Bible Mengubah Hidup
Bible Mengubah Hidup
APAKAH harta yang ditemui seorang ahli perniagaan yang kaya dari Scotland? Apakah yang membantu seorang lelaki di Brazil untuk menolak gaya hidup yang tidak bermoral dan berhenti mengambil dadah? Bagaimanakah seorang lelaki dari Slovenia berjaya menghentikan tabiat minum alkohol secara berlebihan? Bacalah kisah hidup mereka.
“Saya Rasa Hidup Saya Sangat Seronok.”—JOHN RICKETTS
TAHUN LAHIR: 1958
NEGARA ASAL: SCOTLAND
LATAR BELAKANG: AHLI PERNIAGAAN YANG BERJAYA
KISAH SILAM SAYA: Bapa saya ialah seorang pegawai dalam tentera British. Kami sekeluarga ada hidup yang selesa tapi kami sering berpindah-randah. Selain Scotland, kami pernah tinggal di England, Jerman, Kenya, Malaysia, Ireland, dan Cyprus. Semenjak berumur lapan tahun, saya menghadiri sekolah asrama di Scotland. Akhirnya, saya tamat pengajian di Cambridge University.
Semasa berumur 20 tahun, saya mula menceburi bidang minyak. Selama lapan tahun saya melakukan kerja ini. Pada mulanya, saya kerja di Amerika Selatan, kemudian di Afrika, dan akhirnya di bahagian barat Australia. Semasa di Australia, saya menubuhkan sebuah syarikat pelaburan, tetapi pada kemudian hari, saya telah menjual syarikat itu.
Saya dapat banyak duit daripada hasil jualan itu, jadi saya boleh bersara pada umur 40 tahun. Saya suka mengembara ke banyak tempat. Saya pernah menjelajahi seluruh Australia dua kali dengan menunggang motosikal saya. Saya juga mengadakan perjalanan untuk mengelilingi dunia. Saya rasa hidup saya sangat seronok.
BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA: Bahkan sebelum bersara, saya mahu tunjukkan kesyukuran kepada Tuhan kerana berikan saya hidup yang baik selama ini. Jadi saya pergi ke Gereja Anglikan yang saya hadiri semasa kecil. Tapi, saya tidak belajar banyak tentang Bible semasa di sana. Saya mula belajar dengan Mormon, tapi ajaran mereka pun tidak berdasarkan Bible. Itu buat saya rasa kecewa.
Pada suatu hari, Saksi-Saksi Yehuwa mengunjungi rumah saya. Saya boleh lihat mereka selalu menggunakan Bible. Salah satu ayat yang mereka kongsi dengan saya ialah 1 Timotius 2:3, 4. Ayat itu kata bahawa Tuhan “menghendaki segala macam orang diselamatkan dan memperoleh pengetahuan yang tepat tentang kebenaran.” Saya kagum kerana para Saksi bukan hanya menegaskan pentingnya belajar Bible, tetapi kita mesti menimba pengetahuan yang tepat.
Saya dapat belajar banyak kebenaran Bible daripada Saksi-Saksi Yehuwa. Sebagai contoh, saya belajar bahawa Tuhan dan Yesus adalah berbeza dan mereka bukannya sebahagian daripada Tritunggal. (Yohanes 14:28; 1 Korintus 11:3) Apabila saya faham ajaran ini, saya rasa sangat lega. Tapi saya juga geram sebab saya sudah bazirkan begitu banyak masa untuk cuba memahami ajaran Tritunggal yang mustahil difahami!
Tidak lama kemudian, saya mula menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Semua orang di sana sangat mesra dan baik. Kasih yang mereka tunjukkan buat saya yakin saya sudah menemui agama yang benar.—Yohanes 13:35.
MANFAAT YANG SAYA TERIMA: Selepas saya dibaptis, saya berkenalan dengan seorang Saksi-Saksi Yehuwa yang bernama Diane. Saya sangat tertarik kepada sifat-sifat baiknya. Selepas itu, kami telah berkahwin. Saya amat menghargai persahabatan dan sokongan Diane. Saya rasa dia ialah berkat daripada Yehuwa.
Pada 2010, kami berpindah ke Belize, Amerika Tengah, untuk menyebarkan berita baik daripada Bible kepada orang di sana. Penduduk di sana sangat mengasihi Tuhan dan haus akan kebenaran Bible.
Kebenaran tentang Tuhan dan Firman-Nya ialah harta rohani yang sangat bernilai. Sekarang, saya menikmati ketenangan dalam hidup saya. Sebagai penginjil sepenuh masa, saya berpeluang untuk mengajar Bible kepada orang lain. Saya mendapat sukacita dan kepuasan apabila melihat kebenaran Bible menjadikan kehidupan mereka lebih baik. Akhirnya, saya dapat membalas kebaikan yang telah Tuhan tunjukkan kepada saya.
“Mereka Sangat Baik kepada Saya.”—MAURÍCIO ARAÚJO
TAHUN LAHIR: 1967
NEGARA ASAL: BRAZIL
LATAR BELAKANG: HIDUP TIDAK BERMORAL
KISAH SILAM SAYA: Saya membesar di Avaré, sebuah pekan kecil di São Paulo. Kebanyakan penduduk di sini hidup sederhana.
Bapa saya meninggal semasa saya dalam kandungan ibu. Dari kecil, saya suka memakai baju ibu semasa dia tiada di rumah. Saya mula berkelakuan seperti perempuan, jadi orang pun anggap saya gay. Saya juga adakan hubungan seks dengan budak lelaki lain dan orang dewasa.
Semasa saya hampir 20 tahun, saya makin aktif mencari lelaki atau perempuan untuk melakukan seks. Saya mencari mereka di bar, kelab malam, atau gereja. Semasa karnival, saya akan pakai kostum wanita dan menyertai sekumpulan penari samba. Saya sangat popular.
Kebanyakan kawan-kawan saya ialah gay, pelacur, dan penagih dadah. Ada antara mereka yang mengajak saya untuk mengambil dadah, dan akhirnya saya ketagihan kokain. Kadangkala, kami menghisap sepanjang malam. Pada masa lain pula, saya mengurung diri sepanjang hari untuk mengambil kokain. Saya menjadi begitu kurus dan lemah sehingga orang menyebarkan khabar angin bahawa saya menghidap penyakit AIDS.
BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA: Sekitar masa itu, saya berjumpa dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka sangat baik kepada saya. Pernah sekali, mereka baca Roma 10:13 kepada saya. Ayat itu kata, “Semua orang yang menyeru nama Yehuwa akan diselamatkan.” Itu buat saya sedar pentingnya menggunakan nama Yehuwa. Banyak kali selepas mengambil kokain sepanjang malam, saya akan lihat ke luar tingkap, memandang ke langit, dan berdoa kepada Yehuwa sambil menangis dan mohon agar Dia membantu saya.
Saya juga fikir tentang ibu saya yang susah hati melihat saya menghancurkan hidup saya. Oleh itu, saya bertekad untuk berhenti mengambil dadah. Tidak lama selepas itu, saya belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka meyakinkan saya bahawa pembelajaran Bible dapat kuatkan tekad saya untuk mengatasi tabiat buruk itu. Sememangnya, itu telah bantu saya berjaya!
Secara perlahan-lahan, saya sedar saya perlu ubah gaya hidup saya. Yang paling susah bagi saya adalah untuk meninggalkan amalan homoseksual sebab itulah cara hidup saya selama ini. Tapi hal yang banyak membantu saya ialah mengubah pergaulan saya. Saya juga tidak lagi pergi ke bar dan kelab malam.
Walaupun semua ini tidak senang, saya sangat lega kerana saya tahu Yehuwa faham pergelutan saya. Dia sangat mengambil berat tentang saya. (1 Yohanes 3:19, 20) Pada 2002, saya berhenti melakukan amalan homoseksual. Pada tahun itu juga saya telah dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa.
MANFAAT YANG SAYA TERIMA: Ibu sangat kagum melihat perubahan yang saya buat. Jadi dia pun mula belajar Bible. Sedihnya, dia kena strok. Biarpun begitu, dia terus memperdalam kasihnya kepada Yehuwa dan Firman-Nya.
Sepanjang lapan tahun ini, saya menginjil sepenuh masa dan membantu orang lain belajar Bible. Sejujurnya, saya masih perlu bergelut dengan keinginan yang salah. Tapi, saya yakin Yehuwa senang dengan hati dengan saya kerana saya berusaha melawan keinginan itu.
Dengan menghampiri Yehuwa dan hidup dalam cara yang menyenangkan-Nya, saya telah memulihkan harga diri saya. Kini, saya benar-benar bahagia.
“Kaki Minum yang Tidak Pandai Puas.”—LUKA ŠUC
TAHUN LAHIR: 1975
NEGARA ASAL: SLOVENIA
LATAR BELAKANG: KAKI BOTOL
KISAH SILAM SAYA: Saya lahir di Ljubljana, ibu kota Slovenia. Semasa kecil, hidup saya baik-baik saja. Semasa saya berumur empat tahun, bapa saya bunuh diri. Selepas itu, ibu terpaksa bekerja keras untuk sediakan keperluan asas bagi saya dan abang saya.
Semasa saya berumur 15 tahun, saya tinggal bersama nenek saya. Saya suka tinggal bersama nenek kerana kawan-kawan saya pun tinggal di tempat yang berdekatan. Lagipun, nenek beri saya banyak kebebasan. Semasa saya berumur 16 tahun, saya mula bergaul dengan orang yang sering minum-minum pada hujung minggu. Saya biarkan rambut saya tumbuh panjang dan ikut gaya penampilan yang tidak bagus. Lama-kelamaan, saya juga mula merokok.
Biarpun saya pernah mencuba banyak jenis dadah, saya lebih suka minum alkohol. Mula-mula, saya hanya minum beberapa gelas. Tapi selepas itu, saya dapat menghabiskan lebih daripada satu botol sekali gus. Saya pandai menyembunyikan tabiat buruk saya. Jadi tiada orang tahu saya ada minum kecuali mereka terhidu nafas saya. Ada kalanya, saya minum sampai beberapa liter wain, bir, dan vodka.
Sering kali selepas berdisko, saya perlu bantu kawan-kawan saya yang sudah mabuk, biarpun jumlah alkohol yang saya minum dua kali lebih banyak daripada mereka. Pada suatu hari, saya terdengar seorang kawan kata saya kaki minum yang tidak pandai puas. Dalam bahasa Slovenia, ini sesuatu yang sangat hina. Kata-katanya buat saya rasa sakit hati.
Saya mula fikir tentang tujuan hidup saya. Saya rasa tidak berguna dan sedang membazirkan kehidupan saya.
BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA: Pada masa itu, saya perhatikan seorang rakan kelas saya telah banyak berubah dan tidak kasar macam dulu. Saya ajak dia ke kafe sebab saya mahu tahu apa yang membantunya berubah. Kawan saya kata dia sedang belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Dia mengongsi apa yang dia belajar, dan hati saya terbuka untuk dengarnya. Sebenarnya, saya tidak pernah didedahkan kepada agama semasa saya kecil. Jadi, inilah kali pertama saya dengar tentang ajaran Bible. Saya mula menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa dan belajar Bible dengan mereka.
Kebenaran Bible sangat menarik. Antaranya ialah nubuat Bible tentang zaman kita yang dipanggil “hari-hari terakhir.” (2 Timotius 3:1-5) Saya juga belajar bahawa Tuhan akan menyingkirkan orang jahat dari bumi dan menjadikan bumi sebuah Firdaus untuk dinikmati orang baik buat selama-lamanya. (Mazmur 37:29) Saya tergerak untuk mengubah hidup saya agar dapat menjadi sebahagian daripada umat Yehuwa.
Saya beritahu kawan saya tentang hal-hal yang saya belajar daripada Bible. Kebanyakan daripada mereka mengejek saya. Tetapi reaksi mereka bantu saya sedar bahawa mereka bukanlah sahabat yang sejati. Saya juga mula sedar bahawa masalah peminuman saya berkait rapat dengan pergaulan saya. Kawan-kawan ini hanya hidup untuk hujung minggu supaya mereka boleh berseronok dan minum sampai mabuk.
Saya memutuskan persahabatan dengan mereka dan mula bergaul dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Kawan-kawan baharu ini sangat menggalakkan saya. Mereka betul-betul mengasihi Tuhan dan mahu hidup selaras dengan kehendak-Nya. Lambat-laun, saya berjaya mengatasi masalah peminuman saya.
MANFAAT YANG SAYA TERIMA: Saya tidak boleh bayangkan kehidupan saya sekarang jika saya tidak mengubah gaya hidup saya. Saya sangat bersyukur kerana Yehuwa membebaskan saya daripada menjadi hamba alkohol. Kini, saya tidak perlu bergantung pada alkohol untuk rasa gembira. Hidup saya jauh lebih bahagia sekarang.
Sepanjang tujuh tahun ini, saya berpeluang untuk berkhidmat di pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di Slovenia. Hidup saya penuh makna setelah mengenali Yehuwa dan menyembah-Nya.