Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Hadiah Istimewa untuk Jepun

Hadiah Istimewa untuk Jepun

PADA 28 April 2013, sebuah perjumpaan istimewa diadakan di Nagoya, Jepun. Anthony Morris, seorang ahli Badan Pimpinan, mengumumkan pengeluaran buku baru dalam bahasa Jepun yang bertajuk, Bible—Berita Baik Menurut Matius. Hadirin yang melebihi 210,000 orang, termasuk yang menonton acara ini menerusi siaran web secara langsung berasa sangat teruja dan bertepuk tangan.

Buku yang mengandungi 128 muka surat ini merupakan catatan Matius yang dicetak semula daripada Bible Terjemahan Dunia Baru bahasa Jepun. Saudara Morris menjelaskan bahawa buku ini direka khas untuk digunakan semasa menginjil kepada orang Jepun. Apakah ciri-ciri buku ini? Mengapakah buku ini diperlukan? Apakah sambutan orang terhadap buku ini?

APAKAH CIRI-CIRI BUKU INI?

Banyak orang berasa teruja dengan format buku Matius ini. Huruf-huruf bahasa Jepun boleh disusun secara menegak atau mendatar. Huruf-huruf Jepun dalam kebanyakan bahan cetakan, termasuk bahan bacaan kita, disusun secara mendatar. Tetapi, teks dalam buku baru ini disusun secara menegak, sama seperti kebanyakan surat khabar dan bahan bacaan bahasa Jepun yang lain. Format sebegini lebih senang dibaca oleh orang Jepun. Selain itu, buku ini mempunyai tajuk kecil supaya isi penting senang difahami oleh pembaca.

Saudara saudari di Jepun membaca buku ini dengan serta-merta. Seorang saudari dalam lingkungan umur 80-an berkata: “Saya sudah berulang kali membaca buku Matius, tetapi susunan huruf yang menegak dan tajuk-tajuk kecil membantu saya untuk memahami Khutbah Di Atas Bukit dengan lebih baik.” Seorang saudari muda menulis: “Saya telah membaca seluruh buku Matius. Saya biasa dengan format mendatar, tetapi banyak orang Jepun lebih suka format menegak.”

DIREKA KHAS UNTUK ORANG JEPUN

Mengapakah buku ini berguna untuk menginjil kepada orang Jepun? Walaupun ramai orang Jepun tidak tahu tentang Bible, mereka sudi membacanya. Kini, ramai yang tidak pernah melihat Bible berpeluang untuk memegang dan membaca sebahagian daripada kandungan Bible.

Mengapakah buku Matius dipilih? Apabila orang Jepun mendengar perkataan “Bible,” mereka terfikir tentang Yesus. Jadi buku Matius dipilih kerana mengandungi maklumat tentang kelahiran dan garis keturunan Yesus, Khutbah Di Atas Bukit, dan nubuat tentang hari-hari terakhir. Ramai orang Jepun sangat berminat akan topik-topik ini.

Para penyiar terus menawarkan buku ini semasa menginjil dan membuat kunjungan kembali. Seorang saudari menulis, “Sekarang saya ada banyak peluang untuk menawarkan Firman Tuhan kepada orang. Malah, saya telah menawarkan satu salinan buku Matius selepas perjumpaan istimewa itu tamat!”

BAGAIMANAKAH SAMBUTANNYA?

Bagaimanakah buku baru ini ditawarkan? Ramai orang Jepun tahu ungkapan-ungkapan seperti “pintu yang sempit,” “jangan berikan mutiara kamu kepada babi,” dan “janganlah khuatir tentang hari esok.” (Mat. 6:34; 7:6, 13) Mereka berasa teruja kerana ungkapan ini merupakan kata-kata Yesus. Apabila mereka membacanya dalam buku Matius, banyak orang berkata: “Saya selalu ingin membaca Bible sekurang-kurangnya sekali.”

Apabila para penyiar membuat kunjungan kembali, penghuni rumah yang menerima buku Matius sering berkata bahawa mereka sudah membaca sebahagian atau seluruh buku itu. Seorang lelaki dalam lingkungan umur 60-an memberitahu seorang penyiar: “Saya sudah membacanya banyak kali dan mendapat kelegaan. Ajarlah saya lebih banyak tentang Bible.”

Buku Matius juga ditawarkan semasa kesaksian di tempat awam. Contohnya, seorang saudari memberikan alamat e-melnya kepada seorang wanita muda yang menerima buku itu. Sejam kemudian, wanita itu menghantar e-mel kepadanya dan berkata bahawa dia telah membaca sebahagian daripada buku itu dan ingin mengetahui lebih lanjut. Seminggu kemudian, wanita itu mula belajar Bible, dan tidak lama kemudian, dia menghadiri perjumpaan.

Lebih daripada 1,600,000 naskhah buku Matius dihantar ke sidang-sidang di Jepun. Setiap bulan, Saksi-Saksi Yehuwa menawarkan beribu-ribu naskhah kepada orang. Bahagian pendahuluan buku ini menyatakan hasrat penerbit: “Semoga buku ini memupuk minat anda terhadap Bible.”