Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bersukacitalah atas Perkahwinan Anak Domba!

Bersukacitalah atas Perkahwinan Anak Domba!

“Marilah kita bersukacita dan bergembira . . . kerana masa perkahwinan Anak Domba sudah tiba.”—WHY. 19:7.

1, 2. (a) Majlis perkahwinan siapakah yang akan membawa sukacita di syurga? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan?

PERSIAPAN majlis perkahwinan biasanya mengambil masa. Kita akan menumpukan perhatian pada majlis perkahwinan yang istimewa, iaitu majlis perkahwinan diraja. Bayangkan! Persiapan telah mengambil masa hampir 2,000 tahun. Kini tiba masanya pengantin lelaki akan bersatu dengan pengantin perempuan. Tidak lama lagi, muzik yang riang akan dimainkan di istana, dan semua yang berada di syurga akan bernyanyi, ‘Pujilah Tuhan, kerana Yehuwa, Tuhan kita Yang Maha Kuasa itu Raja! Marilah kita bersukacita dan bergembira! Marilah kita memuji keagungan-Nya, kerana masa perkahwinan Anak Domba sudah tiba dan pengantin perempuannya sudah siap untuk perkahwinan itu.’—Why. 19:6, 7, ABB.

2 Majlis perkahwinan “Anak Domba” akan membawa sukacita di syurga. “Anak Domba” ini ialah Yesus Kristus. (Yoh. 1:29) Apakah pakaian yang digunakannya semasa perkahwinan? Siapakah pengantin perempuannya? Bagaimanakah Kristus mempersiapkan pengantin perempuannya? Bilakah majlis ini akan berlangsung? Majlis perkahwinan ini akan menggembirakan semua yang di syurga. Adakah mereka yang berharap untuk hidup kekal di bumi turut bergembira? Kita akan menjawab soalan-soalan ini dengan mengkaji ayat-ayat di Mazmur 45.

PAKAIANNYA WANGI

3, 4. (a) Apakah pakaian yang digunakan oleh Pengantin Lelaki? Apakah yang membuat Pengantin Lelaki lebih gembira? (b) Siapakah “permaisuri” dan “puteri-puteri” yang bersukacita bersama Pengantin Lelaki?

3 Baca Mazmur 45:9, 10. Pengantin Lelaki, Yesus Kristus, mengenakan pakaian yang indah untuk perkahwinannya. Pakaiannya harum dengan ramuan pewangi “yang terbaik” seperti mur dan cendana, yang juga digunakan dalam minyak upacara yang suci di Israel.—Kel. 30:23-25.

4 Muzik riang di istana menjadikan Pengantin Lelaki lebih gembira seraya perkahwinannya mendekat. Sukacita juga dialami oleh “permaisuri,” iaitu organisasi Yehuwa di syurga, yang merangkumi “puteri-puteri,” iaitu para malaikat. Alangkah bahagianya kita apabila mendengar suara dari syurga menyeru, “Marilah kita bersukacita dan bergembira . . . kerana masa perkahwinan Anak Domba sudah tiba.”

PENGANTIN PEREMPUAN SUDAH BERSEDIA

5. Siapakah “isteri Anak Domba”?

5 Baca Mazmur 45:11, 12. Kita sudah tahu siapa Pengantin Lelaki, tetapi siapakah pengantin perempuan? Pengantin perempuan melambangkan 144,000 orang Kristian terurap. Yesus ialah ketua mereka. (Baca Efesus 5:23, 24.) Mereka akan memerintah bersama Yesus dalam Kerajaan Mesias di syurga. (Luk. 12:32) Mereka juga ‘mengikuti Anak Domba ke mana sahaja dia pergi.’ (Why. 14:1-4) Mereka menjadi “isteri Anak Domba,” dan tinggal bersama Yesus di syurga.—Why. 21:9; Yoh. 14:2, 3.

6. Mengapakah orang Kristian terurap dikenali sebagai “puteri,” dan mengapakah mereka disuruh untuk ‘melupakan bangsa serta kerabat’ di bumi?

6 Pengantin perempuan juga dikenali sebagai “puteri.” (Mzm. 45:14) Siapakah Raja atau bapa puteri? Yehuwa. Dia telah menjadikan orang Kristian terurap sebagai ‘anak-anak-Nya.’ (Rm. 8:15-17) Memandangkan mereka ialah bakal pengantin perempuan di syurga, mereka disuruh untuk ‘melupakan bangsa serta kerabat’ di bumi. Mereka perlu “memusatkan fikiran kepada perkara-perkara yang di syurga, bukan kepada perkara-perkara yang di bumi.”—Kol. 3:1-4.

7. (a) Bagaimanakah Yesus mempersiapkan bakal pengantin perempuannya? (b) Apakah perasaan pengantin perempuan terhadap bakal suaminya?

7 Selama berabad-abad, Yesus telah mempersiapkan pengantin perempuannya. Paulus menjelaskan, ‘Kristus mengasihi jemaah, dan mengorbankan nyawanya untuk jemaah. Kristus berbuat demikian untuk membersihkan jemaah dengan air firman Tuhan. Dengan demikian Kristus memiliki jemaah yang penuh dengan kecemerlangan, yang murni, dan yang tidak bercacat cela sedikit pun.’ (Ef. 5:25-27, ABB) Paulus memberitahu orang Kristian terurap di Korintus, ‘Aku mengambil berat tentang kamu, seperti Tuhan pun mengambil berat tentang kamu. Kamu seperti anak dara yang suci yang sudah aku janjikan untuk dikahwinkan dengan seorang sahaja, iaitu Kristus.’ (2 Kor. 11:2, ABB) “Kecantikan” rohani pengantin perempuan memikat hati Yesus. Pengantin perempuan juga sedar bahawa dia adalah “milik” Raja dan rela ‘mentaati’ bakal suaminya itu.

PENGANTIN “DIBAWA MENGHADAP RAJA”

8. Mengapakah pengantin perempuan digambarkan sebagai “penuh seri”?

8 Baca Mazmur 45:14, 15a. Pengantin perempuan digambarkan memasuki majlis perkahwinan diraja dengan “penuh seri.” Di Wahyu 21:2, pengantin perempuan disamakan dengan kota suci, Yerusalem Baru, yang “telah berhias untuk menemui suaminya.” Kota ini disemarakkan dengan ‘kemuliaan Tuhan’ dan “berkilauan seperti batu permata, seperti batu jasper yang hening seperti kristal.” (Why. 21:10, 11) Kegemilangan kota ini digambarkan dengan indah sekali dalam buku Wahyu. (Why. 21:18-21) Tidak hairanlah pemazmur menggambarkan pengantin perempuan sebagai “penuh seri” semasa perkahwinannya di syurga.

9. Pengantin perempuan dibawa menghadap siapa? Apakah pakaian yang dikenakan oleh pengantin perempuan?

9 Pengantin perempuan dibawa menghadap Pengantin Lelaki, iaitu Raja Mesias. Pengantin Lelaki ini sudah membersihkan pengantin perempuan dengan ‘air firman Tuhan’ supaya dia ‘murni dan tidak bercacat cela sedikit pun.’ (Ef. 5:26, 27) Pengantin perempuan pula mengenakan pakaian yang sesuai untuk majlis perkahwinannya. “Pakaiannya bersulam benang emas” dan dia dibawa menghadap raja “dengan pakaian berwarna-warni.” Untuk perkahwinan Anak Domba, “Pengantin perempuan itu telah diberikan pakaian linen yang bersih dan berkilauan.”—Why. 19:8.

‘PERKAHWINAN SUDAH TIBA’

10. Bilakah perkahwinan Anak Domba?

10 Baca Wahyu 19:7. Bilakah majlis perkahwinan Anak Domba berlangsung? Walaupun ‘pengantin perempuan sudah siap untuk perkahwinan,’ hal yang diceritakan seterusnya mengisahkan penghujung kesengsaraan besar, bukannya mengenai perkahwinan. (Why. 19:11-21) Adakah hal ini bermakna bahawa perkahwinan tersebut berlaku sebelum Pengantin Lelaki menyelesaikan penaklukannya? Tidak. Kisah-kisah dalam buku Wahyu tidak tercatat mengikut urutan masa. Menurut Mazmur 45, perkahwinan diraja diadakan selepas Raja Yesus Kristus mengikat pedang untuk menakluki musuh-musuhnya.—Mzm. 45: 4, 5.

11. Apakah urutan peristiwa bagi penaklukan Yesus?

11 Kita boleh menyimpulkan bahawa urutan peristiwa adalah seperti berikut: Pertama, “pelacur yang termasyhur,” Babilon Besar, iaitu empayar agama palsu sedunia akan dibinasakan. (Why. 17:1, 5, 16, 17; 19:1, 2) Kemudian, Kristus akan meneruskan perjuangannya untuk membasmi sistem jahat Syaitan dengan sepenuhnya semasa Armagedon, perang ‘Tuhan Yang Maha Kuasa.’ (Why. 16:14-16; 19:19-21) Akhirnya, Pengantin Lelaki akan menyelesaikan penaklukannya apabila dia membuang Syaitan dan roh-roh jahat ke dalam jurang maut. Di sana, mereka seolah-olah sudah mati dan tidak aktif lagi.—Why. 20:1-3.

12, 13. (a) Bilakah majlis perkahwinan Anak Domba berlangsung? (b) Di syurga, siapakah yang akan bergembira semasa Anak Domba berkahwin?

12 Selepas orang Kristian terurap mengakhiri hayat mereka di bumi, mereka dibangkitkan ke syurga. Selepas kejatuhan Babilon Besar, Yesus akan mengumpulkan semua golongan pengantin perempuan ke syurga. (1 Tes. 4:16, 17) Maka, sebelum perang Armagedon berlaku, semua golongan “pengantin perempuan” sudah berada di syurga. Selepas perang itu, majlis perkahwinan Anak Domba akan berlangsung. Betapa meriahnya peristiwa itu! “Berbahagialah orang yang telah dijemput ke majlis perkahwinan Anak Domba,” kata Wahyu 19:9. Ya, 144,000 orang terurap pasti berbahagia. Pengantin Lelaki tentu amat gembira kerana semua daripada golongan pengantin perempuan akan ‘makan dan minum bersama-samanya’ di syurga. (Luk. 22:18, 28-30) Namun, bukan hanya mereka yang akan bergembira.

13 Seperti yang dinyatakan sebelum ini, malaikat yang berada di syurga akan bernyanyi, ‘Marilah kita bersukacita dan bergembira! Marilah kita memuji keagungan-Nya, kerana masa perkahwinan Anak Domba sudah tiba dan pengantin perempuannya sudah siap untuk perkahwinan itu.’ (Why. 19:6, 7, ABB) Bagaimana pula dengan hamba Yehuwa di bumi? Adakah mereka turut bergembira?

MEREKA MASUK DENGAN “SORAKAN YANG GEMBIRA”

14. Siapakah “anak-anak dara” yang disebutkan di Mazmur 45?

14 Baca Mazmur 45:13, 15b, 16. Nabi Zakharia menubuatkan bahawa pada hari-hari terakhir, orang akan menghargai pergaulan dengan saki-baki orang Israel rohani. Dia menulis, ‘Pada masa itu, sepuluh orang asing akan datang kepada satu orang Yahudi dan berkata, “Kami juga mahu diberkati seperti kamu kerana kami mendengar bahawa Tuhan menyertai kamu.”’ (Za. 8:23, ABB) Di Mazmur 45:13, “sepuluh orang asing” ini disebut sebagai “rakyat Tirus” dan “orang kaya.” Mereka menyokong saki-baki kaum terurap dan menginginkan bantuan rohani untuk menyembah Yehuwa. Sejak 1935, jutaan orang telah diajar oleh orang Kristian terurap untuk “berbuat baik dan adil.” (Dan. 12:3) Jutaan orang ini telah membersihkan hidup mereka daripada ibadat palsu dan menjadi “anak-anak dara” yang mengiringi pengantin perempuan. Mereka telah membaktikan diri kepada Yehuwa dan setia kepada Pengantin Lelaki.

15. Bagaimanakah “anak-anak dara” bekerjasama dengan golongan pengantin perempuan yang masih di bumi?

15 Saki-baki golongan pengantin perempuan amat menghargai usaha “anak-anak dara” yang rajin menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan ke seluruh dunia. (Mat. 24:14) ‘Daya aktif Tuhan dan pengantin perempuan berkata, “Marilah!” Tiap-tiap orang yang mendengarnya juga mesti berkata, “Marilah!”’ (Why. 22:17) Oleh itu, “domba-domba lain” yang mendengar orang Kristian terurap juga menyertai mereka untuk berkata, “Marilah!” kepada semua penduduk di bumi.—Yoh. 10:16.

16. Apakah peluang istimewa yang diberikan Yehuwa kepada domba-domba lain?

16 Saki-baki kaum terurap sangat mengasihi “anak-anak dara” ini. Mereka gembira untuk mengetahui bahawa Bapa Pengantin Lelaki, Yehuwa, memberi peluang istimewa kepada domba-domba lain untuk turut bergembira ketika perkahwinan Anak Domba. Nubuat di Mazmur menyatakan bahawa “anak-anak dara” ini akan masuk “dengan sorakan yang gembira.” Ya, domba-domba lain yang berharap untuk hidup kekal di bumi turut bergembira ketika perkahwinan Anak Domba berlangsung di syurga. Buku Wahyu menggambarkan kumpulan besar manusia “berdiri di hadapan takhta dan Anak Domba itu.” Mereka berkhidmat kepada Yehuwa di halaman Rumah Rohani Tuhan yang suci di bumi.—Why. 7:9, 15.

“Anak-anak dara” yang mengiringi pengantin perempuan akan bersorak gembira ketika majlis perkahwinan Anak Domba (Lihat perenggan 16)

‘PUTERA-PUTERA RAJA AKAN MENERUSKAN KERAJAAN NENEK MOYANG’

17, 18. Bagaimanakah perkahwinan Anak Domba membawa berkat di dunia baru? Kristus akan menjadi bapa kepada siapa semasa Pemerintahan Seribu Tahunnya?

17 Baca Mazmur 45:17. “Anak-anak dara” yang mengiringi pengantin perempuan Kristus bertambah gembira apabila mereka menyaksikan cara perkahwinan ini membawa berkat di dunia baru. Pengantin Lelaki akan membangkitkan ‘nenek moyangnya’ di bumi dan mereka dijadikan sebagai ‘puteranya.’ (Yoh. 5:25-29; Ibr. 11:35) Pengantin Lelaki akan melantik beberapa puteranya sebagai “pemerintah di seluruh dunia.” Sudah pasti, Kristus juga akan melantik sesetengah para penatua hari ini untuk menjadi pemimpin di dunia baru.—Yes. 32:1.

18 Selama Pemerintahan Seribu Tahunnya, Kristus akan menjadi bapa kepada orang lain juga. Bagaimana? Umat manusia yang beriman pada korban tebusan Yesus akan hidup kekal di bumi. (Yoh. 3:16) Oleh itu, dia ialah “Bapa Kekal” mereka.—Yes. 9:5, 6.

DIDORONG UNTUK ‘MENGEKALKAN KEMASYHURANNYA’

19, 20. Bagaimanakah peristiwa-peristiwa yang menakjubkan di Mazmur 45 melibatkan kehidupan setiap orang Kristian sejati hari ini?

19 Baca Mazmur 45: 2, 18. Sudah tentu kisah dalam Mazmur 45 melibatkan semua orang Kristian. Saki-baki kaum terurap di bumi sangat teruja kerana tidak lama lagi mereka akan bersatu dengan saudara mereka di syurga dan Pengantin Lelaki. Domba-domba lain pula rela tunduk kepada Raja mereka dan menghargai pergaulan dengan golongan terurap di bumi. Selepas perkahwinan mereka, Kristus dan pengantin perempuannya akan memberkati penduduk di bumi dengan melimpah-limpah.—Why. 7:17; 21:1-4.

20 Seraya kita menantikan penggenapan segala “kata-kata yang indah” mengenai Raja Mesias kita, tidakkah kita terdorong untuk ‘mengekalkan kemasyhurannya’? Semoga kita memuji Raja kita selama-lamanya.