan yang perlu diubah suai.
Bagaimanakah kami membiayai semua projek pembinaan dan pengubahsuaian ini? Saudara Lázaro González, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Amerika Tengah menjawab soalan ini semasa membincangkan projek Pejabat Penterjemahan Tojolabal. Dia berkata, “Saudara saudari di kawasan kami mempunyai sumber yang terhad. Jadi tanpa sokongan daripada seluruh persaudaraan sedunia, kami tidak dapat membina pejabat penterjemahan bahasa peribumi di sini. Sumbangan yang diberikan oleh saudara saudari di serata dunia telah membolehkan para penterjemah untuk berpindah ke tempat yang menuturkan bahasa mereka. Kami sangat bersyukur kepada persaudaraan sedunia kerana kemurahan hati mereka.” Ya, semua projek pembinaan ini dapat dijalankan kerana sumbangan untuk kerja sedunia, dan kebanyakan sumbangan ini dibuat menerusi donate.isa4310.com.
a Bahagian Rekaan dan Pembinaan Tempatan merancang dan menjalankan projek pembinaan Dewan Perjumpaan dalam kawasan pejabat cawangan mereka. Bahagian Rekaan dan Pembinaan Sedunia, yang terletak di ibu pejabat sedunia, memutuskan projek mana yang harus dijalankan terlebih dahulu dan merancang projek-projek itu di seluas dunia.