Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

PELAJARAN 1

Manfaat Mengawal Diri

Manfaat Mengawal Diri

APAKAH ITU KAWALAN DIRI?

Kawalan diri merangkumi kebolehan untuk

  • menunggu dengan sabar

  • mengawal perasaan

  • menyiapkan kerja-kerja yang tidak disukai

  • mengutamakan orang lain

MENGAPAKAH KAWALAN DIRI PENTING?

Kanak-kanak yang tahu mengawal diri dapat menolak godaan. Sebaliknya, kanak-kanak yang tidak tahu mengawal diri akan

  • bersikap agresif atau ganas

  • mengalami kemurungan

  • merokok, menyalahgunakan alkohol, atau mengambil dadah

  • mempunyai tabiat pemakanan yang buruk

Angela Duckworth, iaitu seorang profesor dari Universiti Pennsylvania, telah melakukan suatu kajian tentang hal ini, dan kajiannya menunjukkan bahawa kanak-kanak yang tahu mengawal diri akan membesar menjadi orang dewasa yang lebih sihat, lebih stabil dari segi kewangan, dan jarang melanggar undang-undang. Maka dia menyimpulkan bahawa kawalan diri membawa banyak manfaat.

CARA MENGAJARKAN KAWALAN DIRI

Belajar untuk berkata “tidak” dan jangan mengubah fikiran anda.

PRINSIP BIBLE: “Katakan ‘Ya’ semasa kamu bermaksud ya, dan katakan ‘Tidak’ semasa kamu bermaksud tidak.”​—Matius 5:37.

Anak-anak mungkin menguji pendirian ibu bapa mereka dengan menangis, menjerit, atau mengamuk di khalayak ramai. Jika ibu bapa mengalah, anak itu akan belajar bahawa ini ialah cara yang berkesan untuk mengubah keputusan ibu bapanya.

Sebaliknya, jika ibu bapa berkata “tidak” dan tidak mengubah keputusan mereka, anak itu akan belajar satu pengajaran hidup yang penting, iaitu kita tidak selalunya akan mendapat apa yang kita inginkan. “Orang yang memahami hal ini selalunya hidup lebih bahagia,” tulis Dr. David Walsh. “Kita tidak membantu anak-anak kita jika kita mengajar mereka bahawa orang lain akan selalu mengikut kemahuan mereka.” *

Jika anda belajar untuk berkata “tidak” kepada anak anda, hal ini akan membantunya apabila dia dewasa nanti. Dia akan dapat berkata “tidak” kepada amalan-amalan yang buruk, seperti mengambil dadah atau mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin.

Bantu anak anda untuk memahami bahawa perbuatannya akan membawa hasil yang baik atau buruk.

PRINSIP BIBLE: “Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya.”​—Galatia 6:7.

Anak anda perlu sedar bahawa jika dia tidak tahu mengawal diri, dia akan menghadapi masalah. Contohnya, jika anak anda selalu menunjukkan kemarahannya, orang lain akan menjauhinya. Tetapi jika dia dapat mengawal perasaannya apabila orang lain membuatnya marah, atau tidak menyampuk semasa orang lain sedang bercakap, orang lain akan lebih sudi berkawan dengannya. Bantulah anak anda untuk sedar bahawa dia akan menuai hasil yang baik jika dia tahu mengawal diri.

Ajar anak anda untuk menetapkan keutamaan.

PRINSIP BIBLE: “Mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.”​—Filipi 1:10.

Kawalan diri bukan sekadar bererti menahan diri daripada berbuat jahat. Kawalan diri juga bermaksud melakukan sesuatu yang patut dilakukan meskipun kita tidak menyukainya. Anak anda perlu belajar untuk mengenal pasti perkara yang lebih penting dan melakukannya. Contohnya, dia patut menyiapkan kerja rumahnya sebelum pergi bermain.

Jadi teladan yang baik.

PRINSIP BIBLE: “Aku sudah menetapkan teladan untuk kamu, kamu juga harus melakukan apa yang sudah aku lakukan untuk kamu.”​—Yohanes 13:15.

Anak anda akan memerhatikan cara anda menangani situasi yang kurang menyenangkan. Maka jadilah teladan yang baik dan tunjukkan bahawa kawalan diri akan membawa hasil yang baik. Contohnya, apabila anak anda menguji kesabaran anda, adakah anda akan melampiaskan kemarahan anda atau bertenang?

^ per. 20 Petikan daripada buku No: Why Kids​—of All Ages—​Need to Hear It and Ways Parents Can Say It.