Bantulah Orang “Bangun Daripada Tidur”
Bantulah Orang “Bangun daripada Tidur”
“Kamu tahu bahawa inilah masanya kamu bangun daripada tidur.”—RM. 13:11.
BOLEHKAH ANDA JELASKAN?
Mengapakah orang Kristian perlu berjaga-jaga secara rohani?
Mengapakah kita perlu menggunakan daya pemerhatian dan mendengar kata-kata penghuni rumah?
Mengapakah kita perlu menunjukkan kebaikan hati dan kesopanan semasa menginjil?
1, 2. Kebanyakan orang sedang tidur dari segi apa?
SETIAP tahun, beribu-ribu orang mati kerana mengantuk atau tertidur semasa memandu. Yang lain pula dipecat kerana mereka bangun lambat, atau tertidur pada waktu kerja. Tetapi, orang yang mengantuk secara rohani berhadapan dengan akibat yang jauh lebih teruk. Itulah sebabnya Bible menyatakan, “Berbahagialah orang yang berjaga-jaga.”—Why. 16:14-16.
2 Walaupun hari besar Yehuwa semakin mendekat, kebanyakan orang masih tidur dari segi rohani. Sesetengah pemimpin gereja Kristian berkata bahawa kawanan mereka sedang tidur. Bagaimanakah seseorang boleh tidur secara rohani? Mengapakah penting bagi orang Kristian terus berjaga-jaga? Bagaimanakah kita dapat membantu orang lain bangun daripada tidur rohani?
TIDUR ROHANI—MAKSUDNYA
3. Apakah yang dilakukan oleh orang yang sedang tidur secara rohani?
3 Orang yang sedang tidur tidak berbuat apa-apa. Namun orang yang sedang tidur secara rohani mungkin sangat sibuk, tetapi bukan dengan hal rohani. Mereka mungkin sibuk dengan hal-hal seharian seperti mengejar keseronokan, kemasyhuran, atau kebendaan dan mereka jarang mengendahkan keperluan rohani. Sebaliknya, orang yang berjaga-jaga secara rohani sedar bahawa mereka sedang hidup “pada akhir zaman,” dan oleh itu sibuk melaksanakan kehendak Tuhan.—2 Ptr. 3:3, 4; Luk. 21:34-36.
4. Mengapakah orang Kristian dinasihati supaya tidak “tidur seperti orang lain”?
4 Baca 1 Tesalonika 5:4-8. Di sini Paulus memberikan nasihat kepada rakan seiman supaya tidak “tidur seperti orang lain.” Apakah yang dimaksudkannya? Satu cara kita tidur secara rohani adalah dengan tidak mengendahkan taraf moral Yehuwa. Satu lagi cara adalah dengan tidak mengendahkan hakikat bahawa Yehuwa akan membinasakan orang jahat tidak lama lagi. Ya, meskipun orang lain sedang tidur secara rohani, kita tidak patut dipengaruhi oleh sikap dan pemikiran mereka.
5. Apakah ciri-ciri orang yang sedang tidur secara rohani?
5 Orang yang tidur selalunya akan bermimpi. Begitu juga dengan orang yang tidur secara rohani. Sesetengah orang bagaikan hidup dalam dunia fantasi. Mereka percaya bahawa Tuhan tidak wujud dan tidak akan menghukum orang fasiq. (Mzm. 53:2) Yang lain pula tidak percaya bahawa Tuhan mengambil berat tentang manusia, maka mereka tidak mengendahkan-Nya. Ada juga yang berfikir bahawa mereka dapat menjadi kawan Tuhan jika mereka pergi ke gereja. Mereka semua sedang tidur secara rohani dan perlu dikejutkan. Bagaimana?
KITA PERLU BERJAGA-JAGA
6. Mengapakah orang Kristian perlu berjaga-jaga secara rohani?
6 Kita hanya dapat mengejutkan orang daripada tidur jika kita sendiri tidak tidur. Bible mengaitkan tidur rohani dengan “perkara-perkara yang dilakukan dalam kegelapan,” seperti pesta liar, kemabukan, kelakuan tidak senonoh, berkelahi, serta rasa iri hati. (Baca Roma 13:11-14.) Jika orang di sekeliling kita sedang tidur, kita pun cenderung tidur. Tetapi kita mesti berwaspada dan tetap berjaga secara rohani. (Ef. 4:17-19) Mengapa? Sepertimana seorang pemandu yang tertidur akan membahayakan nyawanya, tidur rohani juga boleh membahayakan nyawa kita.
7. Bagaimanakah pandangan yang salah boleh mempengaruhi sikap kita?
7 Sebagai contoh, seorang Kristian mungkin berfikir bahawa semua orang di tempat penyebaran pasti menolak kebenaran. (Ams. 6:10, 11) Mungkin dia berfikir, “Jika orang lain tidak mahu kebenaran, buat apa saya menginjil dengan berkobar-kobar?” Ya, ramai orang sedang tidur secara rohani, tetapi situasi dan sikap mereka boleh berubah. Ada yang bangun daripada tidur dan menerima kebenaran. Kita hanya dapat membantu orang sebegini jika kita sendiri tidak tertidur secara rohani. Mungkin kita boleh mencuba penyampaian baru yang lebih menarik. Selain itu, kita harus sentiasa mengingatkan diri tentang mengapa kita menjalankan kerja penyebaran.
MENGAPAKAH PENTING UNTUK MENGINJIL?
8. Mengapakah kerja menginjil sangat penting?
8 Tidak kira apa jua sambutan orang lain, kerja penyebaran memuliakan Yehuwa dan adalah selaras dengan tujuan-Nya. Tidak lama lagi orang yang tidak mematuhi Tuhan akan dibinasakan, dan sambutan orang terhadap berita baik merupakan asas bagi penghakiman Tuhan. (2 Tes. 1:8, 9) Tambahan lagi, kita tidak patut menyimpulkan bahawa kerja penyebaran tidak perlu dijalankan dengan bersungguh-sungguh kerana “orang baik, mahupun orang jahat” akan dibangkitkan. (Kis. 24:15) Bible menyatakan bahawa orang yang bersifat “kambing” akan dibinasakan. Kerja penyebaran memperlihatkan belas kasihan Tuhan dan memberi orang peluang untuk menikmati “hidup sejati dan kekal.” (Mat. 25:32, 41, 46; Rm. 10:13-15) Bagaimanakah orang dapat menerima kebenaran dan hidup kekal jika kita tidak menginjil?
9. Jelaskan bagaimana kerja menginjil membawa kebaikan kepada anda dan orang lain.
9 Menginjil juga membawa kebaikan kepada diri kita. (Baca 1 Timotius 4:16.) Tidakkah anda setuju bahawa semasa mengongsi kebenaran tentang Yehuwa dan Kerajaan-Nya, iman dan kasih anda menjadi semakin kuat? Tidakkah anda memupuk lebih banyak sifat Kristian? Dengan meluahkan kasih kepada Tuhan melalui kerja penyebaran, tidakkah anda berasa lebih bahagia? Orang Kristian yang menjalankan kerja penyebaran menikmati sukacita kerana melihat cara daya aktif Tuhan membantu orang untuk menjadi insan yang lebih baik.
GUNAKAN DAYA PEMERHATIAN
10, 11. (a) Bagaimanakah Yesus dan Paulus menunjukkan bahawa mereka peka dan menggunakan daya pemerhatian? (b) Jelaskan bagaimana kita dapat meningkatkan kemahiran dalam kerja penyebaran dengan menggunakan daya pemerhatian.
10 Kita dapat menimbulkan minat orang dalam berita baik dengan menggunakan pelbagai cara. Oleh itu, kita mesti memiliki daya pemerhatian yang tajam, seperti Yesus. Yesus yang mempunyai daya pemerhatian sempurna tahu apabila seorang Farisi marah dalam hati, apabila seorang wanita yang melakukan dosa bertaubat, dan apabila seorang balu membuat pengorbanan yang besar. (Luk. 7:37-50; 21:1-4) Yesus dapat memenuhi keperluan rohani setiap seorang daripada mereka. Walaupun kita tidak sempurna, kita boleh memupuk daya pemerhatian yang baik. Fikirkanlah contoh Paulus. Dia menyesuaikan penyampaiannya supaya dapat menarik minat orang daripada pelbagai latar.—Kis. 17:22, 23, 34; 1 Kor. 9:19-23.
11 Jika kita peka seperti Yesus dan Paulus, kita juga dapat menimbulkan minat orang semasa menginjil. Sebagai contoh, kita boleh mencari petunjuk yang menunjukkan adat, minat, atau situasi keluarga mereka. Mungkin kita dapat memerhatikan apa yang sedang dilakukan mereka, memberikan komen tentang perkara itu, lalu memulakan perbualan.
12. Semasa menginjil, apakah yang harus kita ingat?
12 Semasa menginjil, kita cenderung berbual dengan teman kerja penyebaran. Namun seorang yang menggunakan daya pemerhatian akan berusaha untuk berfokus pada kerja penyebaran. Kita harus ingat bahawa tujuan kita menjalankan kerja penyebaran adalah untuk mengongsi kebenaran dengan orang lain. (Pkh. 3:7) Kita perlu berhati-hati agar perbualan kita dengan teman kerja penyebaran tidak menjadi penghalang kepada perbualan dengan penghuni rumah. Mungkin kita dapat membincangkan isi-isi yang dapat digunakan untuk menarik minat penghuni rumah. Walaupun telefon bimbit dapat membantu kita melaksanakan kerja penyebaran dengan lebih berkesan, namun kita harus memastikan bahawa telefon bimbit tidak mengganggu perbualan kita dengan penghuni rumah.
TUNJUKKAN MINAT PERIBADI
13, 14. (a) Bagaimanakah kita boleh mengetahui minat penghuni rumah? (b) Apakah topik yang mungkin membangkitkan minat penghuni rumah dalam hal-hal rohani?
13 Orang Kristian yang peka dan berjaga-jaga akan mendengar penghuni rumah dengan teliti. Soalan-soalan dapat digunakan untuk mengetahui minat penghuni rumah. Contohnya: Apakah perasaan mereka mengenai pelbagai agama di dunia, keganasan di tempat tinggal mereka, ataupun kerajaan manusia yang sering gagal? Mungkinkah anda boleh membangkitkan minat penghuni rumah dalam hal-hal rohani dengan memulakan perbualan mengenai ciptaan yang menakjubkan atau nasihat Bible yang praktikal? Ramai orang, termasuk sesetengah ateis, minat dalam topik doa. Mereka ingin tahu sama ada doa mereka didengari. Ada pula yang menanya sama ada Tuhan mendengar doa semua orang? Jika tidak, apakah yang patut dilakukan supaya Tuhan mendengar doa mereka?
14 Dengan memerhatikan penyiar yang lebih berpengalaman, kita dapat belajar cara untuk memulakan perbualan dengan lebih berkesan. Perhatikan bahawa mereka tidak menyoal siasat penghuni rumah mahupun Ams. 15:13.
mencampuri hal peribadi mereka. Nada suara serta raut muka mereka juga menunjukkan bahawa mereka berminat dalam pandangan penghuni rumah.—KEBAIKAN HATI DAN KEMAHIRAN
15. Mengapakah kita perlu baik hati semasa menginjil?
15 Apakah perasaan anda jika anda dikejutkan daripada tidur secara tiba-tiba? Anda mungkin tidak menyukainya. Sebaliknya anda mungkin lebih rela bangun jika anda dikejutkan dengan cara yang lembut. Begitu juga dengan orang yang sedang tidur secara rohani. Contohnya, jika seseorang marah semasa anda mengunjunginya, apakah yang dapat dilakukan? Ucapkan terima kasih kerana dia meluahkan perasaannya, kemudian beredar dengan tenang. (Ams. 15:1; 17:14; 2 Tim. 2:24) Oleh sebab anda baik hati, dia mungkin lebih cenderung mendengar berita baik yang disampaikan oleh Saksi lain pada kemudian hari.
16, 17. Bagaimanakah kita boleh menggunakan daya penilaian semasa menginjil?
16 Anda juga boleh mencari jalan untuk mengatasi penghalang perbualan. Penghuni rumah mungkin berkata, “Saya mempunyai agama sendiri,” atau “Saya tidak berminat,” kerana dia ingin mengakhiri perbualan. Namun, anda masih boleh membangkitkan minatnya dalam hal-hal rohani dengan menanyakan soalan tertentu dengan mahir.—Baca Kolose 4:6.
17 Ada kalanya orang yang ditemui mengatakan bahawa mereka terlalu sibuk. Apakah yang boleh dilakukan? Anda boleh beredar dengan sopan, atau anda mungkin berasa bahawa anda dapat memberitahu mereka sesuatu yang bermakna dalam masa yang singkat. Sesetengah penyiar membaca ayat Bible yang menarik dan mengajukan soalan untuk membangkitkan minat mereka dalam masa kurang daripada satu minit. Penyampaian sebegini kadangkala sangat berkesan sehingga penghuni rumah pun rela mengadakan perbualan yang pendek. Bolehkah anda cuba kaedah ini?
18. Apakah yang dapat dilakukan jika kita ingin menjalankan kesaksian tidak formal dengan lebih mahir?
18 Semasa menjalankan aktiviti harian, kita boleh membangkitkan minat orang dalam kebenaran jika kita membuat persiapan awal untuk melakukan kesaksian tidak formal. Ramai saudara saudari membawa risalah atau majalah dalam kocek atau beg mereka. Ada juga yang memikirkan ayat Bible yang sesuai digunakan. Mungkin anda dapat berbincang dengan penyelia aktiviti penyebaran atau para perintis mengenai cara untuk melakukan kesaksian tidak formal.
MEMBANGKITKAN MINAT SAUDARA-MARA
19. Mengapakah kita tidak patut berputus asa semasa mengongsi kebenaran dengan saudara-mara?
19 Kita biasanya ingin membantu saudara-mara menyambut kebenaran. (Yos. 2:13; Kis. 10:24, 48; 16:31, 32) Tetapi pada mulanya mereka mungkin menolak berita baik dan kita pula menjadi tawar hati dan mahu berputus asa. Namun, jangan lupa bahawa situasi hidup atau pandangan saudara-mara terhadap kebenaran boleh berubah. Lagipun, mungkin anda kini lebih mahir menjelaskan kebenaran dan saudara-mara anda akan lebih rela menerima kebenaran.
20. Mengapakah kita perlu bercakap kepada saudara-mara dengan sopan dan hormat?
20 Semasa bercakap kepada saudara-mara, janganlah menyinggung perasaan mereka. (Rm. 2:4) Memandangkan kita bertutur dalam cara yang sopan dan hormat kepada penghuni rumah, tidakkah kita patut berbuat demikian dengan saudara-mara juga? Tunjukkan bagaimana kebenaran telah membawa kebaikan kepada anda. (Ef. 4:23, 24) Serlahkan bahawa Yehuwa telah mengajar anda untuk menjalani hidup yang lebih baik. (Yes. 48:17) Saudara-mara patut melihat bahawa anda merupakan seorang Kristian yang baik.
21, 22. Berikan contoh yang menunjukkan bahawa kita tidak patut putus asa untuk membantu saudara-mara kita.
21 Seorang saudari telah menulis, “Selama 30 tahun, saya memberikan kesaksian kepada 13 adik-beradik saya menerusi pertuturan dan perbuatan saya. Setiap tahun saya akan menulis surat kepada setiap seorang daripada mereka. Namun, mereka tidak menyambut kebenaran.”
22 Saudari itu menambah, “Pada suatu hari, saya telah menelefon kakak saya yang tinggal sangat jauh. Kakak saya telah meminta ketua gereja untuk mengajarnya Bible, tetapi dia tidak berbuat demikian. Saya kata saya sudi membantunya. Dia berbalas, ‘Boleh, tapi jangan harap saya akan jadi seorang Saksi.’ Selepas mengirimnya buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible?, saya menelefon dia. Tetapi dia masih belum buka buku itu. Akhirnya saya menelefonnya dan memintanya untuk keluarkan buku itu dan membincangkan beberapa ayat Bible selama 15 minit. Selepas menelefonnya beberapa kali lagi, dia mahu belajar lebih daripada 15 minit. Kemudian, dia pula yang menelefon saya, ada kalanya sebelum saya bangun, dan ada kalanya dia menelefon dua kali sehari. Pada tahun berikutnya dia telah dibaptiskan dan selepas setahun dia menjadi perintis biasa.”
23. Mengapakah kita tidak patut berputus asa untuk mengejutkan orang daripada tidur rohani?
23 Mengejutkan orang daripada tidur rohani tidak senang dan memerlukan kemahiran. Tetapi kita tidak patut berputus asa kerana terdapat ramai lagi orang yang berhati jujur. Secara purata, lebih daripada 20,000 orang dibaptiskan setiap bulan. Semoga kita menerapkan nasihat Paulus kepada Arkhipus, “Selesaikanlah tugas yang diberikan kepadamu untuk melakukan kerja bagi Tuhan.” (Kol. 4:17) Rencana berikutnya akan membantu kita menjalankan kerja penyebaran dengan perasaan mendesak.
[Soalan Pembelajaran]
[Kotak pada muka surat 13]
CARA BERJAGA-JAGA
▪ Sibuk melaksanakan kehendak Tuhan
▪ Hindari “perkara yang dilakukan dalam kegelapan”
▪ Peka terhadap bahaya tidur rohani
▪ Kekalkan pandangan positif terhadap penghuni rumah
▪ Cuba kaedah baru semasa menginjil
▪ Ingat akan pentingnya menginjil