PELAJARAN 2
Menunjukkan Kerendahan Hati
APAKAH ITU KERENDAHAN HATI?
Seseorang yang rendah hati akan menghormati orang lain. Dia tidak sombong atau mengharapkan layanan istimewa. Sebaliknya, dia prihatin terhadap orang lain dan sudi belajar daripada mereka.
Kadangkala orang berfikir bahawa kerendahan hati ialah suatu kelemahan. Tetapi pandangan ini salah kerana kerendahan hati dapat membantu seseorang untuk menyedari kesalahannya dan memahami keterbatasannya.
MENGAPAKAH KERENDAHAN HATI PENTING?
-
Kerendahan hati membina persahabatan. Buku The Narcissism Epidemic menyatakan, “Biasanya, orang yang rendah hati lebih mudah mencari kawan.” Buku itu juga menyatakan bahawa orang sedemikian “lebih mudah berkomunikasi dan bergaul dengan orang lain.”
-
Kerendahan hati membantu anak anda apabila dia dewasa kelak. Sikap rendah hati dapat membantu anak anda sekarang dan pada masa depan, seperti sewaktu dia ingin mencari pekerjaan. “Orang muda yang terlalu yakin kepada diri sendiri dan tidak menyedari keterbatasan sendiri, tidak akan memberikan tanggapan yang baik sewaktu dia menghadiri temu duga,” tulis Dr. Leonard Sax. “Tetapi orang muda yang betul-betul berminat untuk mendengar pendapat orang yang menemu duganya, akan lebih senang mendapat kerja.” *
CARA MENGAJARKAN KERENDAHAN HATI
Galakkan anak anda untuk mempunyai pandangan yang seimbang tentang dirinya.
PRINSIP BIBLE: “Jika seseorang menyangka bahawa dirinya penting, padahal tidak, dia sedang menipu dirinya sendiri.”—Galatia 6:3.
-
Bersikap realistik. Kata-kata inspirasi seperti “Semua impianmu akan menjadi kenyataan” dan “Kamu dapat merealisasikan semua cita-cita kamu” kedengaran manis, tetapi tidak realistik. Adalah lebih baik untuk mengajar anak-anak anda untuk menetapkan matlamat yang munasabah dan bekerja keras untuk mencapainya.
-
Berikan pujian yang spesifik. Jangan sekadar memberitahu anak anda bahawa dia “sangat baik” kerana hal ini tidak menggalakkannya untuk memupuk kerendahan hati. Berikan pujian yang spesifik.
-
Hadkan penggunaan media sosial anak anda. Orang selalu menggunakan media sosial untuk menayangkan bakat dan pencapaian mereka. Perbuatan sedemikian menggalakkan sikap sombong.
-
Galakkan anak anda untuk meminta maaf dengan segera. Bantu anak anda untuk menyedari kesalahannya lalu mengakuinya.
Galakkan anak anda untuk menunjukkan kesyukurannya.
PRINSIP BIBLE: “Tunjukkanlah kesyukuran kamu.”—Kolose 3:15.
-
Bersyukur atas ciptaan Tuhan. Anak-anak patut menghargai alam semula jadi yang menampung kehidupan kita. Kita memerlukan udara, air, dan makanan untuk terus hidup. Gunakan hal-hal ini semasa mengajar anak anda untuk menghayati dan menghargai alam semula jadi yang diciptakan Tuhan.
-
Menghargai orang lain. Ingatkan anak anda bahawa setiap orang mempunyai kelebihan masing-masing. Maka dia tidak patut cemburu atau dengki terhadap kemahiran atau bakat orang lain. Sebaliknya dia patut belajar daripada mereka.
-
Tunjukkan penghargaan. Ajar anak anda untuk mengucapkan terima kasih dan menunjukkan penghargaannya dengan ikhlas. Sikap tahu berterima kasih ialah asas kepada kerendahan hati.
Ajar anak anda untuk membantu orang lain.
PRINSIP BIBLE: “Dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri kamu sendiri. Jagalah kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri kamu sendiri.”—Filipi 2:3, 4.
-
Suruh anak anda untuk membuat kerja-kerja di rumah. Jika anda tidak menggalakkan anak anda untuk membuat kerja-kerja di rumah, anda mungkin sedang menyatakan secara tidak langsung bahawa dia terlalu penting untuk melakukan kerja-kerja ini. Tunjukkan kepada anak anda bahawa tugasnya di rumah adalah lebih penting daripada bermain. Tunjukkan bahawa jika dia melakukan kerja-kerja di rumah, hal itu akan membawa manfaat kepada orang lain, dan orang lain akan menghormati dan menghargai usahanya.
-
Ajar anak anda bahawa membantu orang lain ialah suatu penghormatan. Jika anak anda selalu membantu orang lain, dia akan lebih cepat menjadi matang secara emosi. Bantulah anak anda untuk mengenal pasti siapa dalam kalangan sahabatnya yang memerlukan bantuannya dan cara dia dapat memberikan bantuan praktikal. Puji dan sokong anak anda semasa dia membantu orang lain.
^ per. 8 Petikan daripada buku The Collapse of Parenting.