Adakah Anda Sedar Tuhan Menolong Anda?
‘Yehuwa menolong orang yang taat kepada-Nya.’—YES. 66:14.
LAGU: 65, 26
1, 2. Apakah pendapat sesetengah orang mengenai Tuhan?
BANYAK orang berfikir bahawa kehidupan mereka tidak penting di mata Tuhan. Mereka percaya bahawa Tuhan tidak mengambil berat tentang mereka. Contohnya, setelah ribut taufan yang dahsyat memusnahkan sebahagian besar negara Filipina pada November 2013, seorang datuk bandar berkata bahawa “Tuhan mungkin berada di tempat lain” pada masa itu.
2 Ada orang pula berkelakuan seolah-olah Tuhan tidak dapat melihat apa yang dilakukan mereka. (Yes. 26:10, 11; 3 Yoh. 11) Pada zaman Paulus, sesetengah orang berpendapat sedemikian. Maka Paulus berkata, “Mereka enggan mengakui Tuhan.” Mereka penuh dengan kepalsuan, kejahatan, ketamakan, dan keburukan.—Rm. 1:28, 29, nota kaki.
3. Apakah soalan yang boleh kita tanya kepada diri sendiri?
3 Bagaimana pula dengan kita? Kita tahu bahawa Yehuwa dapat melihat segala sesuatu. Namun, adakah kita percaya bahawa Yehuwa prihatin dengan kita? Dapatkah kita melihat bagaimana Yehuwa menolong kita? Yehuwa menggunakan kuasa-Nya untuk membantu umat-Nya dan mengalahkan musuh-Nya. (Baca Ulangan 26:8.) Yesus berkata bahawa sesetengah orang dapat “melihat Tuhan.” (Mat. 5:8) Adakah kita juga dapat “melihat Tuhan”? Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian? Mari kita lihat contoh-contoh Bible mengenai orang yang dapat melihat bantuan Tuhan dan orang yang enggan mengakui kuasa-Nya. Kita juga akan belajar bagaimana iman dapat membantu kita merasai bantuan Tuhan.
MEREKA ENGGAN MENGAKUI KUASA TUHAN
4. Bagaimanakah kita tahu bahawa musuh orang Israel enggan mengakui kuasa Tuhan?
4 Pada zaman dahulu, ramai orang berpeluang melihat dan mendengar bagaimana Tuhan membantu orang Israel. Yehuwa melakukan mukjizat untuk membebaskan umat-Nya dari Mesir dan mengalahkan banyak raja di Tanah yang Dijanjikan. (Yos. 9:3, 9, 10) Walaupun raja yang lain dapat melihat atau mendengar bagaimana Yehuwa menyelamatkan umat-Nya, “raja-raja itu bersepakat dan bergabung untuk menentang Yosua dan umat Israel.” (Yos. 9:1, 2) Semasa berperang, mereka dapat melihat kuasa Tuhan. Kuasa Yehuwa telah menyebabkan “matahari berhenti dan bulan pun tidak bergerak, sehingga umat Israel dapat mengalahkan musuh mereka.” (Yos. 10:13) Tetapi, Yehuwa mengizinkan musuh orang Israel untuk terus “berperang dengan orang Israel.” (Yos. 11:20) Akhirnya, mereka dikalahkan kerana mereka enggan mengakui bahawa Yehuwa berperang demi umat-Nya.
5. Apakah yang enggan diakui oleh Raja Ahab?
5 Raja Ahab yang jahat berpeluang melihat kuasa Tuhan. Elia memberitahunya, “Tidak akan ada embun ataupun hujan, sehingga hamba mengatakan ada hujan.” (1 Raj. 17:1) Hal ini tidak mustahil bagi Tuhan. Tetapi Ahab enggan mempercayainya. Ahab juga berpeluang melihat api turun dari langit apabila Tuhan menjawab doa Elia. Kemudian Elia memberitahu Ahab bahawa Yehuwa akan menghentikan kemarau dengan menurunkan hujan yang lebat. (1 Raj. 18:22-45) Ahab dapat melihat semua mukjizat ini, tetapi dia masih enggan mengakui kuasa Tuhan. Apakah pengajarannya? Kita harus berusaha untuk melihat bantuan Tuhan dalam kehidupan kita.
MEREKA MELIHAT KUASA YEHUWA
6, 7. Apakah yang disedari oleh orang Gibeon dan Rahab?
6 Orang Gibeon tidak seperti bangsa-bangsa lain. Mereka sedar akan kuasa Tuhan. Oleh itu, mereka tidak melawan orang Israel, tetapi berdamai dengan mereka. Mengapa? Kerana mereka mendengar tentang Yehuwa dan segala yang dilakukan oleh-Nya. (Yos. 9:3, 9, 10) Orang Gibeon memang bijak kerana mereka sedar bahawa Yehuwa menyertai orang Israel.
7 Rahab juga dapat melihat kuasa Tuhan. Walaupun dia bukan orang Israel, dia mendengar tentang cara Yehuwa membebaskan umat-Nya dari Mesir. Apabila dua pengintip Israel datang kepadanya, dia berkata, “Aku tahu bahawa Yehuwa telah memberikan tanah ini kepada kamu.” Rahab percaya bahawa Yehuwa berupaya menyelamatkannya dan keluarganya. Dia tetap beriman walaupun dalam keadaan yang bahaya.—Yos. 2:9-13; 4:23, 24.
8. Apakah yang menunjukkan bahawa sesetengah orang Israel sedar akan kuasa Tuhan?
8 Tidak seperti Raja Ahab, sesetengah orang Israel sedar bahawa Tuhanlah yang menjawab doa Elia dengan menurunkan api dari langit. Mereka berseru, ‘Yehuwa satu-satunya Tuhan!’ (1 Raj. 18:39) Bagi mereka, peristiwa itu jelas menunjukkan kuasa Tuhan.
9. Bagaimanakah kita dapat melihat kuasa Tuhan?
Ef. 1:18) Umat Tuhan pada zaman kuno dan sekarang sedar bahawa Tuhan menolong mereka, maka kita didorong untuk mengikut teladan mereka. Namun, apakah buktinya bahawa Tuhan sedang membantu kita hari ini?
9 Kita sudah mengkaji contoh baik dan contoh buruk daripada Bible. Hal ini membantu kita memahami bagaimana kita dapat melihat kuasa Tuhan. Apabila kita lebih mengenali Yehuwa dan sifat-sifat-Nya, kita dapat melihat kuasa Tuhan menerusi ‘mata hati kita.’ (BUKTI BANTUAN TUHAN HARI INI
10. Apakah bukti yang menunjukkan bahawa Yehuwa membantu orang hari ini? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
10 Kita mempunyai banyak bukti bahawa Yehuwa membantu kita hari ini. Terdapat pengalaman yang menunjukkan bahawa Tuhan mengabulkan doa orang yang berseru kepada-Nya. (Mzm. 53:3) Contohnya, semasa menginjil di sebuah pulau di Filipina, Allan berjumpa dengan seorang perempuan yang mula menangis. Allan berkata, “Pada pagi itu, perempuan itu berdoa agar Yehuwa menghantar Saksi-Saksi untuk mencarinya.” Semasa remaja, perempuan ini belajar Bible dengan para Saksi. Tetapi selepas dia berkahwin dan berpindah ke pulau ini, dia berhenti belajar Bible. Tuhan menjawab doanya dengan cepat dan hal ini menyentuh hatinya. Kurang daripada setahun kemudian, dia membaktikan diri kepada Yehuwa.
11, 12. (a) Bagaimanakah Yehuwa membantu umat-Nya? (b) Jelaskan cara Yehuwa membantu seorang saudari.
11 Banyak umat Yehuwa telah menerima bantuan-Nya untuk menghentikan tabiat buruk seperti merokok, menagih dadah, atau melihat bahan lucah. Sesetengah orang berkata bahawa mereka cuba berhenti dengan usaha sendiri tetapi gagal melakukannya. Namun, apabila mereka meminta bantuan Yehuwa, Dia memberikan “kuasa luar biasa” dan mereka berjaya menghentikan tabiat ini.—2 Kor. 4:7; Mzm. 37:23, 24.
12 Yehuwa juga membantu umat-Nya untuk bertahan semasa menghadapi kesusahan peribadi. Contohnya, Amy telah ditugaskan untuk membantu pembinaan Dewan Perjumpaan dan rumah mubaligh di sebuah pulau di Lautan Pasifik. Budaya di sana berbeza. Bekalan elektrik dan air selalu terputus. Jalan di sana selalu banjir dan dia tinggal seorang diri dalam bilik hotel yang kecil. Dia juga merindui keluarganya. Pada suatu hari, dia berasa menyesal kerana melepaskan kemarahannya kepada seorang saudari yang bekerja bersamanya. Apabila dia kembali ke biliknya yang gelap itu, dia meluahkan isi hatinya kepada Yehuwa dan meminta bantuan-Nya. Kemudian apabila bekalan elektrik kembali, dia membaca rencana Menara Pengawal mengenai Majlis Lulusan Sekolah Gilead. Rencana itu membincangkan cabaran yang sama sepertinya. Dia berkata, “Pada malam itu, saya berasa bahawa Yehuwa sedang bercakap kepada saya. Saya didorong untuk meneruskan tugas saya.”—Mzm. 44:26, 27; Yes. 41:10, 13.
13. Apakah buktinya bahawa Yehuwa membantu umat-Nya untuk mempertahankan hak mereka untuk menginjil?
13 Yehuwa telah membantu umat-Nya untuk ‘mempertahankan berita baik dan memperoleh hak yang sah di sisi undang-undang untuk menyebarkan berita baik.’ (Flp. 1:7) Contohnya, apabila sesetengah kerajaan cuba menghentikan kerja penyebaran, kita mempertahankan hak kita di mahkamah. Sejak tahun 2000, kita telah memenangi sekurang-kurangnya 268 kes di mahkamah tinggi di serata dunia, dan 24 daripadanya dimenangi di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah. Jelaslah bahawa tiada sesiapa pun yang dapat menandingi kuasa Tuhan.—Yes. 54:17; baca Yesaya 59:1.
14. Apakah bukti lain yang menunjukkan bahawa Tuhan menyertai umat-Nya?
14 Kerja penyebaran di serata dunia juga membuktikan bahawa Tuhan membantu umat-Nya. (Mat. 24:14; Kis. 1:8) Perpaduan umat Tuhan yang terdiri daripada pelbagai bangsa hanya dapat dicapai dengan bantuan Yehuwa. Perpaduan ini sangat istimewa! Orang yang bukan penyembah Yehuwa pun mengakui, “Tuhan benar-benar ada dalam kalangan kamu.” (1 Kor. 14:25) Kita memang mempunyai banyak bukti bahawa Tuhan menolong umat-Nya. (Baca Yesaya 66:14.) Adakah anda mempercayai hal itu? Dapatkah anda melihat bantuan Yehuwa dalam kehidupan anda?
ADAKAH ANDA SEDAR BAHAWA TUHAN MENOLONG ANDA?
15. Mengapakah kita mungkin tidak sedar bahawa Tuhan menolong kita?
15 Kadangkala, kita mungkin tidak sedar bahawa Tuhan menolong kita. Mengapa? Ketika dilanda pelbagai masalah, kita mungkin lupa bahawa Yehuwa telah berulang kali membantu kita sebelum ini. Hal ini pernah berlaku kepada Elia. Dia seorang yang berani. Tetapi apabila Permaisuri Izebel ingin membunuhnya, dia menjadi takut. Dia terlupa bagaimana Tuhan pernah menolongnya. Hal itu menyebabkan Elia berasa bahawa dia ingin mati. (1 Raj. 19:1-4) Bagaimanakah dia dapat mengatasi perasaan itu? Dia perlu meminta bantuan Yehuwa!—1 Raj. 19:14-18.
16. Bagaimanakah kita dapat melihat bantuan Yehuwa apabila kita diselubungi masalah?
16 Ayub asyik bertumpu kepada masalahnya sehingga dia mengabaikan pandangan Yehuwa. (Ayb. 42:3-6) Ada kalanya, kita mungkin berasa susah untuk melihat bantuan Tuhan kerana masalah yang kita hadapi. Apakah yang dapat membantu kita? Kita harus merenungkan apa yang dikatakan Bible mengenai masalah yang berlaku pada hari ini. Apabila kita sedar bahawa Yehuwa sedang menolong kita, barulah Dia akan menjadi lebih nyata. Maka kita dapat berkata, “Dahulu aku hanya mendengar tentang Engkau, tetapi kini aku sendiri melihat Engkau.”
17, 18. (a) Bagaimanakah anda dapat melihat bantuan Yehuwa? (b) Kongsikan satu pengalaman yang menunjukkan bahawa Yehuwa sedang membantu kita hari ini.
17 Bagaimanakah anda dapat melihat bantuan Yehuwa? Mari kita lihat lima contoh. Pertama, anda mungkin berasa bahawa Yehuwa telah memimpin anda dalam kebenaran. Kedua, anda mungkin pernah mendengar ceramah yang menggalakkan di perjumpaan dan berkata, “Itulah yang saya perlukan!” Ketiga, anda mungkin pernah melihat bagaimana Yehuwa mengabulkan doa anda. Keempat, anda mungkin ingin meluaskan khidmat anda, dan Yehuwa telah membantu anda mencapai matlamat itu. Kelima, anda mungkin berhenti bekerja demi hal-hal rohani dan kemudian anda nampak bagaimana Tuhan menunaikan janji-Nya: “Aku sama sekali tidak akan mengabaikan engkau.” (Ibr. 13:5) Jika kita mempunyai hubungan yang erat dengan Yehuwa, kita dapat melihat bantuan-Nya dengan jelas.
18 Sarah, seorang saudari dari Kenya berkata, “Saya berdoa tentang seorang pelajar yang nampaknya tidak menghargai pembelajaran Bible. Saya menanya Yehuwa jika saya patut menghentikan pembelajaran itu. Sejurus selepas saya berkata ‘Amin,’ telefon saya berdering. Pelajar Bible itu menelefon saya dan bertanya jika dia boleh pergi ke perjumpaan bersama saya! Saya sangat terkejut!” Jika kita peka terhadap apa yang dilakukan Tuhan, kita dapat melihat bantuan-Nya. Rhonna, seorang saudari dari Asia berkata bahawa masa diperlukan untuk melihat cara Yehuwa membantu kita. Dia menambah, “Selepas berbuat demikian, anda akan kagum kerana Yehuwa sangat prihatin dengan kehidupan kita!”
19. Apakah perkara lain yang harus kita lakukan agar dapat melihat bantuan Tuhan?
19 Yesus berkata bahawa “orang yang berhati murni . . . akan melihat Tuhan.” (Mat. 5:8) Apakah maksudnya? Kita harus memastikan pemikiran kita murni dan berhenti melakukan perkara yang salah. (Baca 2 Korintus 4:2.) Dalam rencana ini, kita belajar bahawa untuk melihat bantuan Tuhan, kita harus mempunyai hubungan yang kuat dengan-Nya. Dalam rencana seterusnya, kita akan membincangkan bagaimana iman dapat membantu kita melihat bantuan Yehuwa dengan lebih jelas.