Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KHAZANAH ROHANI KITA

“Saya Seperti Kura-kura yang Membawa Rumahnya ke Mana-mana Sahaja”

“Saya Seperti Kura-kura yang Membawa Rumahnya ke Mana-mana Sahaja”

SEPANJANG kempen penyebaran sembilan hari yang dijalankan pada Ogos/September 1929, lebih daripada 10,000 orang penyebar telah meliputi pelbagai kawasan di Amerika Syarikat. Mereka mengedarkan kira-kira 250 ribu buah buku dan buku kecil. Hampir seribu orang di antara mereka ialah peneraju. Sememangnya, bilangan perintis telah bertambah! Bulletin * melaporkan bahawa peningkatan bilangan perintis sebanyak tiga kali ganda dari tahun 1927 hingga 1929 sebagai kejadian yang “tidak dijangka.”

Pada lewat 1929, kegawatan ekonomi berlaku. Harga Bursa Saham New York jatuh menjunam pada 29 Oktober 1929, dan mengakibatkan Zaman Meleset yang melanda sistem ekonomi seluruh dunia. Ribuan bank ditutup. Ladang dan kilang besar menghentikan operasi mereka. Jutaan orang kehilangan kerja. Pada 1933, sebanyak 1,000 buah rumah disita setiap hari di A.S.

Bagaimanakah penyebar sepenuh masa menangani krisis ini? Jawapannya ialah rumah bergerak yang bebas cukai dan tiada sewa. Rumah bergerak atau rumah treler membolehkan ramai perintis meneruskan khidmat mereka dengan kos terendah. * Semasa musim konvensyen, rumah bergerak juga berfungsi sebagai bilik hotel yang percuma. Pada 1934, Bulletin menyenaraikan beberapa ciri yang diperlukan untuk membina rumah sebegini, seperti sistem air, dapur gas, katil lipat, dan sistem penebat haba.

Di serata dunia, para penyebar mula membina rumah bergerak sendiri. “Nuh tidak pernah membina perahu,” kata Victor Blackwell, “dan saya tidak pernah dan tidak pandai membina rumah treler.” Tetapi Victor berjaya membinanya.

Sebuah rumah bergerak diangkut ke seberang sungai semasa musim monsun di India

Avery dan Lovenia Bristow mempunyai rumah bergerak. Avery berkata, “Saya seperti kura-kura yang membawa rumahnya ke mana-mana sahaja.” Pasangan Bristow merintis bersama Harvey dan Anne Conrow, yang menggunakan kertas tar untuk membina dinding rumah bergerak mereka. Kepingan kertas tar tertanggal setiap kali mereka berpindah. “Tiada orang pernah nampak rumah seperti ini!” kata Avery. Tetapi menurut Avery, pasangan Conrow dan dua orang anak lelaki mereka ialah “keluarga yang paling bahagia.” Harvey Conrow menulis, “Kami tidak pernah kekurangan apa-apa, dan kami berasa amat selamat kerana dapat berkhidmat kepada Yehuwa dan dijaga oleh-Nya.” Pada kemudian hari, Pasangan Conrow bersama dua anak mereka menghadiri Sekolah Gilead dan ditugaskan ke Peru sebagai mubaligh.

Selepas mengetahui bahawa mereka bakal menimang cahaya mata, Giusto dan Vincenza Battaino mengubah suai sebuah lori kecil kepada sebuah rumah bergerak. Rumah ini “seperti hotel yang mewah” jika dibandingkan dengan khemah mereka yang dahulu. Bersama anak perempuan mereka yang masih kecil, pasangan ini meneruskan khidmat perintis dan menginjil kepada orang Itali yang menetap di A.S.

Berita baik mendapat sambutan hangat, tetapi orang biasanya tidak dapat menyumbangkan wang untuk bahan bacaan Bible kerana mereka miskin dan menganggur. Jadi, mereka memberikan pelbagai barangan sebagai tukaran. Dua orang perintis telah menyenaraikan barangan yang diterima daripada orang yang berminat. Senarai mereka mengandungi 64 jenis barangan yang terdapat di “kedai runcit di desa.”

Fred Anderson menemui seorang petani yang ingin mendapatkan satu set buku kita dan memberikan sepasang cermin mata yang dimiliki ibunya sebagai tukaran. Di ladang yang seterusnya, seorang lelaki berminat pada bahan bacaan kita, tetapi dia tidak ada cermin mata untuk membacanya. Dengan cermin mata daripada jirannya, lelaki ini dapat membaca buku kita. Dia juga gembira memberikan sumbangan untuk buku dan cermin mata yang diterimanya.

Herbert Abbott membawa sangkar ayam di dalam keretanya. Selepas menerima tiga atau empat ekor ayam sebagai tukaran, dia menjual ayam itu supaya dapat mengisi minyak kereta. Dia dan isterinya pernah hampir kehabisan duit. “Hal ini tidak pernah menghalang kami. Selagi ada minyak di kereta, kami akan terus menginjil. Kami menaruh iman pada Yehuwa,” tulis Herbert.

Dengan berbekalkan tekad yang kuat dan kepercayaan pada Yehuwa, umat Tuhan berjaya mengharungi masa susah. Semasa hujan ribut melanda, Maxwell dan Emmy Lewis sempat keluar daripada treler mereka sebelum sebatang pokok tumbang dan membelahnya menjadi dua. “Semua ini bukanlah rintangan,” tulis Maxwell, “tetapi hanya peristiwa hidup, dan kami tidak pernah terfikir untuk berputus asa. Ada banyak kerja yang perlu dilakukan, dan kami berhasrat untuk melakukannya.” Maxwell dan Emmy tidak berasa takut tetapi membina semula rumah treler mereka dengan bantuan sahabat handai.

Pada masa yang mencabar ini, jutaan Saksi-Saksi Yehuwa yang bersemangat juga menunjukkan sikap rela berkorban. Seperti para perintis sebelum ini, kita berazam untuk meneruskan aktiviti penyebaran sehingga Yehuwa berkata bahawa kerja ini sudah selesai.

^ per. 3 Kini dikenali sebagai Kerja Teokratik Kita.

^ per. 5 Pada masa itu, kebanyakan perintis tidak mempunyai kerja sekular. Mereka menerima bahan bacaan Bible pada harga yang dikurangkan dan menggunakan sumbangan daripada bahan bacaan untuk menampung keperluan hidup.