Tuhan Berjanji Bumi Kita Akan Selamat
“Bumi lebih tahan lasak daripada yang kita jangkakan.”
Itulah kesimpulan yang dibuat oleh sekumpulan ahli kaji antarabangsa tentang perubahan iklim. Jika anda percaya bahawa Pencipta yang mengambil berat terhadap manusia wujud, kesimpulan para ahli sains ini mungkin mengingatkan anda tentang proses-proses semula jadi yang diciptakan oleh Tuhan bagi memulihkan keadaan di bumi.
Namun, oleh sebab manusia telah merosakkan bumi dengan teruk, bumi kita tidak dapat pulih tanpa bantuan Tuhan. Mengapakah kita dapat yakin bahawa Tuhan akan bertindak kelak?
Perhatikan ayat-ayat Bible yang meyakinkan kita bahawa bumi dapat terus menampung hidup dan kekal selamanya.
Bumi diciptakan oleh Tuhan. “Pada mulanya, Tuhan menciptakan langit dan bumi.”—Kejadian 1:1
Tuhan ialah pemilik bumi. “Bumi dan segala sesuatu di dalamnya milik Yehuwa.” a—Mazmur 24:1
Tuhan mereka bumi untuk kekal selamanya. “Dia telah mendirikan bumi kukuh pada asasnya; bumi tidak akan bergerak dari tempatnya buat selama-lamanya.”—Mazmur 104:5
Tuhan berjanji bahawa bumi akan dipenuhi pelbagai jenis hidupan buat selamanya. ‘Tuhan yang benar membentuk dan menjadikan bumi. Dia menciptakan bumi bukannya tanpa tujuan, tetapi membentuknya untuk didiami.’—Yesaya 45:18
Tuhan berjanji bahawa manusia akan tinggal di bumi buat selamanya. “Orang yang melakukan apa yang benar akan memiliki bumi, dan mereka akan mendiaminya selama-lamanya.”—Mazmur 37:29
Tuhan telah mereka bumi agar manusia dapat menikmatinya tanpa merosakkannya. Bible menubuatkan bahawa pada masa yang ditentukan-Nya, Yehuwa akan melenyapkan semua orang yang merosakkan bumi.—Wahyu 11:18
Bible memberitahu kita bahawa Tuhan berjanji untuk mengubah bumi kita menjadi firdaus yang indah dan cantik. Dia akan “memuaskan keinginan semua makhluk hidup.”—Mazmur 145:16
a Yehuwa ialah nama Tuhan.—Mazmur 83:18.