Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Anda Dapat Melawan Godaan!

Anda Dapat Melawan Godaan!

“Saya tidak berniat menonton pornografi. Semasa melayari internet, satu iklan tiba-tiba muncul. Saya cuma klik untuk membukanya.”—CODY. *

“Seorang gadis yang menawan di tempat kerja mula bermain cinta dengan saya. Pada satu hari dia mengajak saya pergi ke hotel untuk ‘berseronok.’ Saya tahu apa yang dia inginkan.”—DYLAN.

“SAYA dapat melawan apa sahaja kecuali godaan.” Ungkapan ini menggambarkan pandangan sesetengah orang terhadap godaan—jauh di lubuk hati, mereka sangat menyukainya. Orang lain pula ingin mengalahkan godaan kerana memandangnya sebagai musuh yang tidak mengenal lelah. Apakah pandangan anda? Adakah anda akan mengalah atau melawan godaan?

Sudah tentu tidak semua godaan mengundang masalah besar. Contohnya, mencuri sekeping biskut tidak mungkin membinasakan hidup anda. Tetapi, mengalah kepada godaan lain terutamanya yang mendorong kepada perbuatan seks tidak bermoral boleh membawa padah. Bible memberikan amaran, ‘Orang yang berzina sangat bodoh dan membinasakan dirinya sendiri.’Amsal 6:32, 33.

Apakah seharusnya tindakan anda jika godaan tidak bermoral datang secara tiba-tiba? Bible menjawab, ‘Inilah kehendak Tuhan bagi kamu: Hendaklah kamu mengamalkan hidup yang suci, dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang cabul. Setiap orang harus tahu bagaimana menguasai tubuhnya dengan cara yang menyenangkan hati Tuhan dan manusia.’ (1 Tesalonika 4:3, 4, nota kaki) Bagaimanakah anda dapat memupuk tekad untuk melawan godaan? Perhatikan tiga langkah berikut.

Langkah 1: Jagalah Matamu

Melihat gambar lucah akan membangkitkan keinginan yang salah. Mengenai kaitan antara apa yang dilihat dengan keinginan, Yesus memberikan amaran, “Sesiapa memandang seorang wanita dengan perasaan berahi, orang itu sudah berzina dengan dia di dalam hati.” Melalui ungkapan hiperbola, Yesus menggesa, “Jika mata kanan kamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buanglah mata itu.” (Matius 5:28, 29) Pengajarannya? Untuk melawan godaan, kita mesti bertindak tegas dan tidak membiarkan mata kita melihat gambar lucah.

Jika terpandang gambar erotik, alihkan pandangan anda dengan segera

Contohnya: Bayangkan anda terpandang pantulan cahaya matahari yang sangat terang. Adakah anda akan terus memandangnya? Tentu tidak! Anda akan mengalihkan pandangan atau melindungi mata anda. Begitu juga, jika terpandang gambar erotik dalam bentuk bercetak, skrin, atau secara fizikal, alihkan pandangan anda dengan segera! Lindungilah minda anda daripada dicemari. Juan yang pernah ketagih pornografi berkata, “Apabila ternampak gadis yang cantik, biasanya saya ingin memandangnya dua atau tiga kali. Jadi saya memaksa diri untuk pandang ke arah lain dan memberitahu diri sendiri, ‘Doalah kepada Yehuwa! Saya perlu berdoa sekarang!’ Selepas berdoa, keinginan saya beransur-ansur lenyap.”Matius 6:9, 13; 1 Korintus 10:13.

Perhatikan juga Ayub, seorang lelaki setia yang berkata, “Dengan sumpah aku telah berjanji, tidak memandang gadis muda dengan berahi.” (Ayub 31:1, ABB) Bolehkah anda mempunyai tekad yang sama?

Cubalah: Jika anda terpandang gambar erotik, alihkan pandangan anda dengan segera. Tirulah penulis Bible yang berdoa, “Jangan biarkan aku menumpukan perhatian kepada perkara sia-sia.”Mazmur 119:37.

Langkah 2: Jagalah Fikiranmu

Kita mungkin perlu melawan keinginan yang salah kerana tidak sempurna. Bible menyatakan, “Seseorang tergoda apabila dia dipikat dan diperangkap oleh keinginannya sendiri yang jahat. Apabila dia menuruti keinginannya yang jahat itu, maka lahirlah dosa.” (Yakobus 1:14, 15, ABB) Bagaimanakah anda dapat mengelakkan perangkap ini?

Semasa fikiran berdosa muncul, berdoalah dengan segera.

Ingatlah bahawa anda boleh memilih cara untuk bertindak semasa berdepan dengan keinginan yang salah. Lawanlah dan singkirkan keinginan itu daripada fikiran anda. Jangan berkhayal tentang perbuatan tidak bermoral. Seorang lelaki bernama Troy yang ketagih pornografi di Internet berkata, “Saya bergelut untuk menyingkirkan fikiran berdosa dengan bertumpu pada fikiran yang positif. Hal ini tidak mudah. Berkali-kali saya gagal. Akhirnya, saya belajar untuk mengawal fikiran.” Elsa, seorang wanita yang perlu melawan godaan tidak bermoral pada zaman remajanya berkata, “Saya dapat mengawal fikiran berdosa dengan tetap sibuk dan berdoa kepada Yehuwa.”

Cubalah: Semasa dihantui fikiran tidak bermoral, berdoalah dengan segera. Untuk melawan fikiran berdosa, isilah minda dengan “perkara-perkara yang baik dan yang patut dipuji, iaitu perkara yang benar, yang mulia, yang adil, yang murni, yang elok dan yang terhormat.”Filipi 4:8.

Langkah 3: Jagalah Langkah-langkahmu

Masalah boleh datang dengan mudah apabila keinginan, godaan, dan peluang datang sekali gus. (Amsal 7:6-23) Bagaimanakah anda dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa?

“Saya hanya melayari Internet semasa orang lain berada di rumah”

Bible menasihatkan, “Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya, tetapi orang bodoh membiarkan diri ditimpa malapetaka dan menyesal kemudian.” (Amsal 22:3, ABB) Jadi, jagalah langkah-langkahmu. Jangkakan dan elakkan situasi yang boleh mengundang masalah. (Amsal 7:25) Seorang lelaki bernama Filipe yang telah mengatasi ketagihan pornografi berkata, “Saya meletakkan komputer di tempat yang mudah dilihat dan memasang perisian penapis laman Web. Saya hanya melayari Internet semasa orang lain berada di rumah.” Troy, yang disebutkan tadi berkata, “Saya elakkan daripada menonton wayang lucah dan tidak bergaul dengan orang yang menggunakan jenaka lucah. Saya tidak mahu membahayakan diri.”

Cubalah: Buatlah penilaian yang jujur tentang kelemahan anda dan rancang terlebih dahulu untuk mengelakkan situasi yang boleh menggoda.Matius 6:13.

JANGAN PUTUS ASA!

Bagaimanakah jika anda telah berusaha tetapi masih gagal? Janganlah tawar hati dan teruslah mencuba. Bible mengatakan, “Orang jujur jatuh berkali-kali, mereka akan bangun semula.” (Amsal 24:16) Ya, Bapa kita yang di syurga menggalakkan kita untuk “bangun semula.” Adakah anda akan menerima bantuan-Nya yang pengasih? Jadi, janganlah jemu berpaling kepada-Nya melalui doa. Bina iman anda dengan mempelajari Firman-Nya. Kuatkan tekad anda menerusi perjumpaan Kristian. Ingatlah janji Tuhan, “Aku akan menguatkan dan menolong kamu.”Yesaya 41:10.

Cody, yang disebutkan pada awal rencana menyatakan, “Usaha gigih diperlukan untuk membuang tabiat menonton pornografi. Walaupun banyak halangan, akhirnya saya berjaya dengan bantuan Tuhan.” Dylan, yang juga disebutkan tadi berkata, “Saya tentu boleh melakukan hubungan seks dengan rakan sekerja saya. Tetapi saya berkata dengan tegas, ‘Tidak!’ Saya gembira kerana memiliki hati nurani yang bersih. Yang paling penting, Yehuwa bangga dengan saya.”

Yakinlah bahawa Tuhan bangga apabila anda teguh melawan godaan!Amsal 27:11.

^ per. 2 Nama-nama dalam rencana ini telah diubah