Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Penatua, Tirulah Gembala Agung Kita

Penatua, Tirulah Gembala Agung Kita

‘Kristus sendiri sudah menanggung penderitaan untuk kamu, dan memberi kamu satu teladan, supaya kamu mengikut jejaknya.’—1 PTR. 2:21.

1, 2. (a) Apakah hasilnya jika domba dijaga dengan baik? (b) Mengapakah banyak orang pada zaman Yesus seperti domba tanpa gembala?

DOMBA akan sentiasa sihat jika seorang gembala mengambil berat terhadap kawanannya. Sebuah buku menyatakan bahawa jika seorang gembala hanya membiarkan dombanya meragut rumput tanpa mempedulikan keperluan yang lain, dombanya akan menjadi lemah dan diserang penyakit dalam masa beberapa tahun. Tetapi, jika setiap domba dijaga dengan baik, seluruh kawanan akan menjadi sihat dan kuat.

2 Begitu juga di sidang Kristian. Para gembala yang prihatin terhadap setiap domba menyumbang kepada kesihatan rohani di sidang. Anda mungkin teringat sewaktu Yesus berasa kasihan terhadap sekumpulan orang “kerana mereka risau dan tidak berdaya, seperti kawanan domba tanpa gembala.” (Mat. 9:36) Mengapakah mereka dalam situasi sebegini? Hal ini kerana pemimpin agama yang bertanggungjawab mengajarkan Hukum Tuhan bersifat kejam, munafik, dan mengenakan banyak tuntutan. Pemimpin ini tidak mengasihi dan tidak menjaga kawanan, sebaliknya mereka “meletakkan beban yang berat” ke atas kawanan.—Mat. 23:4.

3. Apakah yang seharusnya para penatua ingat semasa menjalankan tugas sebagai gembala?

3 Hari ini, gembala Kristian—penatua yang terlantik—mempunyai tanggungjawab yang berat. Kawanan domba yang mereka jaga adalah milik Yehuwa dan Yesus. Domba-domba ini amat bernilai kepada Yesus yang merupakan “gembala yang baik.” Dia rela mengorbankan nyawa demi mereka. Domba-domba ini “sudah dibeli” dengan darah Yesus “yang sangat berharga.” (Yoh. 10:11; 1 Kor. 6:20; 1 Ptr. 1:18, 19) Para penatua harus sentiasa ingat bahawa mereka bertanggungjawab kepada Yesus Kristus, ‘gembala agung kita.’—Ibr. 13:20.

4. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

4 Bagaimanakah gembala Kristian seharusnya memperlakukan kawanan domba? Anggota sidang Kristian disarankan, “Taatilah pemimpin kamu dan turutlah perintah mereka.” Penatua Kristian pula digesa, “Janganlah bertindak sebagai penguasa terhadap orang yang dipercayakan kepada kamu.” (Ibr. 13:17; baca 1 Petrus 5:2, 3.) Maka, bagaimanakah penatua dapat mengambil pimpinan tanpa bertindak sebagai penguasa terhadap kawanan? Dalam kata lain, bagaimanakah penatua dapat menjaga keperluan kawanan tanpa menyalahgunakan kuasa yang diberikan oleh Tuhan?

‘DIA AKAN MENDUKUNG ANAK-ANAK DOMBA’

5. Apakah yang boleh kita pelajari tentang Yehuwa daripada Yesaya 40:11?

5 Mengenai Yehuwa, nabi Yesaya mengatakan, “Dia akan menjaga umat-Nya seperti seorang gembala; Dia akan mengumpulkan dan mendukung anak-anak domba, dan dengan lemah lembut, memimpin induk-induk domba.” (Yes. 40:11, ABB) Ayat ini menggambarkan keprihatinan Yehuwa terhadap keperluan anggota sidang yang lemah dan yang memerlukan perlindungan. Yehuwa sedar akan keperluan setiap ahli sidang dan gembira untuk membantu mereka seperti seorang gembala yang prihatin. Sepertimana seorang gembala mendukung anak domba yang baru dilahirkan, Yehuwa—“Bapa yang berbelas kasihan”—akan mengambil berat dan menenangkan hati kita semasa kita mengalami kesusahan atau cubaan.—2 Kor. 1:3, 4.

6. Bagaimanakah seorang penatua boleh meniru teladan Yehuwa?

6 Penatua boleh meraih pengajaran yang baik daripada Bapa kita di syurga! Seperti Yehuwa, dia harus prihatin terhadap setiap keperluan domba. Dengan mengetahui cabaran dan keperluan setiap ahli sidang, seorang penatua akan mengetahui bila dan bagaimana untuk memberikan galakan dan sokongan kepada mereka. (Ams. 27:23) Hal ini bermaksud, penatua harus meluangkan masa untuk bercakap dengan saudara saudari dan mendengar mereka. Dia bukan seorang penyibuk, tetapi mengambil berat terhadap apa yang telah dia lihat dan dengar dalam sidang, serta berusaha “menolong orang yang lemah” dengan penuh kasih.—Kis. 20:35; 1 Tes. 4:11.

7. (a) Bagaimanakah domba Tuhan diperlakukan pada zaman Yehezkiel dan Yeremia? (b) Apakah pengajaran yang boleh kita ambil daripada gembala yang dikutuk oleh Yehuwa?

7 Fikirkan tentang sikap buruk para gembala umat Tuhan pada zaman Yehezkiel dan Yeremia. Yehuwa mengutuk mereka kerana tidak menjaga domba-Nya dengan baik. Apabila kawanan tidak dijaga dengan baik, kawanan itu akan bertempiaran dan menjadi mangsa binatang buas. Gembala-gembala ini tidak bertanggungjawab dan hanya “menjaga kepentingan diri sendiri.” (Yeh. 34:7-10; Yer. 23:1) Tuhan juga mengutuk para pemimpin agama Kristian atas sebab yang sama. Hal ini juga menekankan betapa pentingnya bagi para penatua untuk menjaga kawanan Yehuwa dengan baik.

“AKU SUDAH MEMBERIKAN TELADAN KEPADA KAMU SEMUA”

8. Bagaimanakah Yesus menunjukkan contoh baik semasa memberikan nasihat?

8 Akibat daripada ketidaksempurnaan, ada di antara kawanan Yehuwa lambat memahami apa yang dikehendaki-Nya. Mereka mungkin membuat keputusan yang tidak berdasarkan prinsip Bible, atau tindakan mereka menunjukkan bahawa mereka belum matang secara rohani. Apakah yang harus dilakukan oleh para penatua? Mereka patut meniru kesabaran Yesus terhadap murid-muridnya yang sering bertengkar tentang siapa yang terbesar. Yesus tidak marah terhadap mereka, tetapi dia terus mengajar dan memberikan nasihat yang pengasih tentang memupuk kerendahan hati. (Luk. 9:46-48; 22:24-27) Malah, Yesus mengajar maksud kerendahan hati dengan membasuh kaki mereka. Hari ini, para penatua juga harus menunjukkan kerendahan hati.—Baca Yohanes 13:12, 15; 1 Ptr. 2:21.

9. Apakah sikap para rasul yang harus dibetulkan oleh Yesus?

9 Rasul Yakobus dan Yohanes berfikir bahawa seorang gembala harus menjadi penguasa ke atas orang lain. Oleh itu, mereka meminta Yesus untuk memberikan kedudukan yang tinggi dalam Kerajaan Tuhan. Yesus membetulkan pemikiran mereka dengan berkata, ‘Kamu tahu bahawa para penguasa bangsa yang tidak mengenal Tuhan menindas rakyat. Para pemimpin mereka selalu menekan rakyat. Tetapi tidak demikian halnya dengan kamu. Jika seorang antara kamu hendak menjadi orang besar, dia harus melayani orang lain.’ (Mat. 20:25, 26, ABB) Para rasul itu perlu menolak kecenderungan untuk menjadi penguasa ke atas rakan seiman, atau “menindas” mereka.

10. Bagaimanakah Yesus ingin para penatua memperlakukan kawanan? Apakah teladan yang ditunjukkan oleh Paulus?

10 Yesus berharap bahawa para penatua Kristian meniru teladannya semasa memperlakukan kawanan. Mereka harus rela bekerja keras bagi rakan seiman dan bukannya menjadi penguasa atas kawanan. Rasul Paulus dengan rendah hati memberitahu para penatua di sidang Efesus, “Kamu mengetahui cara hidupku selama aku bersama-sama kamu, sejak hari pertama aku tiba di daerah Asia. Dengan rendah hati dan dengan mencucurkan air mata, aku mengabdikan diri sebagai hamba Tuhan.” Paulus ingin agar para penatua memupuk sifat rendah hati dan rela membantu rakan seiman. Dia berkata, “Dalam segala perkara aku sudah memberikan teladan kepada kamu bahawa dengan bekerja keras seperti ini, kita harus menolong orang yang lemah.” (Kis. 20:18, 19, 35) Paulus memberitahu orang di Korintus bahawa dia bukan penguasa iman mereka, sebaliknya dia rakan sekerja yang rendah hati dan membawa sukacita bagi mereka. (2 Kor. 1:24) Sememangnya, kerendahan hati dan kerja keras Paulus adalah teladan yang baik untuk para penatua hari ini.

NASIHAT BERDASARKAN “AJARAN YANG BENAR”

11, 12. Bagaimanakah penatua dapat membantu rakan seiman untuk membuat keputusan?

11 Nasihat yang diberikan oleh seorang penatua harus berdasarkan “ajaran yang benar.” (Tit. 1:9) Semasa memberikan nasihat, seorang penatua “melakukannya dengan lemah lembut.” (Gal. 6:1) Seorang gembala yang baik tidak memaksa rakan seiman untuk mengikut haluan tertentu, tetapi membantu mereka membuat keputusan sendiri berdasarkan kasih kepada Yehuwa dan Firman-Nya. Contohnya, seorang penatua dapat membantu seorang saudara yang perlu membuat keputusan penting. Penatua boleh membincangkan prinsip-prinsip Bible atau rencana dalam bahan bacaan kita dengannya. Dia juga boleh meminta saudara itu untuk memikirkan bagaimana keputusannya akan mempengaruhi hubungannya dengan Yehuwa. Penatua juga boleh mengingatkannya untuk berdoa meminta bimbingan Tuhan sebelum membuat sebarang keputusan. (Ams. 3:5, 6) Akhirnya, penatua tersebut akan membiarkan saudara itu membuat keputusan sendiri.—Rm. 14:1-4.

12 Semua bimbingan yang diberi oleh para penatua haruslah berdasarkan Bible. Maka, adalah penting bagi penatua untuk menggunakan Bible dengan mahir dan berpegang teguh pada ajarannya. Hal ini akan membantu para penatua untuk tidak menyalahgunakan kekuasaan mereka. Lagi pun, kawanan domba bukan milik mereka. Semasa membuat keputusan, setiap ahli sidang memikul tanggungjawab masing-masing terhadap Yehuwa dan Yesus.—Gal. 6:5, 7, 8.

‘TELADAN BAGI KAWANAN’

Penatua membantu keluarga mereka untuk membuat persiapan sebelum kerja penyebaran (Lihat perenggan 13)

13, 14. Bagaimanakah penatua menetapkan teladan yang baik bagi kawanan?

13 Rasul Petrus menasihati para penatua untuk tidak “bertindak sebagai penguasa terhadap” kawanan, sebaliknya ‘menjadi teladan kepada mereka.’ (1 Ptr. 5:3) Bagaimanakah penatua dapat menunjukkan teladan yang baik bagi kawanan? Fikirkan dua sifat yang diperlukan seorang penatua. Pertama, dia harus “bijaksana.” Hal ini bermaksud dia memahami prinsip-prinsip Bible dengan jelas dan tahu cara menerapkannya dalam kehidupan sendiri. Dia dapat menghadapi kesusahan dengan tenang dan mampu berfikir masak-masak sebelum membuat keputusan. Kedua, dia “mesti tahu mengurus rumah tangganya dengan baik.” Seorang penatua yang berkeluarga patut menetapkan teladan yang baik sebagai seorang suami dan ayah. Bible menyatakan, ‘Jika seseorang tidak tahu mengurus rumah tangganya sendiri, bagaimanakah dia dapat mengurus jemaah Tuhan?’ (1 Tim. 3:1, 2, 4, 5, ABB) Sudah tentu hal ini menggalakkan saudara saudari untuk mempercayai penatua yang mempunyai sifat-sifat ini.

14 Seperti Yesus, para penatua juga menetapkan teladan yang baik dengan mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran. Semasa di bumi, Yesus mementingkan kerja penyebaran dan menunjukkan murid-muridnya cara melakukan kerja ini. (Mrk. 1:38; Luk. 8:1) Dewasa ini, para penyiar menikmati aktiviti penyebaran semasa bekerja dengan penatua. Para penyiar dapat memerhatikan semangat penatua dalam kerja penyelamatan ini dan meniru cara mereka mengajar. Meskipun sibuk, penatua rela meluangkan masa dan tenaga demi mengkhabarkan berita baik. Hal ini mendorong seluruh sidang untuk menunjukkan semangat yang sama. Para penatua juga menetapkan teladan baik dengan membuat persiapan dan mengambil bahagian dalam perjumpaan, serta melakukan kerja lain seperti memelihara dan membersihkan Dewan Perjumpaan.—Ef. 5:15, 16; baca Ibrani 13:7.

Penatua menetapkan teladan yang baik dalam kerja penyebaran (Lihat perenggan 14)

“MENOLONG ORANG YANG PERLU DITOLONG”

15. Apakah sebab para penatua melakukan kunjungan penggembalaan?

15 Seorang gembala yang baik cepat mengambil tindakan apabila domba jatuh sakit atau cedera. Begitu juga, para penatua harus segera membantu mereka yang menderita atau memerlukan bantuan rohani. Ahli sidang yang lanjut usia atau sakit mungkin memerlukan bantuan fizikal, tetapi mereka lebih memerlukan bantuan rohani dan galakan. (1 Tes. 5:14) Para pemuda dalam sidang mungkin menghadapi cabaran untuk melawan “nafsu orang muda.” (2 Tim. 2:22) Para penatua membantu dengan melakukan kunjungan penggembalaan. Maka, para penatua mengunjungi semua ahli sidang secara berkala dengan tujuan untuk memahami keadaan mereka dan memberikan galakan daripada Bible. Jika para penatua cepat membantu saudara saudari yang memerlukan bantuan, banyak masalah dapat dielakkan.

16. Apabila seorang ahli sidang memerlukan bantuan rohani, apakah yang boleh dilakukan oleh para penatua?

16 Apa kata jika masalah timbul sehingga memudaratkan kerohanian seorang ahli sidang? Penulis Bible, Yakobus berkata, ‘Adakah sesiapa yang sakit? Hendaklah dia memanggil pemimpin-pemimpin jemaah, supaya mereka berdoa baginya dan menyapukan minyak zaitun padanya demi nama Yehuwa. Doa yang diucapkan dengan iman, akan menyembuhkan orang sakit itu. Yehuwa akan memulihkan kesihatannya dan dosa yang sudah dilakukannya akan diampunkan.’ (Yak. 5:14, 15, ABB) Walaupun seorang ahli sidang yang sakit secara rohani tidak “memanggil pemimpin-pemimpin jemaah,” para penatua harus cepat membantu sejurus selepas menyedari situasinya. Apabila para penatua bersama dengan saudara saudari yang menghadapi kesusahan, penatua akan berdoa untuk mereka serta memperkuatkan semangat mereka. Dengan demikian, para penatua menjadi sumber kesegaran bagi ahli sidang.—Baca Yesaya 32:1, 2.

17. Apakah hasilnya apabila para penatua meniru teladan ‘gembala agung kita’?

17 Semasa menjalankan tugas dalam organisasi Yehuwa, para penatua Kristian berusaha sedaya upaya untuk meniru teladan ‘gembala agung kita,’ Yesus Kristus. Bantuan rohani yang diberikan oleh saudara-saudara yang bertanggungjawab ini menguatkan kawanan dan mendorong mereka untuk terus menyembah Yehuwa dengan setia. Oleh itu, kita sangat bersyukur dan tergerak untuk memuji Yehuwa, Gembala yang teragung.