Cadangan untuk Membuat Pembelajaran Secara Tetap
ADAKAH anda berasa susah untuk menikmati pembelajaran peribadi dan mengadakannya secara tetap? Kita semua mungkin pernah berasa begitu. Namun fikirkan kegiatan lain yang kita lakukan secara tetap, seperti mandi. Kita memang memerlukan masa dan usaha untuk mandi, tetapi selepas itu kita berasa segar-bugar! Begitu juga dengan pembelajaran peribadi. Setelah melakukannya, kita berasa disegarkan. (Ef. 5:26) Perhatikan beberapa cadangan yang dapat membantu kita untuk melakukannya secara tetap:
Sediakan jadual. Pembelajaran peribadi tergolong antara “perkara-perkara yang lebih penting” yang tidak boleh diabaikan oleh orang Kristian. (Flp. 1:10) Untuk membantu anda mengikut jadual yang telah anda sediakan, cubalah paparkannya di tempat yang mudah dilihat, seperti papan kenyataan di rumah atau di peti sejuk. Anda juga boleh menggunakan fungsi seperti alarm pada alat elektronik, untuk mengingatkan anda apabila masa pembelajaran tiba.
Sesuaikan dengan keperluan anda. Manakah yang lebih senang bagi anda? Satu sesi pembelajaran yang panjang, atau beberapa sesi yang pendek? Andalah yang paling mengenali diri sendiri, jadi buatlah penyesuaian mengikut situasi anda. Bagaimana pula jika masa pembelajaran sudah tiba tetapi anda tiada semangat untuk memulakannya? Cubalah membuat pembelajaran selama 10 minit sahaja. Itu lebih baik daripada langsung tidak melakukannya. Barangkali, selepas anda memulakannya, anda akan semakin bersemangat dan ingin terus membuat pembelajaran.—Flp. 2:13.
Pilih topik pembelajaran terlebih dahulu. Jika anda sudah duduk dan baru mula fikir apa yang hendak anda pelajari, anda tidak ‘menggunakan masa dengan sebaik-baiknya.’ (Ef. 5:16) Jadi awal-awal lagi, senaraikanlah rencana atau topik yang ingin anda kaji. Setiap kali anda terfikir suatu soalan, tambahkannya ke dalam senarai itu. Pada akhir setiap sesi pembelajaran, anda juga boleh menuliskan topik apa yang ingin anda kaji pada masa depan.
Buatlah perubahan jika perlu. Anda boleh ubah tempoh pembelajaran anda atau topik yang anda mahu kaji. Yang penting bukanlah bila, berapa lama, atau topik apa yang anda kaji, tetapi seberapa kerap anda membuat pembelajaran peribadi.
Kita akan meraih manfaat yang besar jika kita membuat pembelajaran peribadi secara tetap. Kita akan semakin menghampiri Yehuwa, dapat bertindak dengan bijak, dan disegarkan.—Yos. 1:8.