Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Yehuwa Membimbing Kerja Pendidikan Sedunia

Yehuwa Membimbing Kerja Pendidikan Sedunia

Akulah Yehuwa, Tuhan kamu, Aku mengajar kamu apa yang baik bagi kamu, Aku memimpin kamu di jalan yang harus kamu tempuh.’YES. 48:17.

1. Apakah yang membuat kerja penyebaran susah dilakukan?

APABILA umat Yehuwa mula mengkhabarkan berita baik lebih daripada 130 tahun dahulu, mereka menghadapi banyak kesusahan. * Seperti orang Kristian pada abad pertama, bilangan mereka hanya sedikit sahaja dan apa yang disampaikan oleh mereka tidak diminati ramai. Sesetengah orang berfikir bahawa mereka tidak berpendidikan. Apabila Syaitan dilemparkan ke bumi, umat Tuhan mengalami penganiayaan. (Why. 12:12) Sejak itu, mereka menginjil pada “hari-hari terakhir . . . yang sukar dihadapi.”—2 Tim. 3:1.

2. Apakah yang dilakukan oleh Yehuwa untuk membantu kita menginjil?

2 Yehuwa selalu membantu umat-Nya. Dia ingin mereka mengkhabarkan berita baik di serata dunia. Jadi Dia tidak akan membiarkan apa-apa pun menghalang kerja ini. Dengan memisahkan umat-Nya daripada agama palsu, Dia telah membantu mereka untuk beribadat dalam cara yang diperkenankan-Nya. Hal ini sama dengan zaman Israel. Yehuwa telah membebaskan orang Israel daripada Babilon. (Why. 18:1-4) Apa yang diajarkan oleh Yehuwa bermanfaat bagi kita secara peribadi. Dia mengajar kita untuk hidup damai dengan satu sama lain, dan melatih kita untuk mengajar orang tentang-Nya. (Baca Yesaya 48:16-18.) Walaupun Yehuwa membimbing kerja kita, hal ini tidak bermaksud Dia sering mengubah keadaan di dunia untuk membantu kita menginjil. Sesetengah perkara yang terjadi di dunia memang telah memudahkan kerja penyebaran. Namun, kita masih dianiaya dan menghadapi masalah di dunia Syaitan. Jadi hanya dengan bantuan Yehuwa kita dapat menginjil.—Yes. 41:13; 1 Yoh. 5:19.

3. Bagaimanakah nubuat Daniel menjadi kenyataan?

3 Nabi Daniel bernubuat bahawa pada akhir zaman, banyak orang akan mengetahui “pengetahuan yang benar.” (Dan. 12:4, NW) Sebelum “akhir zaman” bermula, Yehuwa telah membantu umat-Nya untuk memahami ajaran Bible yang penting. Jadi mereka menolak ajaran agama Kristian palsu. Hari ini, umat Yehuwa mengajarkan kebenaran Bible di serata dunia. Jelaslah bahawa nubuat Daniel telah menjadi kenyataan. Hampir lapan juta orang telah mempelajari kebenaran dan mengajarkannya kepada orang lain. Namun, apakah yang telah membantu umat Yehuwa untuk menginjil ke serata dunia?

TERJEMAHAN BIBLE

4. Pada kurun ke-19, Bible telah diterjemahkan ke dalam berapa bahasa?

4 Hari ini, ramai orang memiliki Bible. Hal ini membantu kita untuk mengajar mereka tentang berita baik. Namun, pada zaman dahulu, keadaannya berbeza. Selama 400 tahun, para pemimpin agama tidak ingin orang membaca Bible. Mereka menganiaya orang yang membacanya dan membunuh orang yang menterjemahkan Bible. Namun, pada kurun ke-19, beberapa organisasi telah menyediakan seluruh atau sebahagian daripada Bible dalam kira-kira 400 bahasa. Jadi pada akhir kurun ke-19, ramai orang memiliki Bible. Walaupun demikian, mereka tidak memahami ajaran Bible.

5. Apakah yang dilakukan oleh Saksi-Saksi Yehuwa untuk menterjemahkan Bible?

5 Umat Yehuwa tahu bahawa mereka perlu mengajarkan kebenaran Bible kepada orang lain. Pada mulanya, mereka menggunakan terjemahan Bible yang sedia ada, dan menawarkannya kepada orang. Sejak tahun 1950, mereka menerbitkan sebahagian atau seluruh Bible New World Translation of the Holy Scriptures dalam lebih daripada 120 bahasa. Pada tahun 2013, mereka menerbitkan Bible New World Translation of the Holy Scriptures yang dikemaskinikan dalam bahasa Inggeris. Edisi ini lebih mudah untuk difahami dan untuk diterjemahkan ke dalam bahasa lain. Bible sebegini menyebabkan kerja penyebaran kita menjadi lebih senang.

KEADAAN YANG DAMAI

6, 7. (a) Apakah peperangan yang telah berlaku sepanjang 100 tahun yang lalu? (b) Bagaimanakah keadaan yang damai di sesetengah negara memudahkan kerja penyebaran?

6 Sepanjang 100 tahun yang lalu banyak peperangan berlaku, termasuk dua perang dunia. Jutaan orang telah terkorban. Tetapi, mengapakah kita berkata bahawa keadaan yang damai membantu umat Yehuwa untuk menginjil? Semasa perang dunia kedua, Saudara Nathan Knorr mengambil pimpinan dalam kalangan Saksi-Saksi Yehuwa. Pada konvensyen tahun 1942, dia menyampaikan ceramah yang bertajuk “Dapatkah Kedamaian Berkekalan?” Saudara Knorr menjelaskan nubuat dalam buku Wahyu bab 17 dan menyatakan bahawa perang dunia itu tidak akan berakhir dengan Armagedon. Sebaliknya masa yang damai akan tiba.—Why. 17:3, 11.

7 Sudah tentu, bukan semua tempat berada dalam keadaan yang damai selepas perang dunia kedua. Jutaan orang telah terkorban dalam peperangan yang lain. Tetapi banyak negara lain masih menikmati keadaan damai. Oleh itu, umat Yehuwa dapat menyebarkan berita baik. Apakah hasilnya? Semasa perang dunia kedua, bilangan Saksi-Saksi Yehuwa kurang daripada 110,000 orang. Tetapi sekarang, terdapat hampir lapan juta orang Saksi-Saksi Yehuwa! (Baca Yesaya 60:22.) Ya, kita telah memanfaatkan keadaan yang damai untuk mengkhabarkan berita baik kepada lebih banyak orang.

KEMAJUAN DARI SEGI PENGANGKUTAN

8, 9. Apakah kemajuan yang berlaku dari segi pengangkutan, dan bagaimanakah hal ini membantu kerja kita?

8 Kemajuan dari segi pengangkutan telah membantu memajukan kerja penyebaran. Pada tahun 1900, sekitar 21 tahun selepas majalah The Watch Tower diterbitkan, hanya terdapat kira-kira 8,000 kereta dan beberapa jalan raya yang baik di Amerika Syarikat. Hari ini, terdapat lebih daripada 1.5 bilion kereta di seluruh dunia, dan banyak tempat mempunyai jalan yang baik. Kereta dan jalan raya membolehkan kita menginjil kepada orang di tempat terpencil. Walaupun kemudahan pengangkutan di tempat kita kurang baik dan kita perlu berjalan dengan jauh, kita masih berusaha untuk menginjil kepada orang.—Mat. 28:19, 20.

9 Kita juga menggunakan pelbagai jenis pengangkutan seperti lori, kapal, dan kereta api untuk menghantar Bible dan bahan bacaan. Jadi bahan bacaan dapat dihantar kepada saudara saudari di tempat terpencil dalam masa beberapa minggu. Selain itu, penyelia litar, ahli jawatankuasa cawangan, mubaligh, dan saudara lain menggunakan kapal terbang untuk pergi ke tempat konvensyen untuk memberikan ceramah dan membantu sidang-sidang. Ahli Badan Pimpinan dan saudara-saudara dari ibu pejabat sedunia juga menaiki kapal terbang ke banyak tempat untuk menggalakkan dan melatih saudara saudari. Semua ini membantu umat Yehuwa untuk bersatu padu.—Mzm. 133:1-3.

BAHASA DAN PENTERJEMAHAN

10. Mengapakah boleh dikatakan bahawa bahasa Inggeris ialah bahasa antarabangsa?

10 Pada abad pertama, banyak orang di Empayar Roma bertutur dalam bahasa Yunani. Hari ini, banyak orang di serata dunia bertutur dalam bahasa Inggeris. Buku English as a Global Language menyatakan bahawa satu perempat daripada penduduk dunia bertutur atau memahami bahasa Inggeris. Banyak orang belajar bahasa Inggeris kerana bahasa ini digunakan di serata dunia dalam bidang perdagangan, politik, sains, dan teknologi.

11. Bagaimanakah bahasa Inggeris membantu kerja umat Yehuwa?

11 Bahasa Inggeris telah membantu kita menyebarkan kebenaran. Pada masa dahulu, bahan bacaan kita hanya terdapat dalam bahasa Inggeris. Banyak orang dapat memahaminya kerana bahasa Inggeris digunakan di serata dunia. Bahasa Inggeris juga digunakan di ibu pejabat sedunia. Saudara saudari dari pelbagai negara yang memahami bahasa Inggeris dilatih di Pusat Pendidikan Watchtower di Paterson, New York.

12. Bahan bacaan kita diterjemahkan ke dalam berapa bahasa? Apakah teknologi yang membantu kerja ini?

12 Kita bertanggungjawab menyebarkan berita baik ke serata dunia. Itulah sebabnya kita menterjemahkan bahan bacaan ke dalam lebih daripada 700 bahasa. Bagaimanakah kita melakukannya? Komputer dan program komputer seperti MEPS telah membantu kerja penterjemahan. Hasilnya, Saksi-Saksi Yehuwa di seluruh dunia dapat memahami “bahasa yang murni” tentang kebenaran Bible dan disatukan.—Baca Zefanya 3:9. *

UNDANG-UNDANG DAN KEPUTUSAN MAHKAMAH

13, 14. Bagaimanakah undang-undang dan keputusan mahkamah membantu kita?

13 Undang-undang Roma telah membantu kerja penyebaran orang Kristian abad pertama dalam banyak cara. Hari ini, undang-undang di banyak negara juga membantu kerja penyebaran kita. Misalnya, undang-undang Amerika Syarikat membenarkan orang memilih agama masing-masing, bercakap tentang kepercayaan mereka, dan berkumpul bersama. Maksudnya saudara saudari di negara itu boleh mengadakan perjumpaan dan pergi menginjil. Kerja penyebaran sedunia juga boleh diaturkan dari ibu pejabat sedunia di Amerika Syarikat. Tetapi, ada kalanya mereka perlu pergi ke mahkamah untuk mempertahankan hak untuk menginjil. (Flp. 1:7) Jika para hakim dan juri ingin menghalang mereka daripada menginjil, mereka akan pergi ke mahkamah yang lebih tinggi di mana mereka biasanya menang.

14 Di negara lain, kita juga pernah pergi ke mahkamah untuk mempertahankan kebebasan kita untuk menginjil dan menyembah Yehuwa. Jika kita kalah, kita membawa kes itu ke mahkamah antarabangsa, seperti Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah. Sehingga Jun 2014, kita sudah pun memenangi 57 kes di Mahkamah itu. Keputusan yang dibuat oleh Mahkamah itu harus dipatuhi oleh kebanyakan negara di Eropah. Walaupun kita “dibenci oleh semua bangsa,” undang-undang di banyak negara telah membantu kita untuk menyembah Yehuwa.—Mat. 24:9.

ALAT-ALAT YANG MEMBANTU KITA

Kita menawarkan bahan bacaan Bible dalam banyak bahasa

15. Apakah kemajuan dalam kaedah pencetakan? Bagaimanakah hal ini membantu kita?

15 Kaedah pencetakan yang baru menyumbang kepada kemajuan kerja penyebaran kita. Selama ratusan tahun, ramai orang menggunakan kaedah pencetakan yang direka oleh Johannes Gutenberg sekitar tahun 1450. Tetapi sepanjang 200 tahun yang lalu, teknologi pencetakan menjadi semakin maju. Mesin pencetakan jenis Offset telah diciptakan. Jadi proses pencetakan menjadi lebih cepat dan berkualiti. Kos pembuatan kertas dan menjilid buku juga semakin murah. Apakah kesan kemajuan sebegini terhadap bahan bacaan kita? Pada tahun 1879, majalah Watch Tower yang pertama dikeluarkan dalam bahasa Inggeris sahaja. Majalah ini tidak mempunyai gambar, dan hanya 6,000 naskhah dicetak. Hari ini, majalah Menara Pengawal dicetak dalam lebih daripada 200 bahasa. Majalah ini mengandungi gambar yang cantik dan berwarna-warni. Lebih daripada 50,000,000 naskhah dicetak bagi setiap terbitan.

16. Apakah alat-alat yang membantu kita untuk menginjil di serata dunia? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

16 Banyak alat yang dihasilkan sepanjang 200 tahun yang lalu telah membantu umat Yehuwa untuk menyebarkan berita baik. Selain daripada kereta api, kereta, dan kapal terbang, terdapat juga basikal, mesin taip, alat Braille, telegraf, telefon, kamera, perakam audio dan video, radio, televisyen, wayang, komputer, dan Internet. Alat-alat ini tidak dihasilkan oleh umat Yehuwa, tetapi mereka menggunakannya untuk menghasilkan Bible dan bahan bacaan dalam banyak bahasa serta menginjil di serata dunia. Dengan demikian, mereka “menikmati kekayaan bangsa-bangsa,” seperti yang dinubuatkan dalam Bible.—Baca Yesaya 61:6.

17. (a) Hasil kerja penyebaran kita membuktikan apa? (b) Mengapakah Yehuwa ingin kita bekerja bersama-Nya?

17 Hasil kerja penyebaran jelas membuktikan bahawa Yehuwa sedang memberkati kita. Yehuwa mengamanahkan kerja ini kepada kita bukan kerana Dia tidak dapat melakukannya, tetapi kerana Dia mengasihi kita dan Dia ingin kita bekerja bersama-Nya. Melalui kerja penyebaran, kita menunjukkan kasih kita kepada-Nya dan orang lain. (Mrk. 12:28-31; 1 Kor. 3:9) Kita sangat bersyukur kerana Yehuwa membantu kita untuk menginjil di serata dunia. Marilah kita gunakan setiap peluang untuk menginjil tentang Yehuwa dan Kerajaan-Nya!

^ per. 1 Sejak tahun 1870, umat Yehuwa dipanggil sebagai Pelajar Bible. Pada tahun 1931, mereka mula digelar sebagai Saksi-Saksi Yehuwa.—Yes. 43:10.

^ per. 12 Zefanya 3:9 (NW): “Dan pada waktu itu Aku akan mengubah bahasa semua bangsa menjadi suatu bahasa yang murni, agar mereka semua berseru kepada nama Yehuwa, dan berganding bahu untuk berkhidmat kepada-Nya.”