Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Dapatkah Anda Melihat Tuhan?

Dapatkah Anda Melihat Tuhan?

‘TUHAN itu roh’ yang tidak kelihatan. (Yohanes 4:24) Namun Bible berkata bahawa sesetengah orang seolah-olah pernah melihat-Nya. Bagaimanakah hal ini mungkin? Bolehkah anda benar-benar melihat ‘Tuhan yang tidak kelihatan’?—Ibrani 11:27; Kolose 1:15.

Bandingkan situasi kita dengan orang yang dilahirkan buta. Adakah orang buta tidak memahami keadaan dunia di sekelilingnya? Tidak juga, kerana orang buta mendapat pemahaman mengenai manusia, objek, dan aktiviti lain melalui beberapa cara. Seorang yang buta berkata bahawa untuk memahami sesuatu, kita tidak perlu menggunakan mata, tetapi perlu menggunakan minda.

Begitu juga, kita tidak dapat melihat Tuhan dengan mata fizikal, tetapi dapat melihat-Nya dengan menggunakan minda. (Efesus 1:18) Apakah tiga cara kita dapat berbuat demikian?

“MELALUI SEGALA YANG SUDAH DICIPTAKANNYA”

Orang buta mempunyai deria pendengaran dan sentuhan yang lebih peka untuk mengenal pasti perkara yang tidak dapat dilihat. Begitu juga, anda boleh menggunakan deria anda untuk menyelidiki dunia di sekeliling dan memahami Pencipta kita. ‘Sejak Tuhan menciptakan dunia, sifat-sifat Tuhan yang tidak kelihatan dapat difahami oleh manusia melalui segala yang sudah diciptakan-Nya.’—Roma 1:20.

Contohnya, fikirkan tentang bumi yang dicipta agar kita dapat menikmati kehidupan. Kita tentu gembira menikmati angin yang sepoi-sepoi, buah-buahan yang enak, atau mendengar kicauan burung yang merdu. Tidakkah semua ini menunjukkan bahawa Pencipta kita prihatin, pengasih, dan murah hati?

Apakah yang dapat anda pelajari apabila melihat ke angkasa? Alam semesta menunjukkan kuasa Tuhan. Menurut kajian sains, alam semesta sedang berkembang dengan laju! Ketika anda melihat ke langit pada waktu malam, fikirkan: “Apakah sumber tenaga yang menyebabkan alam semesta berkembang dengan cepat?” Bible memberitahu kita bahawa ‘Kuasa Tuhan amat besar.’ (Yesaya 40:26) Ciptaan Tuhan menunjukkan bahawa ‘sungguh besar kuasa Tuhan.’—Ayub 37:23.

YESUS ‘MENUNJUKKAN TUHAN KEPADA KITA’

Seorang ibu kepada dua orang anak buta berkata, “Percakapan adalah salah satu cara penting untuk mengajar anak. Bersedialah untuk menjelaskan segala yang anda lihat dan dengar. Anda menjadi mata mereka.” Bible berkata, ‘Tidak seorang pun pernah melihat Tuhan,’ tetapi Yesus yang pernah berada ‘di sisi Bapa, sudah menunjukkan Tuhan kepada kita.’ (Yohanes 1:18) Sebagai ciptaan pertama Tuhan dan Anak tunggal Tuhan, Yesus seperti mata kita untuk melihat Tuhan. Dialah sumber maklumat terbaik mengenai Tuhan yang tidak kelihatan.

Yesus yang telah meluangkan masa yang lama bersama Bapanya memberikan penjelasan mengenai Tuhan:

  • Tuhan bekerja tanpa lelah. ‘Bapaku sentiasa bekerja.’—Yohanes 5:17.

  • Tuhan tahu keperluan kita. “Bapa kamu mengetahui apa yang kamu perlukan, sebelum kamu memintanya.”—Matius 6:8.

  • Tuhan murah hati. ‘Bapa kamu yang di syurga menerbitkan matahari. Dia menurunkan hujan untuk orang yang mentaati Tuhan dan juga untuk orang yang tidak mentaati-Nya.’—Matius 5:45.

  • Setiap di antara kita bernilai di mata Tuhan. ‘Kamu dapat membeli dua ekor burung pipit dengan mata wang yang paling kecil. Meskipun demikian tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa persetujuan Bapa kamu. Rambut di kepala kamu pun sudah dihitung semuanya. Oleh itu, janganlah takut! Di sisi Tuhan, kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit!’—Matius 10:29-31, ABB.

SEORANG MANUSIA MENCERMINKAN TUHAN

Cara orang buta memahami persekitaran berbeza daripada orang biasa. Bagi orang yang dapat melihat, bayang-bayang adalah tempat gelap yang tidak disinari matahari. Orang buta pula mungkin memahami bayang-bayang sebagai tempat berteduh daripada bahang matahari. Seperti orang buta yang tidak dapat melihat cahaya matahari atau bayang-bayang, kita juga tidak dapat melihat Tuhan. Maka, Tuhan telah menyediakan seorang manusia yang dapat mencerminkan sifat-sifat-Nya.

Manusia itu ialah Yesus. (Filipi 2:7) Yesus bukan sahaja bercakap tentang Bapanya, tetapi dia juga menunjukkan sifat-sifat Tuhan. Filipus, seorang pengikut Yesus berkata, “Tunjukkanlah Bapa kepada kami.” Yesus menjawab, ‘Orang yang sudah melihat aku, sudah melihat Bapa.’ (Yohanes 14:8, 9) Bagaimanakah kita dapat “melihat” Tuhan menerusi teladan Yesus?

Yesus bersifat mesra, rendah hati, dan mudah didekati. (Matius 11:28-30) Sifat-sifatnya menyegarkan dan ramai tertarik kepadanya. Yesus memahami kesakitan yang dialami orang dan juga bersukacita bersama mereka yang gembira. (Lukas 10:17, 21; Yohanes 11:32-35) Semasa membaca atau mendengar kisah mengenai Yesus, gunakanlah minda anda untuk membayangkan apa yang terjadi. Jika anda merenungkan cara Yesus memperlakukan orang, anda akan lebih memahami sifat-sifat Yehuwa dan menghampiri-Nya.

MELIHAT SECARA KESELURUHAN

Mengenai orang buta, seorang penulis berkata, “Mereka menerima maklumat dari pelbagai sumber (sentuhan, bau, bunyi, dan sebagainya), dan menggabungkan maklumat-maklumat tersebut.” Begitu juga, sambil anda memerhatikan karya ciptaan Tuhan, membaca kata-kata Yesus tentang Tuhan, dan memikirkan cara Yesus menunjukkan sifat-sifat-Nya, anda akan mendapat gambaran Yehuwa yang indah. Dia akan menjadi lebih nyata kepada anda.

Ayub yang tinggal pada zaman kuno pernah mengalami hal ini. Dia berkata, “Aku bercakap tentang perkara yang tidak aku mengerti.” (Ayub 42:3) Namun, selepas memikirkan ciptaan Tuhan yang menakjubkan, dia berkata, “Dahulu aku hanya mendengar tentang Engkau, tetapi kini aku sendiri melihat Engkau.”—Ayub 42:5, ABB.

‘Jika anda mencari Yehuwa, anda akan mendapatkan Dia’

Maka, ‘jika anda mencari Yehuwa, anda akan mendapatkan Dia.’ (1 Tawarikh 28:9) Saksi-Saksi Yehuwa sudi membantu anda untuk mencari Tuhan yang tidak kelihatan.