Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Apakah Maksud Menjadi Orang yang Berfikiran Rohani?

Apakah Maksud Menjadi Orang yang Berfikiran Rohani?

“Semoga Tuhan . . . membolehkan kamu semua memiliki fikiran dan sikap yang dimiliki Kristus Yesus.”​—RM. 15:5.

LAGU: 17, 13

1, 2. (a) Apakah pandangan ramai orang tentang pentingnya berfikiran rohani? (b) Apakah soalan-soalan penting yang akan kita bincang?

“SAYA lebih bahagia dan dapat menangani cubaan setiap hari kerana berfikiran rohani,” kata seorang saudari di Kanada. Seorang saudara di Brazil berkata, “Perkahwinan kami selama 23 tahun ini sangat bahagia kerana kami berusaha berfikiran rohani.” Seorang saudara di Filipina berkata, “Kerana berfikiran rohani, minda saya tenang, dan saya ada hubungan yang lebih baik dengan rakan seiman daripada pelbagai latar belakang.”

2 Jelaslah, orang yang berfikiran rohani mendapat banyak faedah. Maka, apakah yang harus dilakukan agar kita menjadi orang yang berfikiran rohani dan menikmati berkat-berkat itu? Sebelum menjawab soalan itu, marilah kita mengkaji apa yang dinyatakan Bible tentang orang yang berfikiran rohani. Kita akan menjawab tiga soalan penting: (1) Apakah maksud menjadi orang yang berfikiran rohani? (2) Contoh siapakah yang akan membantu kita maju secara rohani? (3) Bagaimanakah usaha untuk memiliki “fikiran Kristus” akan membantu kita menjadi orang yang berfikiran rohani?

CIRI-CIRI ORANG YANG BERFIKIRAN ROHANI

3. Bagaimanakah Bible membezakan orang yang berfikiran duniawi dengan orang yang berfikiran rohani?

3 Rasul Paulus telah membuat perbandingan antara “orang yang berfikiran rohani” dengan “orang yang berfikiran duniawi.” (Baca 1 Korintus 2:14-16.) Apakah perbezaannya? Orang “yang berfikiran duniawi enggan menerima hal-hal daripada kuasa suci Tuhan kerana dia menganggap semua itu sebagai sesuatu yang bodoh. Dia tidak dapat memahaminya.” Tetapi orang “yang berfikiran rohani” dapat “menilai segala sesuatu” dan “mempunyai fikiran Kristus.” Paulus menggalakkan kita agar menjadi orang yang berfikiran rohani. Apakah perbezaan lain antara dua jenis orang ini?

4, 5. Apakah ciri-ciri orang yang berfikiran duniawi?

4 Orang yang berfikiran duniawi mengutamakan keinginan diri. Paulus menggambarkan sikap sebegitu sebagai “kecenderungan mental yang sedang menguasai orang yang ingkar.” (Ef. 2:2) Kecenderungan mental itu membuat kebanyakan orang dunia memperlihatkan satu sikap: Ikut sahaja orang ramai. Akibatnya, mereka langsung tidak peduli tentang piawaian Tuhan dan bertindak dengan sesuka hati. Orang yang berfikiran duniawi biasanya sangat mementingkan kedudukan, kekayaan, atau hak peribadinya.

5 Selain itu, orang yang berfikiran duniawi melakukan “perbuatan yang terhasil daripada keinginan yang berdosa.” (Gal. 5:19-21) Surat pertama Paulus kepada sidang Korintus menyenaraikan beberapa perbuatan sebegini, seperti menyebabkan perpecahan, bersikap berat sebelah, suka bertengkar, mendakwa rakan seiman di mahkamah, tidak menghormati mereka yang mengambil pimpinan, dan terlampau mementingkan makanan dan minuman. Semasa digoda, orang yang berfikiran duniawi cepat menyerah. (Ams. 7:21, 22) Yudas menulis bahawa keadaan sesetengah orang akan begitu teruk sehingga mereka “tidak peka terhadap hal-hal rohani.”​—Yud. 18, 19, nota kaki.

6. Apakah ciri-ciri orang yang berfikiran rohani?

6 Tidak seperti orang yang berfikiran duniawi, orang yang berfikiran rohani mementingkan hubungannya dengan Tuhan dan berusaha ‘mengikut teladan-Nya.’ (Ef. 5:1) Mereka menyelaraskan fikiran sendiri dengan fikiran Tuhan, memupuk sudut pandangan-Nya, dan berpegang pada piawaian-Nya dalam setiap aspek kehidupan. (Mzm. 119:33; 143:10) Mereka tidak bertumpu kepada keinginan yang berdosa, tetapi berusaha menunjukkan “buah kuasa suci Tuhan.” (Gal. 5:22, 23) Bagi orang yang berfikiran rohani, Tuhan sangat nyata. Mereka juga sangat menghargai hal rohani dan ibadat kepada Tuhan.

7. Apakah yang dinyatakan Bible tentang orang yang berfikiran rohani?

7 Matius 5:3 menyatakan, “Berbahagialah orang yang sedar akan keperluan rohani mereka, kerana Kerajaan di syurga milik mereka.” Roma 8:6 juga menggambarkan manfaat yang diperoleh kerana berfikiran rohani: “Jika seseorang menumpukan fikirannya kepada keinginan tubuh, hal itu membawa kematian. Sebaliknya jika seseorang menumpukan fikirannya kepada hal-hal yang selaras dengan kuasa suci Tuhan, hal itu membawa kehidupan dan kedamaian.” Ya, dengan bertumpu kepada hal rohani, kita dapat berdamai dengan Tuhan dan merasai ketenangan hati dan minda sekarang. Bukan itu sahaja, kita akan berpeluang untuk hidup selama-lamanya.

8. Mengapakah kita perlu berusaha memupuk dan memelihara kerohanian sendiri?

8 Namun, kita perlu berhati-hati kerana kita dikelilingi orang yang berfikiran duniawi. Kita harus berusaha keras untuk memupuk dan menjaga kerohanian kita. Jika minda kita tidak diisi dengan hal-hal rohani, semangat dunia akan menguasai fikiran kita. Jadi bagaimanakah kita dapat mengelakkan hal itu dan terus bertumbuh secara rohani?

YANG BAIK DIJADIKAN TELADAN

9. (a) Apakah yang dapat membantu kita bertumbuh secara rohani? (b) Teladan siapakah yang akan kita bincang?

9 Anak kecil dapat menjadi matang dengan memerhatikan dan mengikut teladan baik ibu bapa. Begitu juga, kita dapat bertumbuh secara rohani dengan memerhatikan dan meniru orang yang matang secara rohani. Pada masa yang sama, orang yang berfikiran duniawi dapat menjadi amaran bagi kita. (1 Kor. 3:1-4) Bible mengandungi kedua-dua jenis contoh itu, tetapi memandangkan fokus kita adalah untuk bertumbuh secara rohani, marilah kita bincang beberapa contoh positif yang dapat diteladani, iaitu Yakub, Maria, dan Yesus.

Apakah yang kita pelajari daripada Yakub? (Lihat perenggan 10)

10. Bagaimanakah Yakub menunjukkan bahawa dia berfikiran rohani?

10 Seperti kita, kehidupan Yakub penuh dengan cabaran. Abangnya Esau berfikiran duniawi dan ingin membunuhnya. Bapa mentuanya pula licik dan asyik ingin mengambil kesempatan terhadapnya. Meskipun dikelilingi orang sebegini, Yakub tetap berfikiran rohani dan beriman terhadap janji Yehuwa kepada Abraham. Dengan sepenuh tenaga, dia menjaga keluarganya, yang diberi peranan penting dalam pelaksanaan tujuan Yehuwa. (Kej. 28:10-15) Kata-kata dan tindakan Yakub menunjukkan bahawa dia sentiasa ingat akan piawaian dan kehendak Tuhan. Contohnya, semasa dia takut diapa-apakan oleh Esau, dia berdoa, ‘Aku mohon, selamatkanlah aku. Engkau sudah berjanji, “Aku pasti memberkatimu, dan Aku akan memberimu banyak keturunan. Bilangan mereka akan menjadi banyak seperti pasir di pantai yang tidak dapat dihitung.”’ (Kej. 32:6-12) Jelaslah, Yakub percaya akan janji-janji Yehuwa dan bertekad untuk bertindak selaras dengan kehendak dan tujuan Tuhan.

Apakah yang kita pelajari daripada Maria? (Lihat perenggan 11)

11. Bagaimanakah kita tahu bahawa Maria berfikiran rohani?

11 Bagaimana pula dengan Maria? Sudah tentu Yehuwa memilihnya untuk menjadi ibu Yesus kerana dia berfikiran rohani. Apakah buktinya? Semasa Maria melawat Zakharia dan Elisabet, kata-kata pujian yang diluahkannya jelas menunjukkan betapa kuat kerohaniannya. (Baca Lukas 1:46-55.) Kata-kata Maria menunjukkan bahawa dia sangat mencintai Firman Tuhan dan kenal benar Kitab Ibrani. (Kej. 30:13; 1 Sam. 2:1-10; Mal. 3:12) Selain itu, walaupun dia dan Yusuf baru berkahwin, mereka tidak bersetubuh sehinggalah Yesus dilahirkan. Mengapa? Mereka tidak mementingkan keinginan sendiri, tetapi mengutamakan kehendak Yehuwa. (Mat. 1:25) Maria juga memperhatikan peristiwa dalam kehidupan Yesus dan ajarannya. Selain itu, Maria ‘menyimpan semua perkara itu dalam hatinya.’ (Luk. 2:51) Hal itu menunjukkan bahawa dia mengambil berat tentang tujuan Tuhan bagi Mesias. Dapatkah kita meniru teladan Maria dan sentiasa mengutamakan kehendak Tuhan?

12. (a) Bagaimanakah Yesus meniru teladan Bapanya? (b) Bagaimanakah kita dapat meniru Yesus? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

12 Antara semua orang, Yesuslah yang paling berfikiran rohani. Sepanjang hidupnya dan semasa dia menginjil di bumi, dia menunjukkan bahawa dia ingin meniru Bapanya Yehuwa. Dia berfikir, berasa, dan bertindak mengikut cara Yehuwa, dan dia hidup menurut kehendak dan piawaian-Nya. (Yoh. 8:29; 14:9; 15:10) Sebagai contoh, perhatikan bagaimana Nabi Yesaya menggambarkan belas kasihan Yehuwa, dan bandingkan gambaran itu dengan catatan Markus tentang perasaan Yesus. (Baca Yesaya 63:9; Markus 6:34.) Adakah kita meniru Yesus dan sedia menunjukkan belas kasihan kepada orang yang memerlukan bantuan? Adakah kita bergiat sepenuhnya untuk menginjil dan mengajar orang tentang berita baik? (Luk. 4:43) Perasaan dan tindakan sedemikian merupakan ciri orang yang berfikiran rohani.

13, 14. (a) Apakah yang dapat kita belajar daripada saudara saudari zaman moden yang berfikiran rohani? (b) Sebutkan satu contoh.

13 Selain contoh dalam Bible, terdapat ramai saudara saudari zaman moden yang berfikiran rohani. Mereka telah membuat banyak kemajuan untuk meniru keperibadian Kristus. Barangkali mereka menginjil dengan bersemangat, sangat murah hati, ramah, berbelas kasihan, atau memiliki sifat-sifat murni yang lain. Seperti kita, mereka tidak sempurna dan perlu berjuang untuk mengatasi kelemahan diri agar dapat memupuk sifat-sifat yang baik. Rachel, seorang saudari di Brazil, berkata, “Saya suka ikut fesyen dunia. Jadi pakaian saya kurang sopan. Tetapi kebenaran mendorong saya berusaha menjadi orang yang berfikiran rohani. Membuat perubahan memang tidak senang, tetapi hidup saya lebih bahagia dan bermakna sekarang.”

14 Saudari Reylene dari Filipina menghadapi cabaran yang berbeza. Dia sibuk mengejar pendidikan tinggi dan pekerjaan yang baik agar dapat berjaya dalam hidup. Dia berkata, “Matlamat rohani saya mula pudar. Kemudian barulah saya sedar bahawa saya kekurangan sesuatu yang jauh lebih penting daripada kerja saya. Jadi saya bertumpu semula kepada khidmat Yehuwa.” Sejak itu, cara hidup Reylene menunjukkan keyakinannya terhadap janji Yehuwa di Matius 6:33, 34. Dia berkata, “Saya tahu Yehuwa pasti akan jaga saya!” Sidang anda mungkin ada saudara saudari seperti Reylene, yang berusaha mengikut Kristus. Tidakkah kita terdorong untuk meniru teladan baik mereka?​—1 Kor. 11:1; 2 Tes. 3:7.

MEMPUNYAI “FIKIRAN KRISTUS”

15, 16. (a) Apakah yang perlu kita lakukan untuk menjadi seperti Kristus? (b) Apakah caranya untuk membiarkan “fikiran Kristus” meresap ke dalam minda kita?

15 Bagaimanakah kita masing-masing dapat meniru Kristus? Di 1 Korintus 2:16, Bible menyatakan bahawa kita perlu “mempunyai fikiran Kristus.” Roma 15:5 pula menyebut tentang “memiliki fikiran dan sikap yang dimiliki Kristus Yesus.” Maka, untuk menjadi seperti Kristus, kita perlu mengenal corak pemikirannya dan keperibadiannya dengan menyeluruh. Kemudian kita harus mengikut jejaknya. Fikiran Yesus tertumpu kepada hubungannya dengan Tuhan, maka jika kita meniru Yesus, kita akan menghampiri Yehuwa. Itulah sebabnya kita harus belajar untuk berfikir seperti Yesus.

16 Bagaimanakah kita dapat melakukannya? Murid-murid Yesus pernah melihat mukjizatnya, mendengar ceramahnya, dan memerhatikan bagaimana dia melayan orang lain dan menerapkan prinsip Tuhan. Mereka dapat berkata, “Kami ialah saksi kepada segala yang telah dilakukannya.” (Kis. 10:39) Kita tidak dapat menyaksikan semua itu dengan mata sendiri, tetapi melalui catatan Bible, Yehuwa membolehkan kita mengenali keperibadian Yesus dengan mendalam. Semasa kita membaca dan merenungkan buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes, fikiran Kristus akan meresap ke dalam minda kita. Dengan itu, kita dapat “mengikut jejaknya dengan teliti” dan “memperlengkap diri [kita] dengan azam yang sama” seperti Kristus.​—1 Ptr. 2:21; 4:1.

17. Apakah manfaat yang kita peroleh jika kita berfikir seperti Kristus?

17 Apakah manfaat yang akan kita peroleh jika kita berfikir seperti Kristus? Sebagaimana makanan yang berkhasiat dapat menyihatkan badan, apabila minda kita diisi dengan fikiran Kristus, kerohanian kita akan menjadi mantap. Secara beransur-ansur, kita akan tahu apa yang akan dilakukan Kristus dalam apa-apa situasi. Hasilnya, kita dapat membuat keputusan yang menyenangkan hati Tuhan dan memberi kita hati nurani yang murni. Bukankah itu sebab yang baik untuk ‘mengikut teladan Tuan Yesus Kristus’?​—Rm. 13:14.

18. Apakah yang telah anda pelajari daripada rencana ini?

18 Dalam rencana ini, kita telah membincangkan ciri-ciri orang yang berfikiran rohani. Kita juga telah melihat beberapa contoh orang yang berfikiran rohani dan cara kita dapat mengikut teladan mereka. Akhir sekali, kita telah mempelajari bagaimana kita perlu mempunyai “fikiran Kristus” untuk bertumbuh secara rohani. Namun, terdapat aspek-aspek lain tentang kerohanian yang perlu kita ketahui. Contohnya, bagaimanakah kita dapat menguji seberapa teguhnya kerohanian kita? Apakah hal lain yang dapat kita lakukan untuk memupuk kerohanian sendiri? Bagaimanakah kerohanian kita akan mempengaruhi kehidupan seharian kita? Rencana seterusnya akan menjawab soalan-soalan itu.