TOPIK UTAMA | ADAKAH KEMATIAN AKHIR SEGALANYA?
Kematian Bukan Akhir Segalanya!
Betani merupakan sebuah perkampungan yang kecil, tiga km dari Yerusalem. (Yohanes 11:18) Beberapa minggu sebelum kematian Yesus, sebuah tragedi telah berlaku di sana. Lazarus, seorang kawan rapat Yesus tiba-tiba sakit tenat dan meninggal.
Semasa Yesus mendapat berita itu, dia memberitahu pengikut-pengikutnya bahawa Lazarus sedang tidur dan dia ingin membangunkannya. (Yohanes 11:11) Tetapi, pengikut-pengikut Yesus tidak memahami maksudnya. Oleh itu, Yesus dengan terus terang memberitahu, “Lazarus sudah meninggal.”—Yohanes 11:14.
Yesus tiba di Betani empat hari selepas pengebumian. Dia cuba melegakan hati Marta, iaitu kakak Lazarus. Marta berkata, ‘Jika Tuan di sini pada masa itu, tentu saudaraku masih hidup!’ (Yohanes 11:17, 21) Yesus mengatakan, ‘Akulah yang membangkitkan orang mati dan yang memberikan hidup. Sesiapa yang percaya kepadaku akan hidup, meskipun dia sudah mati.’—Yohanes 11:25.
“Lazarus, keluar!”
Untuk membuktikan bahawa kata-katanya bukan janji kosong, Yesus menghampiri makam itu dan berseru, “Lazarus, keluar!” (Yohanes 11:43) Orang ramai yang berada di situ berasa hairan apabila melihat lelaki yang telah mati itu keluar.
Sebelum ini Yesus telah melakukan dua mukjizat pembangkitan. Dalam suatu kejadian, dia telah membangkitkan anak perempuan Yairus daripada kematian. Sebelum Yesus melakukan pembangkitan ini, dia menggambarkan anak perempuan Yairus seperti sedang tidur.—Lukas 8:52.
Perhatikan bahawa Yesus membandingkan kematian Lazarus dan anak perempuan Yairus seperti sedang “tidur.” Mengapakah perbandingan ini sangat sesuai? Seseorang tidak sedar semasa tidur dan hal ini sesuai menggambarkan keadaan seperti sedang berehat daripada kesakitan dan penderitaan. (Pengkhutbah 9:5; lihat kotak, “Kematian Bagaikan Tidur Lena.”) Pengikut-pengikut Yesus memahami dengan jelas keadaan sebenar orang yang telah mati. Encyclopedia of Religion and Ethics mengatakan, “Bagi pengikut Yesus, kematian adalah sama seperti tidur dan kubur pula merupakan tempat rehat . . . bagi mereka yang telah mati dengan setia.” a
Kita berasa lega apabila mengetahui bahawa orang yang mati sedang tidur di dalam kubur dan bukannya sedang menderita. Oleh itu, kematian bukan lagi sebuah misteri dan kita tidak perlu berasa takut.
“JIKA MANUSIA MATI, DAPATKAH MEREKA HIDUP LAGI?”
Kita menghargai rehat yang baik pada waktu malam, tetapi adakah kita ingin tidur selama-lamanya? Apakah harapan bagi mereka yang telah tidur di dalam kubur? Adakah mereka akan hidup kembali seperti Lazarus dan anak perempuan Yairus?
Seorang penyembah Yehuwa yang bernama Ayub menimbulkan soalan ini, “Jika manusia mati, dapatkah mereka hidup lagi?”—Ayub 14:14.
Ayub menjawab soalannya sendiri dengan berkata kepada Tuhan Yang Maha Kuasa, “Lalu Engkau akan memanggil aku, dan aku akan memberikan jawapan, dan Engkau akan mengasihi aku, makhluk yang Engkau jadikan.” (Ayub 14:15, ABB) Ayub yakin bahawa Yehuwa sangat menantikan masanya untuk membangkitkan hamba-Nya yang setia. Adakah Ayub sedang berangan-angan tentang sesuatu yang tidak mungkin terjadi? Tidak.
Pembangkitan yang dilakukan oleh Yesus membuktikan bahawa Tuhan memberi Yesus kuasa atas kematian. Sebenarnya, Bible menyatakan bahawa Yesus sekarang “berkuasa atas kematian.” (Wahyu 1:18) Sepertimana Yesus memiliki kuasa untuk membangkitkan Lazarus, dia juga memiliki kuasa untuk membangkitkan umat manusia pada masa depan.
Bible berulang kali menyatakan tentang janji pembangkitan. Malaikat Tuhan pernah meyakinkan nabi Daniel, “Engkau akan meninggal, tetapi engkau akan bangkit untuk menerima ganjaranmu pada akhir zaman.” (Daniel 12:13) Yesus memberitahu para pemimpin Yahudi yang tidak percaya pada janji pembangkitan, ‘Pendapat kamu salah sekali! Kamu tidak memahami Alkitab ataupun kuasa Tuhan.’ (Matius 22:23, 29) Rasul Paulus berkata, ‘Saya berharap kepada Tuhan . . . semua orang akan dibangkitkan daripada kematian—orang baik, mahupun orang jahat!’—Kisah 24:15.
PEMBANGKITAN—BILA?
Bilakah pembangkitan ini akan berlaku? Malaikat Tuhan memberitahu Daniel bahawa dia akan dibangkitkan “pada akhir zaman.” Marta juga percaya bahawa Lazarus akan ‘dibangkitkan pada hari terakhir.’—Yohanes 11:24.
Bible mengaitkan hari terakhir dengan pemerintahan Kerajaan Tuhan. Paulus menulis, ‘Kristus harus terus memerintah sehingga Tuhan menaklukkan semua musuh Kristus di bawah kekuasaan Kristus. Musuh yang terakhir yang akan ditaklukkan ialah kematian.’ (1 Korintus 15:25, 26, ABB) Hal ini merupakan sebab utama mengapa kita harus berdoa agar Kerajaan Tuhan datang dan agar kehendak Tuhan terlaksana di bumi. b
Ayub yakin bahawa kehendak Tuhan adalah untuk membangkitkan orang yang telah mati. Apabila hari itu tiba, kematian tidak akan berkuasa lagi. Pada masa itu, tidak ada sesiapa pun yang akan bertanya, “Adakah kematian akhir segalanya?”
a Perkataan Inggeris “cemetery” berasal daripada perkataan Yunani yang bererti “tempat tidur.”
b Untuk maklumat lanjut mengenai Kerajaan Tuhan, lihat bab 8, buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.