TOPIK UTAMA | CARA MENANGANI KEKHUATIRAN
Khuatir tentang Bahaya
Alona berkata, “Apabila siren berbunyi, hati saya berdenyut dengan kuat dan saya berlari ke tempat perlindungan. Di sana, saya masih khuatir. Perasaan itu lebih teruk jika saya berada di luar, tanpa perlindungan. Pada satu masa, ketika berjalan di luar, saya mula menangis dan tidak dapat bernafas. Selepas berjam-jam, baru saya berasa tenang. Kemudian, siren berbunyi lagi.”
Selain peperangan, terdapat bahaya lain yang menyebabkan kita khuatir. Jika anda atau orang yang dikasihi menghidapi penyakit yang serius, anda juga akan berasa khuatir. Yang lain pula takut tentang masa depan. Mereka tertanya-tanya, “Adakah anak cucu kami akan menghadapi peperangan, jenayah, pencemaran, perubahan cuaca, dan wabak penyakit?” Bagaimanakah kita dapat menangani kekhuatiran sebegini?
Bible berkata, “Orang yang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya.” (Amsal 27:12) Sepertimana kita melindungi diri secara jasmani, kita juga boleh melindungi kesihatan mental dan emosi kita. Oleh sebab Tuhan tidak mencipta minda kita untuk asyik berfikir tentang kejahatan, kita patut mengelakkan hiburan yang ganas dan laporan berita yang mengerikan kerana hal ini boleh menambahkan kekhuatiran keluarga kita. Hal ini tidak bermaksud kita menafikan realiti. Sebaliknya, kita sedang bertumpu pada “perkara yang benar, . . . yang diperkenankan Tuhan, . . . yang murni, . . . yang patut dikasihi.” Dengan demikian, “Tuhan kedamaian” akan memberi kita ketenangan jiwa.—Filipi 4:8, 9.
KEPENTINGAN DOA
Iman sejati membantu kita untuk menangani kekhuatiran. Bible menggalakkan kita supaya “sentiasa bersedia untuk berdoa.” (1 Petrus 4:7) Kita boleh memohon kebijaksanaan dan keberanian daripada Tuhan untuk menghadapi situasi kita. Kita yakin bahawa Tuhan “mendengar apa sahaja permintaan kita.”—1 Yohanes 5:15.
Bible menjelaskan bahawa Syaitan ialah “pemerintah dunia ini” dan “seluruh dunia berada di bawah kuasa Si Jahat.” (Yohanes 12:31; 1 Yohanes 5:19) Ya, Syaitan benar-benar wujud. Jadi, Yesus mengajar kita untuk berdoa: “Selamatkanlah kami daripada Si Jahat.” (Matius 6:13) Alona berkata, “Apabila siren berbunyi, saya meminta bantuan Yehuwa untuk mengawal kekhuatiran saya. Suami saya juga akan menelefon dan berdoa bersama saya. Doa sebegini sangat membantu.” Bible berkata bahawa Tuhan “dekat dengan orang yang berseru kepada-Nya, dan yang memohon kepada-Nya dengan tulus hati.”—Mazmur 145:18.
HARAPAN UNTUK MASA DEPAN
Dalam Ceramah Di Atas Gunung, Yesus mengajar pengikutnya untuk berdoa: “Datanglah Kerajaan-Mu.” (Matius 6:10) Kerajaan Tuhan akan memansuhkan segala kekhuatiran. Tuhan akan menggunakan “Raja Damai,” iaitu Yesus, untuk “menghentikan perang di seluruh dunia.” (Yesaya 9:5; Mazmur 46:10) “Dia akan menyelesaikan perselisihan antara bangsa-bangsa. . . . Bangsa-bangsa tidak akan berperang lagi, dan tidak bersedia untuk bertempur lagi. . . . Tiada sesiapa pun akan menakutkan mereka.” (Mikha 4:3, 4) “Orang yang membina rumah akan mendiaminya. . . . Mereka yang menanam pokok anggur akan menikmati hasilnya.” (Yesaya 65:21, 22) Tiada sesiapa pun yang akan “mengeluh kerana sakit.”—Yesaya 33:24.
Walaupun kita berhati-hati, ada kalanya kita tidak dapat mengelakkan bahaya kerana kita “tidak tahu saat ketibaan bencana.” (Pengkhutbah 9:12) Selama berabad-abad, peperangan, keganasan, dan penyakit terus meragut nyawa manusia. Adakah mereka mempunyai harapan?
Berjuta-juta orang akan hidup semula. Mereka berada dalam ingatan Tuhan sehingga waktunya tiba apabila “semua orang di dalam makam peringatan akan . . . keluar.” (Yohanes 5:28, 29) Bible menyatakan bahawa harapan pembangkitan adalah ‘teguh dan pasti, bagaikan sauh bagi jiwa kita.’ (Ibrani 6:19) Tuhan “telah membangkitkan [Yesus] daripada kematian sebagai jaminan kepada semua manusia.”—Kisah 17:31.
Buat masa ini, penyembah Tuhan masih mengalami kekhuatiran. Dengan mengambil langkah-langkah praktikal, menghampiri Tuhan melalui doa, dan beriman kepada harapan Bible, kita akan berjaya menangani kekhuatiran seperti Paul, Janet, dan Alona. “Semoga Tuhan yang memberi kamu harapan, mengurniai kamu sukacita dan kedamaian yang melimpah kerana kamu percaya kepada-Nya.”—Roma 15:13.