RENCANA PEMBELAJARAN 47
Bagaimanakah Kita Dapat Mengasihi Satu Sama Lain Secara Mendalam?
“Marilah kita terus mengasihi satu sama lain, kerana kasih berasal daripada Tuhan.”—1 YOH. 4:7.
LAGU 109 Mengasihi dengan Sepenuh Hati
PENGENALAN a
1-2. (a) Mengapakah Rasul Paulus mengatakan bahawa “kasihlah yang paling penting”? (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?
SEMASA Rasul Paulus bercakap tentang iman, harapan, dan kasih, dia berkata bahawa “kasihlah yang paling penting.” (1 Kor. 13:13) Mengapakah Paulus berkata demikian? Pada masa depan, apabila janji Tuhan tentang dunia baharu menjadi kenyataan, kita tidak lagi perlu beriman tentangnya atau berharap hal itu akan berlaku. Tetapi kita sentiasa perlu menunjukkan kasih terhadap Yehuwa dan orang lain, bahkan di dunia baharu. Maka, kasih kita terhadap Yehuwa dan orang lain harus terus bertambah.
2 Oleh sebab kasih sangat penting, mari kita membincangkan tiga soalan berikut: Pertama, mengapakah kita harus menunjukkan kasih? Kedua, bagaimanakah kita dapat menunjukkan kasih? Ketiga, bagaimanakah kita dapat memastikan kasih kita kepada satu sama lain sentiasa kuat?
MENGAPAKAH KITA HARUS MENGASIHI SATU SAMA LAIN?
3. Mengapakah kita harus saling mengasihi?
3 Mengapakah penting bagi kita untuk saling mengasihi? Satu sebab adalah kerana kasih merupakan tanda pengenal orang Kristian sejati. Yesus memberitahu para rasulnya, “Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.” (Yoh. 13:35) Selain itu, kasih membantu kita bersatu padu. Paulus kata bahawa “kasih ialah ikatan yang menyatupadukan orang dengan sempurna.” (Kol. 3:14) Namun, terdapat satu lagi sebab penting mengapa kita harus saling mengasihi. Rasul Yohanes menulis kepada rakan seimannya, “Sesiapa yang mengasihi Tuhan mesti mengasihi saudaranya juga.” (1 Yoh. 4:21) Maka, apabila kita saling mengasihi, kita menunjukkan bahawa kita mengasihi Tuhan.
4-5. Apakah kaitan antara kasih kepada Tuhan dengan kasih yang kita tunjukkan kepada rakan seiman? Berikan contoh.
4 Apakah kaitan antara kasih kepada Tuhan dengan kasih yang kita tunjukkan kepada rakan seiman? Fikirkan bagaimana satu bahagian tubuh kita mempengaruhi bahagian tubuh kita yang lain. Contohnya, untuk mengetahui keadaan jantung anda, seorang doktor mungkin memeriksa denyutan nadi pada pergelangan tangan anda. Apakah yang kita belajar daripada contoh ini?
5 Seperti doktor itu, kita dapat mengetahui seberapa kuat kasih kita kepada Tuhan dengan memeriksa kasih kita kepada orang lain. Jika kita mendapati kasih kita terhadap rakan seiman semakin mendingin, hal ini menunjukkan bahawa kasih kita kepada Tuhan juga semakin mendingin. Namun jika kita kerap menunjukkan kasih kepada rakan seiman, hal ini menunjukkan bahawa kasih kita kepada Tuhan tetap kuat.
6. Jika kasih kita terhadap saudara saudari semakin pudar, mengapakah kita harus cepat bertindak? (1 Yohanes 4:7-9, 11)
6 Jika kasih kita terhadap saudara saudari semakin pudar, kita harus cepat bertindak. Mengapa? Kerana hal ini menunjukkan bahawa kita lemah secara rohani. Rasul Yohanes menjelaskan, “Jika [seseorang] tidak mengasihi saudaranya yang dapat dilihatnya, dia tidak dapat mengasihi Tuhan yang tidak pernah dilihatnya.” (1 Yoh. 4:20) Apakah pengajarannya? Hanya jika kita “mengasihi satu sama lain,” barulah Yehuwa akan senang hati dengan kita.—Baca 1 Yohanes 4:7-9, 11.
BAGAIMANAKAH KITA DAPAT MENUNJUKKAN KASIH KEPADA SATU SAMA LAIN?
7-8. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kasih kepada satu sama lain? Berikan contoh.
7 Berkali-kali, Firman Tuhan menggesa kita untuk “saling mengasihi.” (Yoh. 15:12, 17; Rm. 13:8; 1 Tes. 4:9; 1 Ptr. 1:22; 1 Yoh. 4:11) Namun, kasih merupakan perasaan dalam hati kita. Jadi bagaimanakah kita dapat menunjukkan kasih kita agar orang lain dapat melihatnya? Melalui kata-kata dan perbuatan kita.
8 Terdapat pelbagai cara kita dapat menunjukkan kasih kepada saudara saudari. Perhatikan beberapa contoh berikut: “Bercakap benar dengan satu sama lain.” (Za. 8:16) “Teruslah berdamai dengan satu sama lain.” (Mrk. 9:50) “Saling mendahului untuk memberikan hormat.” (Rm. 12:10) “Sambutlah satu sama lain.” (Rm. 15:7) “Teruslah . . . saling mengampuni.” (Kol. 3:13) “Teruslah membantu satu sama lain untuk memikul beban.” (Gal. 6:2) “Teruslah melegakan hati satu sama lain.” (1 Tes. 4:18) “Teruslah . . . menguatkan satu sama lain.” (1 Tes. 5:11) “Berdoa untuk satu sama lain.”—Yak. 5:16.
9. Mengapakah melegakan hati orang lain merupakan satu cara yang penting untuk menunjukkan kasih? (Lihat juga gambar.)
9 Sekarang, mari kita lihat satu contoh yang disebut dalam perenggan sebelumnya. Paulus berkata, “Teruslah melegakan hati satu sama lain.” Mengapakah melegakan hati orang lain merupakan satu cara yang penting untuk menunjukkan kasih? Menurut sebuah rujukan Bible, perkataan “melegakan hati” yang digunakan oleh Paulus bermaksud “berdiri di sisi seseorang untuk menggalakkannya apabila dia mengalami cubaan yang besar.” Maka, apabila kita melegakan hati rakan seiman yang sedang menderita, kita membantunya untuk bangun semula dan terus berjalan mengikut haluan kehidupan. Setiap kali kita melegakan hati rakan seiman, kita menunjukkan kasih kepada mereka.—2 Kor. 7:6, 7, 13.
10. Apakah kaitan antara belas kasihan dengan melegakan hati orang?
10 Sifat belas kasihan dan melegakan hati orang saling berkaitan. Seseorang yang berbelas kasihan tergerak untuk melegakan hati orang yang menderita dan meringankan beban mereka. Maka, untuk melegakan hati orang, kita harus memiliki sifat belas kasihan terlebih dahulu. Perhatikan bagaimana Paulus mengaitkan belas kasihan Tuhan dengan kelegaan hati yang diberikan-Nya. Dia memanggil Yehuwa sebagai “Bapa yang berbelas kasihan dan Tuhan yang melegakan hati kita.” (2 Kor. 1:3) Yehuwa ialah Bapa atau Sumber belas kasihan, dan hal itu menggerakkan-Nya untuk melegakan hati orang yang menghadapi “segala macam cubaan.” (2 Kor. 1:4) Sepertimana air yang jernih daripada mata air membawa kesegaran kepada orang yang haus, Yehuwa membawa kesegaran dan kelegaan hati kepada orang yang menderita. Bagaimanakah kita dapat meniru belas kasihan Yehuwa dan melegakan hati orang lain? Satu cara adalah dengan memupuk sifat-sifat yang baik.
11. Menurut Kolose 3:12 dan 1 Petrus 3:8, apakah sifat-sifat yang mesti kita pupuk agar dapat mengasihi orang lain dan melegakan hati mereka?
11 Apakah yang dapat membantu kita mengekalkan kasih kita dan terus “melegakan hati satu sama lain” setiap hari? Kita perlu memupuk sifat seperti kasih sayang terhadap satu sama lain, belas kasihan, dan kebaikan hati. (Baca Kolose 3:12; 1 Petrus 3:8.) Bagaimanakah sifat-sifat ini dapat membantu kita? Apabila hati kita dipenuhi belas kasihan dan sifat-sifat baik yang lain, kita tidak akan menahan diri daripada memberikan kelegaan hati kepada mereka yang menderita. Seperti yang dinyatakan oleh Yesus, “apa yang melimpah dalam hati, itulah yang akan diucapkan oleh mulut. Orang yang baik menyimpan apa yang baik dalam hati.” (Mat. 12:34, 35) Apabila kita mengatakan atau melakukan sesuatu untuk melegakan hati rakan seiman yang memerlukan bantuan, kita sedang menunjukkan kasih kepada mereka.
BAGAIMANAKAH KITA DAPAT MEMASTIKAN KASIH KITA KEPADA SATU SAMA LAIN SENTIASA KUAT?
12. (a) Mengapakah kita perlu berhati-hati? (b) Apakah soalan yang akan kita bincangkan sekarang?
12 Kita semua ingin “terus mengasihi satu sama lain.” (1 Yoh. 4:7) Namun, Yesus memberitahu kita bahawa “kasih kebanyakan orang akan mendingin.” (Mat. 24:12) Yesus tidak bermaksud bahawa kasih kebanyakan murid-muridnya akan menjadi pudar. Sebaliknya, dia mahu kita berhati-hati agar tidak dipengaruhi oleh orang di dunia yang tidak menunjukkan kasih. Maka, apakah yang dapat membantu kita untuk mengetahui jika kasih kita kepada saudara saudari tetap kuat?
13. Apakah satu cara kita dapat mengetahui sama ada kasih kita kepada saudara saudari tetap kuat atau tidak?
13 Satu cara kita dapat mengetahui sama ada kasih kita kepada saudara saudari tetap kuat atau tidak adalah dengan memeriksa reaksi kita terhadap kelemahan dan ketidaksempurnaan mereka. (2 Kor. 8:8) Rasul Petrus berkata, “Yang terpenting, kasihilah satu sama lain dengan mendalam, kerana kasih dapat menutup banyak dosa.”—1 Ptr. 4:8.
14. Menurut 1 Petrus 4:8, kita harus memiliki kasih yang macam mana? Berikan contoh.
14 Mari kita lihat kata-kata Petrus dengan lebih teliti. Bahagian awal ayat 8 memberitahu kita bahawa kita harus mengasihi rakan seiman “dengan mendalam.” Perkataan “mendalam” secara harfiah bermaksud “direntangkan.” Bahagian kedua ayat 8 pula memberitahu kita hasilnya jika kita mempunyai kasih yang mendalam, iaitu kita akan dapat menutup banyak dosa. Fikirkan contoh ini: Andai kata anda mempunyai sebuah meja yang ada banyak calar. Anda mungkin mengambil sehelai kain dan merentangkannya ke atas meja itu. Sudah pasti anda mahu menutup semua calar itu, dan bukan satu atau dua calar sahaja. Begitu juga, jika kita mempunyai kasih yang mendalam terhadap rakan seiman, kita dapat menutup, atau memaafkan, bukan satu atau dua dosa, tetapi “banyak dosa.”
15. Jika kasih kita kepada rakan seiman cukup kuat, kita dapat melakukan apa? (Kolose 3:13)
15 Jika kasih kita kepada rakan seiman cukup kuat, kita tidak akan bertumpu kepada ketidaksempurnaan mereka. Sebaliknya, kita akan rela mengampuni mereka, bahkan jika hal itu sangat susah dilakukan. (Baca Kolose 3:13.) Apabila kita dapat mengampuni orang lain, kita menunjukkan bahawa kasih kita kuat, dan bahawa kita ingin menyenangkan hati Yehuwa. Apakah hal lain yang dapat membantu kita agar tidak bertumpu kepada sifat orang lain yang menjengkelkan?
16-17. Apakah hal lain yang dapat membantu kita memaafkan kesilapan orang lain? Berikan contoh. (Lihat juga gambar.)
16 Kita mahu bertumpu kepada sifat-sifat baik saudara saudari dan bukannya sifat buruk mereka. Fikirkan contoh ini: Anda menghadiri gathering bersama saudara saudari. Anda sangat menikmati masa bersama mereka dan mahu mengambil gambar beramai-ramai sebagai kenangan. Anda mengambil beberapa gambar supaya jika ada gambar yang tidak cantik, anda masih ada gambar yang lain. Apabila anda melihat semula gambar yang diambil, anda memperhatikan bahawa dalam salah satu gambar, seorang saudara tidak senyum. Apakah yang anda buat dengan gambar itu? Anda akan padam gambar itu dan menyimpan gambar di mana semua orang sedang senyum.
17 Bagaimana pula dengan “gambar” atau memori yang kita pilih untuk simpan dalam minda kita? Sepertimana kita akan menyimpan gambar yang cantik dan memadamkan gambar yang tidak cantik, kita juga mahu menyimpan memori yang baik dengan saudara saudari, dan melupakan memori yang tidak baik. Biasanya, kita mempunyai kenangan yang baik bersama saudara saudari. Namun jika mereka mengatakan atau melakukan sesuatu yang menyakiti hati kita, kita boleh memilih untuk melupakannya. (Ams. 19:11; Ef. 4:32) Kita dapat “memadamkan” kesilapan kecil rakan seiman kita kerana kita ada banyak kenangan manis bersama mereka. Inilah memori atau kenangan yang mahu kita simpan dan hargai.
MENGAPAKAH KASIH SANGAT PENTING HARI INI?
18. Apakah isi penting tentang kasih yang telah kita pelajari dalam rencana ini?
18 Mengapakah kita mahu memastikan kasih kita kepada rakan seiman tetap kuat? Seperti yang telah kita bincangkan, apabila kita saling mengasihi, kita membuktikan bahawa kita mengasihi Yehuwa. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kasih kita kepada rakan seiman? Satu cara adalah dengan melegakan hati mereka. Kita dapat terus “melegakan hati satu sama lain” jika kita berbelas kasihan. Bagaimanakah kita dapat memastikan kasih kepada satu sama lain tetap kuat? Dengan berusaha sedaya upaya untuk memaafkan kesilapan orang lain.
19. Mengapakah penting untuk menunjukkan kasih kepada satu sama lain lebih-lebih lagi pada masa ini?
19 Mengapakah penting untuk menunjukkan kasih kepada satu sama lain lebih-lebih lagi pada masa ini? Petrus berkata, “Akhir segala sesuatu sudah dekat. Oleh itu, . . . kasihilah satu sama lain dengan mendalam.” (1 Ptr. 4:7, 8) Seraya akhir sistem jahat ini semakin dekat, apakah yang akan berlaku? Yesus berkata, “Kamu akan dibenci oleh semua bangsa kerana namaku.” (Mat. 24:9) Untuk mengatasi kebencian sebegini, kita perlu tetap bersatu padu. Dengan demikian, usaha Syaitan untuk memecahbelahkan kita akan gagal kerana kita disatukan oleh kasih, iaitu “ikatan yang menyatupadukan orang dengan sempurna.”—Kol. 3:14; Flp. 2:1, 2.
LAGU 130 Bermaaf-maafan
a Adalah penting bagi kita untuk menunjukkan kasih kepada rakan seiman, lebih-lebih lagi pada masa sekarang. Mengapakah hal itu penting dan bagaimanakah kita dapat berbuat demikian dengan lebih baik lagi?