Tahukah Anda?
Mengapakah Yesus memanggil para penjual binatang di Rumah Tuhan sebagai “perompak”?
MENURUT catatan Matius, “Yesus masuk ke dalam Rumah Tuhan dan mengusir semua orang yang berjual beli di sana. Dia menterbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati. Dia berkata kepada mereka, ‘Ada tertulis, “Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa,” tetapi kamu menjadikannya sarang perompak.’”—Mat. 21:12, 13.
Catatan sejarah orang Yahudi menunjukkan bahawa para pedagang di Rumah Tuhan mengenakan harga yang melampau bagi barangan mereka. Misalnya, menurut catatan Mishnah (Keritot 1:7), pada abad pertama Masihi, sepasang burung merpati yang digunakan untuk korban dijual dengan harga satu dinar emas, iaitu upah seorang buruh kasar untuk 25 hari! Burung merpati atau burung tekukur merupakan korban yang diberikan oleh orang miskin, tetapi mereka pasti tidak mampu membelinya dengan harga sedemikian. (Im. 1:14; 5:7; 12:6-8) Keadaan itu membuat Rabi Simeon bin Gamaliel sangat marah sehingga dia mengurangkan jumlah korban yang wajib dipersembahkan. Hasilnya, harga burung merpati jatuh sebanyak 99% daripada harga asal.
Memandangkan para pedagang masa itu begitu tamak dan suka mengambil kesempatan, wajarlah Yesus memanggil mereka sebagai “perompak.”