Jawapan Bible
Mengapakah kita harus berdoa?
Yehuwa ingin kita selalu bercakap dengan-Nya tentang kekhuatiran kita. (Lukas 18:1-7) Dia mendengar doa kita kerana Dia prihatin. Memandangkan Bapa yang di syurga menjemput kita untuk berdoa, sudah tentu kita tidak mahu menolak jemputan-Nya.—Baca Filipi 4:6.
Kita berdoa bukan hanya untuk meminta bantuan. Sebaliknya, doa merapatkan kita dengan Tuhan. (Mazmur 8:3, 4) Dengan sentiasa meluahkan perasaan kepada Tuhan, persahabatan kita dengan-Nya semakin erat.—Baca Yakobus 4:8.
Apakah cara untuk berdoa?
Ketika berdoa, Tuhan tidak ingin kita menggunakan kata-kata yang tidak bererti atau yang dihafal. Kita juga tidak perlu berdoa dengan kedudukan badan tertentu. Yehuwa mahu kita berdoa dari hati. (Matius 6:7) Contohnya, pada zaman Israel kuno, Hana berdoa tentang masalah keluarganya. Kemudian selepas Tuhan menjawab doanya, dia berterima kasih kepada Tuhan dalam doa.—Baca 1 Samuel 1:9, 10, 12, 13, 26, 27; 2:1.
Kita berpeluang bercakap dengan Tuhan tentang kekhuatiran kita. Kita juga dapat memuji-Nya dan bersyukur atas apa yang Dia lakukan. Sudah tentu kita tidak ingin menolak pemberian yang istimewa ini.—Baca Mazmur 145:14-16.