Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Menghadapi Kehilangan Teman Hidup Anda

Menghadapi Kehilangan Teman Hidup Anda

BIBLE dengan jelas menyatakan, “Suami harus mengasihi isterinya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.” Seorang isteri pun “harus menghormati suaminya.” Mereka berdua “menjadi satu.” (Ef. 5:33; Kej. 2:23, 24) Seraya masa berlalu, hubungan antara dua insan ini semakin rapat, dan kasih mereka bertambah kuat. Hubungan suami isteri yang bahagia boleh diibaratkan sebagai dua pohon pokok yang tumbuh bersebelahan dengan akarnya yang saling berpaut erat.

Tetapi apakah yang berlaku jika salah seorang pasangan meninggal? Hubungan erat mereka terputus. Balu atau duda yang masih hidup sering kali berasa pilu, sunyi, bahkan mungkin berasa berang atau bersalah. Daniella * yang kehilangan suaminya selepas berkahwin selama 58 tahun berkata, “Dulu, saya tidak pernah memahami perasaan ini. Hal ini tidak dapat difahami sehingga anda mengalaminya sendiri.”

KEPERITAN YANG NAMPAKNYA BERTERUSAN

Beberapa penyelidik berpendapat bahawa seseorang menghadapi tekanan yang paling teruk apabila teman hidupnya meninggal. Ramai yang mengalami situasi ini bersetuju. Millie dan suaminya sudah berkahwin selama 25 tahun. Walaupun masa yang lama sudah berlalu sejak kehilangan suaminya, Millie masih “berasa tempang.”

Susan pernah berasa bahawa balu yang meratapi kematian suami mereka buat masa yang lama merupakan tindakan yang keterlaluan. Selepas berkahwin selama 38 tahun, suaminya pula meninggal. Walaupun lebih daripada 20 tahun sudah berlalu, dia berkata, “Saya berfikir tentangnya setiap hari.” Susan sering mencucurkan air mata kerana sangat merindui suaminya.

Bible membuktikan bahawa keperitan yang dialami akibat kematian teman hidup adalah sesuatu yang menyeksa dan berlanjutan. Apabila Sara meninggal, Abraham “meratapi kematian isterinya.” (Kej. 23:1, 2) Meskipun Abraham percaya pada pembangkitan, dia berasa sangat sedih apabila orang tersayang meninggal. (Ibr. 11:17-19) Selepas Rahel meninggal, Yakub tidak melupakannya. Dengan penuh kasih dia masih bercakap tentang isterinya itu kepada anak-anaknya.—Kej. 44:27; 48:7.

Apakah pengajaran daripada contoh-contoh Bible ini? Balu dan duda sering kali berdukacita selama bertahun-tahun. Kita tidak patut memandang air mata dan kesedihan mereka sebagai suatu kelemahan. Sebaliknya hal ini lazim berlaku apabila seseorang kehilangan orang tersayang. Mereka mungkin memerlukan belas kasihan dan sokongan daripada kita untuk masa yang lama.

SEHARI DEMI SEHARI

Selepas kehilangan teman hidup, tidaklah mudah untuk menjadi bujang semula. Seorang suami yang sudah berkahwin selama bertahun-tahun tahu caranya untuk menyegarkan serta menghiburkan hati isteri yang murung atau kecewa. Jika suami meninggal, isteri akan kehilangan sumber kelegaan dan kasih sayang. Begitu juga, seorang isteri tahu cara untuk memberikan keyakinan dan menggembirakan hati suaminya. Sentuhan yang lembut, kata-kata yang menenangkan, dan perhatian yang diberikan kepada suaminya tiada ganti. Jika isteri meninggal, suami mungkin mengalami kekosongan dalam hidup. Oleh itu, orang yang kehilangan teman hidup mengalami kekhuatiran mengenai masa depan. Apakah prinsip Bible yang boleh memberi mereka keyakinan dan ketenteraman?

Tuhan dapat membantu anda menghadapi kepiluan sehari demi sehari

“Jangan khuatiri hari esok, kerana ada cukup hal yang dikhuatirkan pada hari esok. Cukuplah kesusahan hari ini, tidak usah ditambah lagi.” (Mat. 6:34) Kata-kata Yesus ini merujuk kepada keperluan harian, tetapi juga membantu ramai yang kehilangan orang tersayang untuk terus bertabah. Beberapa bulan selepas kematian isterinya, Charles menulis, “Saya memang sangat sedih kerana merindui Monique, dan ada kalanya perasaan ini bertambah teruk. Namun saya sedar ini perkara biasa, dan lambat laun keperitan ini akan berkurangan.”

Charles terpaksa bertabah seraya masa berlalu. Bagaimanakah dia melakukannya? “Dengan bantuan Yehuwa, saya menghadapi perasaan ini sehari demi sehari.” Charles tidak lemas dalam kesedihan. Walaupun keperitannya tidak lenyap begitu sahaja, dia tidak putus harapan. Jika teman hidup anda meninggal, berjuanglah untuk menghadapi kehilangan ini sehari demi sehari. Setiap hari yang baru boleh membawa galakan atau manfaat yang diperlukan.

Kematian bukan kehendak Yehuwa, sebaliknya merupakan “pekerjaan Iblis.” (1 Yoh. 3:8; Rm. 6:23) Syaitan menggunakan kematian dan perasaan takut untuk membelenggu ramai orang serta menghilangkan harapan mereka. (Ibr. 2:14, 15) Syaitan senang hati apabila orang berputus asa dan berhenti mencari kebahagiaan dan kepuasan, bahkan di dunia baru Tuhan. Maka, kepiluan yang dihadapi seorang balu atau duda adalah akibat daripada dosa Adam dan muslihat Syaitan. (Rm. 5:12) Tidak lama lagi Yehuwa akan menewaskan kematian dan melenyapkan segala kesengsaraan yang dibawa oleh Syaitan. Sememangnya, anda juga dapat bebas daripada muslihat Syaitan ini.

Semasa pembangkitan banyak perubahan dalam hubungan keluarga akan berlaku. Fikirkanlah ibu bapa, datuk nenek, dan nenek moyang lain yang akan hidup semula dan menjadi sempurna bersama anak cucu mereka. Usia tua akan disingkirkan. Mungkinkah pandangan generasi yang lebih muda terhadap nenek moyang mereka akan jauh berbeza daripada pandangan mereka sekarang? Tidakkah perubahan sebegini menyumbang kepada hubungan keluarga yang lebih baik?

Terdapat banyak soalan mengenai pembangkitan, contohnya mengenai mereka yang berkahwin semula selepas kematian teman hidup pertama. Orang Saduki pernah bertanya mengenai seorang wanita yang berkahwin semula beberapa kali. (Luk. 20:27-33) Apakah hubungan wanita itu dengan suami-suaminya selepas dibangkitkan? Kita tidak tahu. Meneka tentang hal ini atau mengkhuatiri perkara-perkara yang belum diketahui tidak membawa sebarang manfaat. Buat masa sekarang, kita harus mempercayai Tuhan. Kita boleh pasti bahawa segala yang bakal dilakukan Yehuwa adalah baik. Kita tidak mempunyai alasan untuk berasa takut, sebaliknya kita harus menaruh harapan pada-Nya.

PEMBANGKITAN—SUMBER KELEGAAN

Salah satu ajaran Bible yang jelas adalah pembangkitan, iaitu orang kesayangan yang sudah meninggal akan hidup kembali. Kisah Bible pada masa lampau memberikan jaminan bahawa ‘orang mati akan mendengar suara Yesus lalu keluar dari kubur.’ (Yoh. 5:28, 29) Pada masa itu orang akan bergirang hati semasa bertemu dengan orang yang dibebaskan daripada genggaman maut. Kita juga tidak dapat bayangkan sukacita yang akan dialami oleh mereka yang dibangkitkan.

Seraya berbilion-bilion orang yang mati hidup kembali, seluruh bumi akan berlimpah dengan kegembiraan yang tidak pernah dialami. (Mrk. 5:39-42; Why. 20:13) Merenungkan hal ini pasti menyegarkan mereka yang kehilangan orang tersayang.

Adakah sesiapa akan berasa sedih pada masa itu? Bible berkata tidak. Menurut Yesaya 25:8, Yehuwa “akan memusnahkan maut selama-lamanya!” Kesedihan yang dibawa oleh maut pun akan lenyap. Nubuat itu juga menyatakan bahawa Pemerintah Yang Berdaulat, Yehuwa “akan menghapuskan air mata daripada setiap wajah.” Jika teman hidup anda sudah meninggal, harapan pembangkitan pasti melegakan hati anda.

Tiada manusia yang dapat memahami sepenuhnya pencapaian Yehuwa di dunia baru nanti. Yehuwa berfirman, “Setinggi langit dari bumi, setinggi itulah jalan-Ku daripada jalanmu, dan fikiran-Ku daripada fikiranmu.” (Yes. 55:9, ABB) Janji Yesus mengenai pembangkitan memberi kita peluang untuk menaruh kepercayaan kepada Yehuwa sepertimana yang dilakukan oleh Abraham. Perkara yang penting sekarang adalah untuk melakukan kehendak Tuhan. Kita ingin layak “hidup pada zaman yang akan datang” bersama mereka yang akan dibangkitkan.—Luk. 20:35.

MENGAPA PERLU HARAPAN

Janganlah takut, tetapi berharaplah. Dari sudut pandangan manusia, masa depan adalah suram. Namun Yehuwa berjanji tentang harapan yang cerah. Kita mungkin tidak tahu secara terperinci cara Yehuwa akan memuaskan keperluan dan keinginan kita. Namun kita tidak perlu ragu-ragu bahawa Dia akan melakukannya. Paulus menulis, “Jika kita boleh melihat apa yang kita harapkan, maka hal itu bukan lagi harapan. Siapakah mengharapkan sesuatu yang sudah dilihatnya? Tetapi jika kita mengharapkan sesuatu yang belum kita lihat, kita menunggu dengan sabar.” (Rm. 8:24, 25, ABB) Berharap kepada janji Yehuwa akan membantu anda untuk bersabar. Tabahlah dan anda akan menikmati masa depan yang mengagumkan kerana Yehuwa akan “memuaskan keinginan hatimu.” Dia akan ‘memberikan segala keperluan kepada makhluk ciptaan-Nya.’—Mzm. 37:4; 145:16; Luk. 21:19.

Yakinlah pada janji Yehuwa mengenai masa depan yang penuh dengan sukacita

Apabila masa kematian Yesus mendekat, para rasulnya semakin gelisah. Yesus menenangkan mereka dengan berkata, ‘Janganlah kamu risau. Percayalah kepada Tuhan dan percayalah kepadaku.’ Dia juga berkata, ‘Aku tidak akan meninggalkan kamu sendirian; aku akan kembali kepada kamu.’ (Yoh. 14:1-4, 18, 27) Kata-kata Yesus ini mendorong golongan terurap untuk terus memiliki harapan dan bertabah selama berabad-abad. Begitu juga, anda harus bertabah sementara menantikan masanya untuk bertemu kembali dengan orang tersayang. Yehuwa dan Yesus tidak akan membiarkan keperitan anda berlarutan. Yakinlah terhadap janji ini!

^ per. 3 Nama telah diubah.