KISAH HIDUP
Mengingat Saatnya Saya Mula Mengasihi Yehuwa
PADA tahun 1970, saya ditahan di hospital Amerika Syarikat. Seorang jururawat lelaki memeriksa tekanan darah saya setiap setengah jam. Saya menghidapi penyakit yang serius. Pada masa itu, saya berusia 20 tahun dan berkhidmat sebagai seorang askar. Jururawat itu berasa risau kerana tekanan darah saya menurun. Saya menanya dia, “Kamu belum pernah melihat orang mati, bukan?” Mukanya menjadi pucat dan dia menjawab, “Tidak pernah.”
Ketika itu, masa depan saya kelihatan suram. Tetapi mengapakah saya berada di hospital? Biarlah saya ceritakan kisah hidup saya.
PENGALAMAN DI MEDAN PEPERANGAN
Saya jatuh sakit semasa bertugas di hospital ketika Perang Vietnam. Saya ingin menjadi seorang pakar bedah supaya dapat membantu orang yang sakit dan cedera. Saya tiba di Vietnam pada bulan Julai 1969. Saya diberikan masa seminggu untuk menyesuaikan diri dengan tempat yang baru dan cuaca yang panas di sana.
Saya diberikan tugas di hospital tentera di Delta Mekong. Banyak helikopter yang penuh dengan askar yang tercedera mendarat di sana. Saya mempunyai semangat patriotik yang kuat dan ingin bekerja dengan segera. Kontena-kontena besi kecil yang dilengkapi penyaman udara digunakan sebagai dewan bedah. Di setiap kontena, seorang pakar bedah, seorang pakar bius, dan dua orang jururawat berusaha untuk menyelamatkan nyawa orang. Beberapa beg hitam yang besar tidak diangkat keluar dari helikopter. Saya diberitahu bahawa beg-beg itu mengandungi anggota badan askar yang terkorban akibat letupan bom. Itulah pengalaman pertama saya di medan peperangan.
MENCARI TUHAN
Sebagai pemuda, saya tahu sedikit sebanyak tentang ajaran Saksi-Saksi Yehuwa kerana ibu saya pernah belajar Bible bersama mereka. Saya suka menyertai pembelajaran Bible ibu saya. Namun ibu tidak membuat kemajuan rohani. Pada suatu hari, saya dan bapa tiri saya berjalan berdekatan sebuah Dewan Perjumpaan. Dia berkata,
“Jangan kamu sesekali mendekati mereka.” Saya mengasihi dan mempercayai bapa tiri saya. Jadi saya mengikut nasihatnya dan tidak lagi mendekati Saksi-Saksi Yehuwa.Selepas kembali dari Vietnam, saya berasa saya memerlukan Tuhan. Hati saya remuk mengingat kenangan pahit di Vietnam. Tiada sesiapa yang benar-benar memahami apa yang sedang berlaku di sana. Bahkan tunjuk perasaan berlaku apabila terdapat laporan bahawa tentera Amerika telah membunuh kanak-kanak semasa peperangan.
Oleh sebab saya dahaga secara rohani, saya mula pergi ke gereja yang berlainan. Saya sangat mengasihi Tuhan, tetapi saya kecewa dengan apa yang berlaku di gereja. Akhirnya pada Februari 1971, saya pergi ke sebuah Dewan Perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa di Florida.
Apabila saya memasuki dewan itu, ceramah umum hampir tamat. Jadi saya menyertai pembelajaran Menara Pengawal. Saya tidak ingat topik yang dibincangkan, tetapi saya masih ingat tentang budak-budak kecil di sana yang dapat mencari ayat-ayat rujukan dalam Bible sendiri. Saya sangat kagum dengan mereka! Semasa meninggalkan dewan itu, Saudara Jim Gardner, yang berumur sekitar 80 tahun datang kepada saya. Dia memberikan buku “Kebenaran” (The Truth That Leads to Eternal Life) kepada saya. Kami berjanji untuk berjumpa pada hari Khamis pagi untuk memulakan pembelajaran Bible.
Pada malam itu, saya bekerja di sebuah hospital swasta di Boca Raton, Florida. Waktu kerja saya adalah dari pukul 11 malam hingga pukul 7 pagi. Memandangkan saya tidak sibuk, saya dapat membaca buku “Kebenaran.” Sambil saya membaca, seorang jururawat merampas buku itu dari tangan saya dan berkata dengan nada suara yang tinggi, “Biar betul kamu mahu jadi seorang Saksi?” Saya mengambil balik buku itu dan berkata, “Saya sudah baca hampir separuh buku itu, dan ya, nampaknya saya akan menjadi seorang Saksi!” Kemudian jururawat itu beredar dan saya membaca buku itu sampai habis.
Semasa pembelajaran Bible yang pertama, saya menanya Saudara Gardner, “Apakah yang akan kita belajar?” Dia menjawab, “Buku yang saya berikan kepada kamu.” “Tetapi saya sudah membaca buku itu,” kata saya. Saudara Gardner menjawab, “Apa kata kita bincangkan bab pertama.” Saya kagum dengan apa yang saya pelajari. Pada masa itu, barulah saya mula mengenali Tuhan yang benar, Yehuwa. Saudara Gardner juga meminta saya membaca banyak ayat daripada Bible King James Version yang saya miliki. Saudara Gardner, yang biasa saya panggil Jim, membincangkan tiga bab daripada buku “Kebenaran” dengan saya pada pagi itu. Sejak itu, kami belajar tiga bab setiap hari Khamis. Saya sangat menikmati pembelajaran
Bible dengannya. Memang suatu penghormatan untuk diajar oleh seorang saudara terurap yang mengenali Charles T. Russell!Beberapa minggu kemudian, saya layak menjadi seorang penyiar. Jim banyak membantu saya dan mengajar saya cara untuk menginjil dari rumah ke rumah. (Kis. 20:20) Dengan bantuannya, saya mula menikmati aktiviti penyebaran. Sehingga ke hari ini, saya menganggap kerja menginjil sebagai peluang yang sangat istimewa kerana saya dapat menjadi rakan sekerja Tuhan!—1 Kor. 3:9.
SAYA MULA MENGASIHI YEHUWA
Mari saya ceritakan sesuatu yang dekat dengan hati saya, iaitu bagaimana saya mula mengasihi Yehuwa. (Why. 2:4) Kasih ini membantu saya apabila saya menghadapi cabaran atau terkenang kembali peristiwa yang pahit semasa peperangan.—Yes. 65:17.
Kasih kepada Yehuwa membantu saya apabila saya menghadapi cabaran atau terkenang kembali peristiwa pahit semasa peperangan
Saya masih ingat suatu peristiwa pada tahun 1971. Saya baru diusir dari kondominium bapa tiri saya. Dia tidak membenarkan seorang Saksi Yehuwa untuk tinggal di rumahnya! Pada masa itu, saya tidak mempunyai banyak wang. Saya telah pun menggunakan kebanyakan gaji saya untuk membeli pakaian yang sesuai bagi aktiviti penyebaran. Hospital di mana saya bekerja pula membayar gaji setiap dua minggu. Saya ada wang simpanan, tetapi wang itu terletak jauh di sebuah bank di Michigan, tempat saya membesar. Jadi saya terpaksa tidur dalam kereta. Saya bercukur dan membersihkan diri di tandas awam.
Pada suatu hari, selepas habis kerja di hospital, saya pergi ke Dewan Perjumpaan untuk aktiviti penyebaran. Memandangkan saya sampai awal,
saya menunggu di sana. Pada masa itu, kenangan tentang Perang Vietnam mula bermain di minda saya. Saya teringat bau mayat dan medan peperangan yang dilumuri darah. Saya seolah-olah dapat melihat askar-askar muda yang tercedera berseru, “Adakah saya akan hidup? Adakah saya akan hidup?” Saya tahu mereka tidak dapat diselamatkan, tetapi saya cuba melegakan hati mereka. Kenangan ini meremukkan hati saya.Apabila saya menghadapi cabaran, saya berusaha sedaya upaya untuk mengingat saatnya saya mula mengasihi Yehuwa
Saya berdoa sambil mengalirkan air mata. (Mzm. 56:9) Saya mula berfikir dengan mendalam tentang harapan pembangkitan. Pada masa itulah saya sedar bahawa melalui pembangkitan, Tuhan Yehuwa akan memulihkan keadaan semua orang yang terlibat dalam peperangan, termasuk saya. Tuhan akan membangkitkan askar-askar muda itu, dan mereka akan mempunyai peluang untuk belajar tentang-Nya. (Kis. 24:15) Pada saat itu, hati saya berkobar-kobar dengan kasih terhadap Yehuwa. Hari itu sangat istimewa bagi saya. Sejak itu, apabila saya menghadapi cabaran, saya berusaha sedaya upaya untuk mengingat saatnya saya mula mengasihi Yehuwa.
KEBAIKAN HATI YEHUWA
Semasa peperangan, banyak orang melakukan perkara yang teruk. Saya tidak terkecuali. Namun, terdapat dua ayat Bible yang membantu saya. Yang pertama ialah Wahyu 12:10, 11 yang menyatakan bahawa Si Iblis dikalahkan bukan hanya melalui kesaksian kita, tetapi juga melalui darah Anak Bebiri. Ayat yang kedua ialah Galatia 2:20. Ayat itu menunjukkan bahawa Yesus telah mati ‘bagi saya.’ Menerusi darah Yesus, Yehuwa mengampunkan apa yang telah saya lakukan. Pengetahuan ini membantu saya untuk mempunyai hati nurani yang bersih. Selain itu, saya didorong untuk membantu orang lain mengenali Tuhan kita yang berbelas kasihan, iaitu Tuhan Yehuwa.—Ibr. 9:14.
Apabila terkenang kembali kehidupan saya, saya sangat menghargai cara Yehuwa menjaga saya. Contohnya, apabila Jim mendapati bahawa saya terpaksa tidur dalam kereta, dia memperkenalkan seorang saudari yang mempunyai rumah sewa. Saya sangat percaya bahawa Yehuwa telah menyediakan tempat tinggal bagi saya melalui Jim dan saudari itu. Yehuwa sangat baik hati! Dia menjaga umat-Nya yang setia.
BERSEMANGAT TANPA MENYINGGUNG PERASAAN ORANG LAIN
Pada bulan Mei 1971, saya pergi ke Michigan kerana ada urusan di sana. Sebelum bertolak, saya memenuhi but kereta saya dengan bahan bacaan Bible. Sebelum saya memasuki negeri yang seterusnya iaitu Georgia, saya sudah pun menawarkan semua bahan bacaan tersebut. Saya menginjil dengan bersemangat di mana-mana sahaja. Saya menginjil di penjara, bahkan di tandas lelaki. Sehingga hari ini, saya sering tertanya-tanya jika benih kebenaran yang saya taburkan itu bercambah.—1 Kor. 3:6, 7.
Pada mulanya, saya tidak tahu cara yang sesuai untuk mengongsi kebenaran, terutamanya dengan keluarga saya. Kasih terhadap Yehuwa membara di dalam hati saya. Jadi saya menginjil dengan terus terang tanpa mengira perasaan orang lain. Saya sangat mengasihi abang saya, John dan Ron, dan memaksa mereka untuk menerima kebenaran. Tetapi kemudian, saya meminta maaf atas tindakan saya yang keterlaluan. Walaupun begitu, saya berdoa sampai sekarang agar mereka menerima kebenaran. Sejak itu, Yehuwa telah mengajar saya untuk mengongsi kebenaran dalam cara yang tidak menyinggung perasaan orang lain.—Kol. 4:6.
ORANG YANG SAYA KASIHI
Saya memang mengasihi Yehuwa, tetapi saya juga mengasihi orang lain, seperti isteri saya, Susan. Saya menginginkan seorang teman yang dapat menyokong saya dalam khidmat Yehuwa. Susan merupakan saudari yang kuat secara rohani. Pada suatu ketika semasa kami berdating, saya teringat Susan duduk di depan rumahnya sambil membaca majalah Menara Pengawal bersama Biblenya. Saya memerhatikan bahawa Susan bukan sahaja mengkaji rencana-rencana utama tetapi juga rencana-rencana lain, serta menyelidiki ayat-ayat Alkitab. Saya berfikir, “Inilah seorang wanita yang berfikiran rohani!” Kami berkahwin pada bulan Disember 1971. Sejak itu, saya bersyukur kerana dia sentiasa berada di samping saya. Apa yang paling saya suka tentangnya adalah walaupun dia mengasihi saya, dia lebih mengasihi Yehuwa.
Saya dan Susan dikurniai dua orang anak lelaki, iaitu Jesse dan Paul. Mereka dibesarkan di bawah bimbingan Tuhan. (1 Sam. 3:19) Mereka membawa nama baik kepada kami kerana mereka menerima kebenaran. Mereka berkhidmat kepada Yehuwa dengan setia kerana mereka mengingat saatnya mereka mula mengasihi Yehuwa. Mereka berdua telah berkhidmat sepenuh masa selama lebih daripada 20 tahun. Saya juga berasa bangga terhadap menantu saya, Stephanie dan Racquel yang mengasihi Tuhan Yehuwa dengan sepenuh hati dan jiwa. Saya menganggap mereka sebagai anak kandung.—Ef. 6:6.
Selepas pembaptisan saya, saya berkhidmat di Rhode Island selama 16 tahun. Di sana saya telah menjalinkan persahabatan yang bernilai. Saya mempunyai banyak kenangan manis semasa berkhidmat dengan para penatua yang berpengalaman. Tambahan lagi, saya bersyukur atas ramai penyelia litar yang mempunyai pengaruh yang baik terhadap saya. Saya menganggapnya sebagai suatu penghormatan yang besar untuk bekerja bersama para saudara ini yang setia kepada Yehuwa! Pada tahun 1987, kami berpindah ke Carolina Utara untuk berkhidmat di tempat yang lebih memerlukan bantuan. Di sana kami menjalinkan lebih banyak persahabatan.
Pada bulan Ogos 2002, saya dan Susan dijemput untuk berkhidmat sebagai ahli Bethel di Paterson, Amerika Syarikat. Saya berkhidmat di Bahagian Kerja Penyebaran, manakala Susan berkhidmat di Bahagian Dobi. Dia menikmati kerja di sana! Kemudian pada bulan Ogos 2005, saya diberikan penghormatan untuk berkhidmat sebagai seorang ahli Badan Pimpinan. Saya berasa tidak layak untuk memikul tanggungjawab ini. Isteri saya pula bimbang mengenai tanggungjawab dan perjalanan yang perlu dibuat. Susan memang tidak suka menaiki kapal terbang. Namun, kami sekarang selalu menaiki kapal terbang! Susan berkata bahawa galakan daripada isteri-isteri ahli Badan Pimpinan yang lain telah membantunya dan dia bertekad untuk menyokong saya. Oleh itu, saya sangat mengasihinya.
Di pejabat saya, saya dikelilingi gambar orang yang dikasihi! Gambar-gambar ini mengingatkan saya tentang kehidupan yang saya nikmati sekarang. Saya telah menerima banyak ganjaran kerana saya berusaha sedaya upaya untuk mengingat saatnya saya mula mengasihi Yehuwa!