Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

Menemui Kebahagiaan kerana Memberi

Menemui Kebahagiaan kerana Memberi

APABILA berumur 12 tahun, saya sedar bahawa saya boleh memberikan sesuatu yang bernilai kepada orang. Pada sebuah perhimpunan, seorang saudara menanya jika saya ingin menginjil. Saya terus menjawab “Ya,” walaupun saya tidak pernah menginjil. Di kawasan penyebaran, dia memberi saya beberapa buku kecil mengenai Kerajaan Tuhan. “Kamu boleh menginjil di sebelah sana, dan saya menginjil di sebelah sini,” katanya. Dengan gementar, saya menginjil dari rumah ke rumah. Tanpa disedari, semua buku kecil itu telah diberikan kepada orang. Jelaslah ramai orang menginginkan apa yang saya berikan.

Saya dilahirkan di Chatham, Kent, England, pada tahun 1923. Selepas Perang Dunia Pertama, orang berharap bahawa dunia akan menjadi lebih baik. Mereka kecewa kerana hal itu tidak berlaku. Ibu bapa saya juga kecewa dengan paderi gereja Baptist yang hanya mementingkan kedudukan. Apabila saya berumur sembilan tahun, ibu mula menghadiri perjumpaan Persatuan Pelajar Bible Antarabangsa yang kemudiannya dikenali sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. Seorang saudari mengadakan kelas Bible kepada kanak-kanak dengan menggunakan buku The Harp of God. Saya suka apa yang dipelajari.

BELAJAR DARIPADA SAUDARA BERPENGALAMAN

Semasa remaja, saya suka mengongsi harapan daripada Bible. Saya sering menginjil dari rumah ke rumah berseorangan, tetapi saya belajar banyak semasa menginjil bersama orang lain. Contohnya, semasa saya dan seorang saudara sedang berbasikal ke kawasan penyebaran, kami ternampak seorang pemimpin gereja. Saya berkata, “Nah, itulah kambing.” Saudara itu berhenti dan meminta saya duduk bersamanya. Dia berkata, “Siapa yang memberi kamu hak untuk menghakimi orang? Bergembiralah kerana kamu mengkhabarkan berita baik dan biarlah Yehuwa yang menghakimi orang.” Semasa remaja, saya belajar bahawa sukacita dapat diraih daripada memberi.​—Mat. 25:31-33; Kis. 20:35.

Seorang saudara lagi mengajar saya bahawa seseorang perlu bertabah untuk meraih sukacita daripada memberi. Isterinya tidak suka Saksi-Saksi Yehuwa. Pernah sekali, dia menjemput saya ke rumahnya untuk minum bersama. Isterinya sangat marah kerana saudara itu keluar menginjil, isterinya bahkan melemparkan uncang teh ke arah kami. Saudara itu tidak marah atau menegurnya, sebaliknya dia menyimpan semua teh kembali ke tempat asal. Beberapa tahun kemudian, kesabarannya membuahkan hasil kerana isterinya kemudian dibaptis sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa.

Keinginan saya untuk mengongsi harapan tentang masa depan semakin bertambah. Saya dan ibu dibaptis di Dover pada Mac 1940. Pada September 1939, semasa saya berusia 16 tahun, Britain mengisytiharkan perang terhadap Jerman. Pada Jun 1940, saya melihat ribuan askar dalam lori yang lalu di depan rumah kami. Para askar itu terselamat daripada Pertempuran Dunkirk. Mereka mengalami trauma dan kelihatan tiada harapan. Saya ingin sekali memberitahu mereka tentang Kerajaan Tuhan. Dalam tahun itu, Jerman mengebom Britain. Setiap malam, saya melihat banyak pesawat pengebom tentera Jerman terbang di kawasan kami. Bunyi-bunyi bom yang jatuh sangat menakutkan. Keesokan hari, kami melihat banyak rumah telah musnah. Saya semakin sedar bahawa Kerajaan Tuhan merupakan satu-satunya harapan bagi masa depan.

MEMULAKAN KEHIDUPAN YANG SUKA MEMBERI

Pada tahun 1941, saya memulakan kehidupan yang membuat saya gembira. Saya bekerja di Royal Dockyard, Chatham, untuk belajar cara membuat kapal. Pekerjaan ini diingini ramai orang kerana terdapat banyak manfaat. Umat Yehuwa telah lama mengetahui bahawa orang Kristian tidak harus terlibat dalam peperangan. Namun sekitar tahun 1941, kami memahami bahawa kami tidak harus bekerja dalam industri membuat senjata. (Yoh. 18:36) Memandangkan tempat saya bekerja tersebut membina kapal selam, saya mahu berhenti kerja dan menceburi khidmat sepenuh masa. Tugasan pertama saya adalah di Cirencester, sebuah pekan kecil indah yang terletak di Cotswolds.

Apabila berumur 18 tahun, saya telah dipenjarakan selama sembilan bulan kerana enggan menyertai khidmat tentera. Apabila bilik penjara saya ditutup, saya berasa sangat sunyi. Namun, para pengawal dan banduan lain mula menanya sebab saya dipenjarakan, dan saya gembira menjelaskan kepercayaan saya.

Selepas dibebaskan, saya diminta untuk menyertai Leonard Smith * menginjil di kampung halaman kami, iaitu Kent. Bermula tahun 1944, jutaan pesawat tanpa juruterbang yang dipenuhi dengan bahan letupan jatuh di kawasan Kent. Untuk mengebom London, pesawat-pesawat Nazi harus terbang melalui Kent. Bom tersebut juga dipanggil doodlebugs. Setiap kali kami mendengar enjin itu mati, kami tahu bahawa pesawat itu akan jatuh dan meletup. Kami sangat takut. Namun, kami mengadakan pembelajaran Bible dengan sebuah keluarga yang terdiri daripada lima orang. Kadangkala, kami duduk di bawah sebuah meja besi yang dikhaskan sebagai perlindungan jika rumah tersebut runtuh. Akhirnya, kesemua ahli keluarga tersebut telah dibaptis.

MENGINJIL DI LUAR NEGARA

Memberitakan tentang konvensyen semasa saya merintis di Ireland

Selepas peperangan, saya merintis selama dua tahun di bahagian selatan Ireland. Kami tidak sedar bahawa Ireland sangat berbeza daripada England. Kami pergi dari rumah ke rumah untuk mencari tempat tinggal dengan berkata bahawa kami mubaligh. Kami juga menawarkan majalah di jalanan. Hal ini memang tidak sesuai dilakukan kerana gereja Katolik mempunyai pengaruh kuat di negara itu! Apabila seorang lelaki mengancam kami, saya mengadu kepada seorang polis. Polis itu berkata, “Jadi apa yang kamu harapkan?” Kami tidak sedar bahawa paderi sangat berpengaruh. Jika seseorang menerima buku kami, para paderi dapat menyebabkan orang itu hilang kerja. Mereka juga menghalau kami keluar dari tempat tinggal kami.

Kami belajar bahawa apabila kami sampai di kawasan yang baru, adalah baik untuk menginjil di tempat di mana paderi tidak mengenali kami. Maka kami pergi ke tempat yang jauh dan bercakap dengan orang di sana. Di Kilkenny, kami belajar dengan seorang lelaki muda tiga kali seminggu walaupun diancam oleh kumpulan rusuhan. Saya begitu menikmati mengajar kebenaran Bible sehingga saya memutuskan untuk memohon menjalani latihan sebagai mubaligh di Sekolah Latihan Gilead.

Kapal layar Sibia yang merupakan rumah mubaligh kami dari tahun 1948 hingga 1953

Lima bulan selepas latihan di New York, keempat-empat kami yang baru tamat latihan Gilead ditugaskan ke kepulauan kecil di Lautan Caribbean. Pada November 1948, kami bertolak dari Bandar Raya New York dengan menaiki sebuah kapal layar yang bernama Sibia, tingginya 18 meter. Saya tidak pernah belayar, jadi saya sangat teruja. Salah seorang daripada kami, iaitu Gust Maki pernah menjadi nakhoda. Oleh itu, dia mengajar kami cara belayar yang asas, seperti cara menurunkan atau menaikkan layar, menggunakan kompas, dan belayar menentang arah angin. Gust dengan mahir mengemudi kapal layar selama 30 hari walaupun perlu mengharungi cuaca buruk sehinggalah kami tiba di Bahamas.

‘ISYTIHARKAN PERKHABARAN KE SEBERANG LAUT’

Selepas menginjil beberapa bulan di kepulauan Bahamas, kami belayar ke pulau Leeward dan Windward. Keluasan pulau-pulau ini menjangkau lebih kurang 800 km dari Kepulauan Virgin berdekatan Puerto Rico sehingga ke Trinidad. Selama lima tahun, kami menginjil di pulau-pulau terpencil yang tiada Saksi. Kadangkala, kami tidak dapat menghantar atau menerima surat selama berminggu-minggu. Namun, kami masih sangat gembira mengisytiharkan perkhabaran Yehuwa ke seberang laut!​—Yer. 31:10.

Para mubaligh yang belayar dengan kapal layar Sibia (kiri ke kanan): Ron Parkin, Dick Ryde, Gust Maki, dan Stanley Carter

Apabila kami berlabuh, orang kampung di sana sangat teruja. Mereka akan berkumpul di jeti untuk melihat kami. Sesetengah daripada mereka tidak pernah melihat kapal layar atau orang putih. Mereka sangat mesra dan mempunyai pengetahuan Bible. Mereka selalu memberi kami ikan segar, avokado, dan kacang. Walaupun kapal layar kami kecil, kami masih dapat tidur, memasak, atau mencuci baju.

Kami akan pergi melawat orang di pulau tersebut sepanjang hari. Kami memberitahu mereka bahawa ada ceramah Bible. Maka pada waktu senja, kami akan membunyikan loceng kapal. Memang sangat menggembirakan untuk melihat ketibaan penduduk. Lampu pelita mereka seperti kerlipan bintang yang menuruni lereng bukit. Kadangkala, terdapat ratusan orang datang dan berada di sana sehingga larut malam untuk menanya soalan. Mereka juga suka menyanyi. Jadi kami akan menaip dan mengedarkan lirik lagu Kerajaan. Keempat-empat kami berusaha untuk menyanyikan lagu Kerajaan. Kemudian, penduduk menyertai nyanyian dan menghasilkan nyanyian indah. Betapa gembiranya masa itu!

Selepas mengadakan pembelajaran Bible, sesetengah pelajar Bible akan menemani kami untuk pergi ke keluarga yang seterusnya agar dapat menyertai pembelajaran tersebut. Selepas beberapa minggu, kami harus meninggalkan kawasan itu. Namun, kami selalu meminta pelajar Bible yang paling berminat untuk terus mengajar yang lain sehingga kami kembali. Kami digalakkan kerana mereka memandang serius tugasan mereka.

Pulau yang dahulunya sunyi dan dikelilingi laut yang berwarna kebiruan, pasir yang memutih, dan pokok-pokok palma, kini telah menjadi tempat pelancongan. Kami biasanya belayar dari pulau ke pulau pada waktu malam. Ikan lumba-lumba akan berenang di tepi kapal. Oleh sebab keadaan sunyi, kami hanya mendengar bunyi air yang memukul kapal. Cahaya bulan yang terpantul di laut menghasilkan coretan cahaya pada kaki langit.

Selepas menginjil selama lima tahun di pulau, kami belayar ke Puerto Rico untuk mendapatkan kapal baru yang bermotor. Apabila kami tiba, saya berjumpa dan jatuh cinta dengan Maxine Boyd, seorang saudari mubaligh yang cantik. Dia merupakan seorang penginjil yang bersemangat sejak kecil. Kemudian, dia berkhidmat sebagai mubaligh di Republik Dominika sehingga dia diusir dari negara itu yang di bawah kuasa Katolik pada tahun 1950. Sebagai seorang anak kapal, saya mempunyai permit untuk tinggal di Puerto Rico selama sebulan sahaja. Selepas itu, saya harus belayar ke pulau yang lain untuk masa yang lama. Jadi, saya berkata kepada diri sendiri, “Ronald, jika kamu inginkan wanita ini, kamu perlu bertindak cepat.” Selepas tiga minggu, saya melamarnya dan enam minggu kemudian, kami berkahwin. Saya dan Maxine telah ditugaskan ke Puerto Rico sebagai mubaligh. Jadi saya tidak pernah belayar dengan kapal yang baru itu.

Pada tahun 1956, kami mula melawat sidang-sidang semasa melakukan kerja litar. Kebanyakan saudara saudari miskin, tetapi kami sangat gembira melawat mereka. Sebagai contoh, di perkampungan Potala Pastillo, terdapat dua keluarga Saksi yang mempunyai ramai anak. Saya sering bermain flut bagi mereka. Saya menanya seorang anak perempuan kecil, Hilda, jika dia ingin menginjil bersama kami. Dia berkata, “Saya mahu, tetapi tidak dapat kerana tiada kasut.” Kami membelinya sepasang kasut, dan dia mengikut kami pergi menginjil. Bertahun-tahun kemudian, saya dan Maxine melawat Bethel Brooklyn pada tahun 1972. Seorang saudari yang baru tamat Sekolah Gilead menghampiri kami. Dia akan memulakan tugasnya di Ecuador dan menanya, “Kamu mengenal saya? Saya ialah anak perempuan kecil dari Pastillo yang tiada kasut.” Itu ialah Hilda! Kami sangat gembira sehingga kami menangis!

Pada tahun 1960, kami ditugaskan untuk berkhidmat di pejabat cawangan Puerto Rico yang terletak di sebuah rumah kecil dua tingkat di Santurce, San Juan. Pada mulanya, saya dan Lennart Johnson melakukan kebanyakan kerja di sana. Lennart dan isterinya merupakan Saksi pertama di Republik Dominika. Mereka tiba di Puerto Rico pada tahun 1957. Maxine kemudiannya ditugaskan untuk memproses langganan majalah yang lebih daripada seribu dalam seminggu. Dia sangat menikmati kerjanya kerana dia membayangkan kegembiraan orang yang menerima makanan rohani.

Saya sangat menikmati khidmat Bethel kerana dapat menggunakan kehidupan saya untuk memberi. Namun, terdapat juga cabaran. Contohnya, pada tahun 1967, perhimpunan antarabangsa pertama kali diadakan di Puerto Rico. Pada masa itu, saya terlalu sibuk kerana banyak tanggungjawab. Nathan Knorr yang mengambil pimpinan dalam kalangan Saksi-Saksi Yehuwa pada masa itu juga datang ke Puerto Rico. Dia berfikir bahawa saya telah mengabaikan tanggungjawab untuk mengatur pengangkutan bagi mubaligh yang datang melawat, padahal saya sudah mengaturnya. Kemudian, dia menasihati saya bahawa saya harus teratur dan dia sangat kecewa dengan saya. Saya tidak ingin bertengkar dengannya, tetapi saya berasa diri saya dilayan dengan tidak adil dan berasa kecewa untuk suatu jangka masa. Walaupun demikian, semasa saya dan Maxine berjumpa dengan Saudara Knorr lagi, dia menjemput kami ke biliknya dan memasak untuk kami.

Kami melawat keluarga saya di England beberapa kali. Saya dan ibu dalam kebenaran tetapi bapa saya tidak. Apabila penceramah Bethel melawat ke tempat saya, ibu sering mengajak mereka untuk tinggal bersama. Bapa saya dapat melihat betapa rendah hatinya penyelia Bethel berbanding dengan pemimpin gereja yang pernah mengecewakannya. Akhirnya pada tahun 1962, bapa saya telah dibaptis sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa.

Bersama Maxine di Puerto Rico selepas kami berkahwin dan semasa ulang tahun perkahwinan kami yang ke-50 pada tahun 2003

Isteri kesayangan saya, Maxine, telah meninggal dunia pada tahun 2011. Saya menantikan saatnya untuk berjumpa dengannya semasa pembangkitan. Harapan ini memang menggembirakan! Kami telah hidup bersama selama 58 tahun dan telah melihat peningkatan jumlah Saksi-Saksi Yehuwa di Puerto Rico dari 650 sehingga menjadi 26,000! Pada tahun 2013, pejabat cawangan Puerto Rico telah bergabung dengan pejabat cawangan Amerika Syarikat. Saya telah ditugaskan untuk berkhidmat di Wallkill, New York. Selepas 60 tahun berada di pulau, saya berasa saya sudah menjadi orang Puerto Rico. Namun, saya harus berpindah.

“TUHAN MENGASIHI ORANG YANG MEMBERI DENGAN SENANG HATI”

Saya masih menikmati khidmat di Bethel. Kini, saya berusia lebih daripada 90 tahun. Sebagai seorang gembala rohani, tugas saya adalah menggalakkan keluarga Bethel. Saya diberitahu bahawa saya telah mengunjungi lebih daripada 600 orang sejak saya datang ke Wallkill. Sesetengah orang yang datang berjumpa dengan saya ingin membincangkan tentang masalah peribadi atau keluarga. Ada yang meminta nasihat tentang cara menikmati khidmat Bethel. Ada pula yang baru berkahwin dan ingin meminta nasihat tentang perkahwinan. Sesetengah ahli Bethel telah ditugas sebagai perintis. Saya mendengarkan mereka dan jika sesuai, saya sering memberitahu mereka, “‘Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan senang hati.’ Maka nikmatilah kerja anda kerana anda bekerja bagi Yehuwa.”​—2 Kor. 9:7.

Cabaran untuk bersukacita semasa berkhidmat di Bethel adalah sama juga dengan khidmat yang lain: Anda harus bertumpu kepada kepentingan tugas anda. Segala yang kita lakukan di Bethel ialah khidmat suci. Kerja yang dilakukan sebenarnya membantu “hamba yang setia dan bijaksana” untuk menyediakan makanan rohani kepada persaudaraan sedunia. (Mat. 24:45) Tidak kira di mana kita berkhidmat kepada Yehuwa, kita berpeluang untuk memuji-Nya. Marilah kita menikmati tugas yang diberikan Yehuwa kerana “Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan senang hati.”

^ per. 13 Kisah hidup Leonard Smith boleh didapati dalam majalah Menara Pengawal, terbitan 15 April 2012 dalam bahasa Indonesia.