BANTUAN UNTUK ORANG YANG BERKABUNG
Hal-Hal yang Mungkin Terjadi
Walaupun sesetengah pakar membahagikan perkabungan kepada beberapa tahap, setiap orang berkabung dalam cara tersendiri. Adakah perbezaan itu bermaksud sesetengah orang kurang sedih atau sedang memendamkan perasaan mereka? Tidak semestinya. Mengakui dan meluahkan perasaan dapat membantu seseorang yang bersedih, tetapi terdapat pelbagai cara yang lain untuk berkabung. Kebanyakannya bergantung pada budaya, keperibadian, pengalaman hidup, dan cara seseorang kehilangan orang tersayang.
SEBERAPA TERUKKAH KESEDIHAN ITU?
Orang yang berkabung mungkin tidak mengetahui hal-hal yang akan terjadi selepas kematian orang tersayang. Namun, sesetengah emosi dan cabaran dapat dijangkakan. Perhatikan contoh-contoh berikut:
Ditenggelami emosi. Menangis, merindui si mati, dan perubahan emosi yang mendadak mungkin terjadi. Kenangan atau mimpi juga dapat mengakibatkan ledakan emosi sebegini. Namun, pada mulanya, seseorang mungkin terkejut dan tidak dapat menerima hakikat itu. Timo, suami Tiina, telah meninggal secara tiba-tiba. Mengenang kembali masa itu, Tiina berkata, “Pada mulanya saya terkejut dan tidak dapat menangis pun. Saya tidak percaya apa yang terjadi. Ada kalanya saya berasa sesak nafas.”
Diganggu perasaan risau, marah, dan rasa bersalah. Ivan berkata, “Untuk suatu ketika selepas kematian anak kami, iaitu Eric, yang berumur 24 tahun, saya dan isteri saya Yolanda sangat marah! Kami pun terkejut, kerana kami bukannya orang yang pemarah. Kami juga berasa bersalah, kerana kami tertanya-tanya jika kami tidak berusaha secukupnya untuk membantu Eric.” Alejandro, yang isterinya meninggal akibat penyakit, juga pernah berasa bersalah. Dia berkata, “Mula-mulanya saya fikir, jika Tuhan membiarkan saya mengalami kesusahan ini, saya pasti orang yang jahat. Kemudian saya berasa bersalah, kerana saya seperti menyalahkan Tuhan.” Kostas, yang disebut dalam rencana sebelumnya, berkata, “Saya pernah marah dengan Sophia kerana meninggal. Selepas itu saya berasa bersalah pula, kerana hal itu bukan salahnya.”
Fikiran yang tidak keruan. Ada masanya, fikiran seseorang yang berkabung mungkin menjadi tidak menentu atau tidak logik. Contohnya, dia mungkin berfikir bahawa dia masih mendengar, melihat, atau merasai kehadiran si mati. Dia juga mungkin susah menumpukan perhatian atau menjadi pelupa. Tiina berkata, “Kadang-kadang semasa berbual, fikiran saya akan melayang dan dibanjiri peristiwa yang berkaitan dengan kematian Timo. Saya susah hati kerana tidak dapat berfokus.”
Ingin memulaukan diri. Orang yang berkabung mungkin berasa janggal atau tidak selesa ketika bersama orang lain. Kostas berkata, “Semasa bersama pasangan-pasangan lain, saya rasa kekok, tetapi saya pun berasa begitu ketika bersama orang bujang.” Yolanda, isteri Ivan, berkata, “Susah betul mendengar orang mengadu tentang masalah yang begitu remeh berbanding situasi kami! Apabila orang lain beritahu kami keadaan baik anak-anak mereka, saya akan tumpang gembira, tetapi saya juga berasa susah untuk pasang telinga. Saya dan suami faham bahawa kami perlu meneruskan kehidupan, tetapi kami tidak ada keinginan ataupun kesabaran untuk melayan perbualan sebegini.”
Masalah kesihatan. Perubahan selera, berat badan, dan tabiat tidur biasanya berlaku. Aaron berkata bahawa selama setahun selepas ayahnya
meninggal, dia susah tidur dan akan bangun setiap malam sekitar waktu yang sama sambil berfikir tentang kematian ayahnya.Alejandro juga mengalami masalah kesihatan yang pelik. “Beberapa kali doktor memeriksa saya dan kata saya okey. Saya rasa kesedihanlah punca gejala itu.” Simptom yang dialaminya beransur-ansur hilang. Namun, Alejandro membuat keputusan yang bijak untuk berjumpa dengan doktor. Kesedihan dapat melemahkan sistem pertahanan tubuh, menyebabkan penyakit bertambah teruk, atau mencetuskan masalah kesihatan yang baharu.
Susah mengurus hal-hal penting. Ivan menceritakan, “Selepas Eric meninggal, kami perlu memaklumkan saudara-mara, kawan-kawan, majikannya, tuan rumahnya, dan orang lain. Kami juga perlu mengisi banyak dokumen dan mengemaskan barang Eric. Semua itu memerlukan fokus padahal kami kelesuan secara mental, fizikal, dan emosi.”
Bagi sesetengah orang, cabaran yang sebenar timbul kemudian hari apabila mereka perlu mengurus hal-hal yang dahulunya diurus oleh si mati. Itulah yang terjadi kepada Tiina. Dia berkata, “Dulu, Timo selalu urus hal bank dan perniagaan. Kini, semua itu menjadi tanggungjawab saya dan menambahkan stres saya. Mampukah saya mengurusnya tanpa merumitkan lagi keadaan?”
Cabaran-cabaran emosi, mental, dan fizikal yang disebut tadi mungkin membuat orang berasa bahawa perkabungan amat susah dilalui. Kematian orang tersayang amat menyedihkan, tetapi mereka yang berkabung dapat dibantu jika mereka mengetahui cabaran yang menyusul. Ingatlah, bukan semua orang akan mengalami semua kesan itu semasa berkabung. Selain itu, orang yang bersedih mungkin berasa lebih tenang setelah mengetahui bahawa pergolakan emosi yang berlaku adalah sesuatu yang normal.
MUNGKINKAH SAYA AKAN BAHAGIA LAGI?
Hal yang dapat dijangka: Tusukan kesedihan akan berkurangan dengan berlalunya masa. Hal itu tidak bermaksud seseorang dapat pulih sepenuhnya atau melupakan orang tersayang yang meninggal. Rasa sedih itu akan surut secara beransur-ansur, dan mungkin timbul semasa kenangan silam tiba-tiba muncul dalam ingatan atau pada masa tertentu, seperti pada ulang tahun untuk perkahwinan, kematian, dan sebagainya. Namun kebanyakan orang dapat mengimbangi emosi sendiri dan bertumpu semula kepada kegiatan seharian, terutamanya mereka yang mendapat sokongan daripada keluarga dan sahabat handai, dan yang mengambil langkah yang sewajarnya untuk menangani kesedihan mereka.
Sampai bila? Bagi sesetengah orang, detik tergelap akan berlalu dalam beberapa bulan. Ada yang memerlukan setahun dua atau lebih lama lagi. * Alejandro berkata, “Kesedihan yang mendalam telah menghantui saya selama kira-kira tiga tahun.”
Bersabarlah dengan diri anda. Jangan terlalu khuatir tentang masa depan, dan jalanilah kehidupan anda mengikut rentak sendiri. Ingatlah bahawa rasa sedih tidak akan menyelubungi anda untuk selama-lamanya. Sementara itu, apakah yang dapat anda lakukan supaya luka di hati kian sembuh dan tidak berlanjutan?
Pergolakan emosi yang disebabkan kematian orang tersayang adalah sesuatu yang normal
^ per. 17 Segelintir orang mungkin mengalami dukacita yang sangat teruk untuk masa yang panjang, yang disifatkan sebagai kesedihan “rumit” atau “kronik.” Mereka mungkin memerlukan bantuan daripada pakar kesihatan mental.