Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

TIRULAH IMAN MEREKA | SARA

Tuhan Memanggilnya “Puteri”

Tuhan Memanggilnya “Puteri”

MATAHARI mula terbenam, Sara dan hamba-hamba perempuannya baru sahaja berhenti bekerja. Mereka sudah bekerja keras sehari suntuk. Bayangkan Sara yang sedang mengurut tangannya yang lesu. Dia mungkin telah menjahit kain khemahnya yang koyak. Warna daripada kain bulu kambing yang sudah luntur disebabkan sinaran matahari dan hujan mungkin mengingatkannya tentang perjalanan jauh yang telah ditempuhnya. Dia memandang ke arah ufuk dan menanti-nantikan kepulangan suaminya Abraham. * Sebaik sahaja melihat bayangan Abraham, senyuman yang lebar terukir pada wajah Sara.

Sepuluh tahun sudah berlalu sejak Abraham memimpin keluarganya menyeberangi Sungai Efrat ke Kanaan. Sara rela mengikut suaminya ke tempat yang tidak diketahui kerana dia tahu bahawa suaminya memainkan peranan penting dalam tujuan Yehuwa untuk menghasilkan suatu bangsa yang diberkati-Nya. Namun, apakah peranan Sara? Sara seorang wanita yang mandul, dan dia sudah berumur 75 tahun. Jadi dia mungkin tertanya-tanya, “Bagaimana mungkin janji Yehuwa menjadi kenyataan selagi saya isteri Abraham?” Dia tentu berasa risau tentang hal ini.

Kita juga mungkin tertanya-tanya bila janji Tuhan akan menjadi kenyataan. Memupuk kesabaran bukanlah senang, terutamanya apabila kita sedang menunggu suatu janji menjadi kenyataan. Apakah yang dapat kita pelajari daripada iman wanita ini?

‘YEHUWA TIDAK MEMBOLEHKAN AKU MELAHIRKAN ANAK’

Mereka baru sahaja meninggalkan Mesir. (Kejadian 13:1-4) Mereka berkhemah di tanah tinggi di sebelah timur kota Bethel, atau yang juga dipanggil kota Lus oleh orang Kanaan. Dari situ, Sara dapat melihat Tanah yang Dijanjikan—perkampungan orang Kanaan dan jalan-jalan yang menuju ke tempat yang jauh. Namun daripada pemandangan itu, tiada satu pun yang kelihatan seperti kampung halamannya. Sara membesar di Ur, sebuah kota di Mesopotamia yang terletak 1,900 km dari sana. Dia telah meninggalkan saudara-maranya, kemudahan-kemudahan di kota itu, pasar-pasar yang besar, dan rumahnya yang selesa, yang dilengkapi bumbung, dinding, dan mungkin paip air. Namun wanita yang beriman ini tidak bersedih apabila mengenang kembali segala keselesaan yang dinikmatinya dahulu.

Dua ribu tahun kemudian, Rasul Paulus menulis tentang iman Sara dan Abraham, “Jika mereka selalu memikirkan tempat yang telah ditinggalkan oleh mereka, mereka sebenarnya berpeluang kembali ke situ.” (Ibrani 11:8, 11, 15) Abraham dan Sara tidak merindukan masa lampau mereka. Jika mereka asyik memikirkan kehidupan lampau, kemungkinan mereka akan kembali ke tempat asal. Namun, jika mereka berbuat demikian, mereka akan hilang peluang istimewa yang diberikan Yehuwa. Selain itu, mereka akan dilupakan sama sekali dan bukannya menjadi teladan iman yang menyentuh hati jutaan orang hari ini.

Sara terus memandang ke hadapan. Dia menyokong suaminya dalam perjalanan mereka, membantu memindahkan khemah, dan menjaga ternakan. Dia tabah mengharungi pelbagai rintangan dan perubahan. Namun, semasa Yehuwa mengulangi janji-Nya kepada Abraham, peranan Sara masih tidak diketahui.​—Kejadian 13:14-17; 15:5-7.

Akhirnya, Sara memberitahu Abraham rancangan yang bermain di fikirannya. Dengan perasaan yang bercampur baur, dia berkata, ‘Yehuwa tidak membolehkan aku melahirkan anak.’ Kemudian dia meminta suaminya untuk meniduri hambanya Hagar supaya mendapat anak. Sudah tentu jiwanya berkecamuk semasa membuat permintaan itu. Bagi kita, permintaan sebegitu mungkin tidak masuk akal, tetapi pada masa dahulu seorang lelaki biasanya akan mengambil isteri kedua atau gundik untuk mendapatkan keturunan. * Mungkinkah Sara berasa bahawa dia juga perlu berbuat demikian agar tujuan Tuhan untuk menghasilkan sebuah bangsa melalui keturunan Abraham menjadi kenyataan? Tidak kira apa pun yang difikirkannya, Sara rela membuat pengorbanan. Apakah reaksi Abraham? Bible berkata dia “bersetuju dengan cadangan [Sara].”​—Kejadian 16:1-3.

Adakah Yehuwa yang menggerakkan Sara untuk membuat permintaan itu? Tidak. Cadangannya itu tidak mencerminkan fikiran Tuhan. Dia menyangka bahawa Tuhan yang menyebabkannya menderita, dan dia ingin menyelesaikan masalah itu dengan cara sendiri. Hal itu hanya mendatangkan dukacita bagi dirinya. Namun, sikap Sara yang tidak mementingkan diri patut dipuji. Bukankah sikap Sara ini mengagumkan memandangkan dunia ini dipenuhi dengan orang yang mementingkan keinginan sendiri? Jika kita rela mengutamakan kehendak Yehuwa, kita sedang meniru iman Sara.

“ENGKAU MEMANG TERTAWA TADI”

Tidak lama kemudian, Hagar mengandung. Hal itu mungkin membuat Hagar berasa bahawa dirinya lebih penting daripada Sara. Maka dia mula menghina Sara. Hal ini tentu menyakitkan hati Sara! Namun, dengan keizinan Abraham dan sokongan Tuhan, Sara menegur Hagar. Kemudian, Hagar melahirkan Ishmael. (Kejadian 16:4-9, 16) Bertahun-tahun kemudian, sewaktu Sara berumur 89 tahun dan suaminya 99 tahun, mereka mendapat berita yang tidak disangka-sangka daripada Yehuwa!

Sekali lagi, Yehuwa berjanji kepada sahabat-Nya Abraham bahawa Dia akan melipatgandakan keturunannya. Tuhan juga mengubah namanya daripada Abram kepada Abraham yang bermaksud “Nenek Moyang Banyak Bangsa.” Kemudian, buat pertama kalinya Yehuwa menunjukkan peranan Sara. Yehuwa mengubah namanya daripada Sarai yang mungkin bermaksud “Pertengkaran” kepada Sara yang bermaksud “Puteri”! Yehuwa menjelaskan mengapa Dia memilih nama itu dengan berfirman, “Aku akan memberkati Sara, dan dia akan menjadi ibu bangsa-bangsa. Di kalangan keturunannya akan ada raja-raja.”​—Kejadian 17:5, 15, 16.

Janji Yehuwa untuk menghasilkan satu keturunan yang akan membawa berkat bagi umat manusia akan ditunaikan melalui anak Sara! Nama yang dipilih oleh Tuhan bagi anak lelaki itu ialah Isaac yang bererti “Dia Tertawa.” Apabila Abraham mengetahui bahawa Yehuwa akan mengurniai Sara seorang anak, dia ‘bersujud dan tertawa.’ (Kejadian 17:17) Dia teruja dan sangat gembira. (Roma 4:19, 20) Bagaimana pula dengan Sara?

Tidak lama kemudian, tiga orang lelaki yang tidak dikenali datang ke khemah Abraham. Walaupun panas matahari sangat terik, pasangan yang lanjut usia ini segera menyambut tetamu mereka. Abraham berkata kepada Sara, “Cepat, ambillah tepung yang terbaik dan buatlah roti.” Pada zaman itu, banyak usaha diperlukan untuk melayan tetamu. Jadi Abraham tidak membiarkan isterinya melakukan semua kerja. Dia segera menyembelih seekor anak lembu dan menyediakan makanan serta minuman. (Kejadian 18:1-8) Tiga “lelaki” yang datang itu sebenarnya malaikat Yehuwa! Rasul Paulus mungkin teringat akan peristiwa ini semasa menulis, “Janganlah lupa menyambut orang dengan ramah, kerana sesetengah orang telah berbuat demikian dan menyambut malaikat tanpa menyedarinya.” (Ibrani 13:2) Dapatkah anda meniru teladan Abraham dan Sara yang suka menerima tetamu?

Sara suka menerima tetamu

Apabila salah satu malaikat mengulangi janji Tuhan kepada Abraham, Sara sedang memasang telinga di pintu khemah. Semasa memikirkan bahawa dia akan melahirkan anak pada usia tuanya, dia berasa hal itu tidak masuk akal sehingga dia tertawa dalam hati dan berkata, “Aku yang sudah tua dan layu begini, mana boleh masih ingin berseketiduran dengan suamiku? Lagipun suamiku sudah tua.” Malaikat itu membetulkan Sara dengan bertanya, ‘Adakah sesuatu yang terlalu sukar bagi Yehuwa?’ Oleh sebab Sara berasa takut, dia menafikan hal itu dengan berkata, “Saya tidak tertawa.” Tetapi malaikat itu berkata, “Engkau memang tertawa tadi.”​—Kejadian 18:9-15.

Adakah Sara tertawa kerana dia kurang iman? Tidak. Bible menyatakan, “Kerana beriman, Sara dapat mengandungkan anak meskipun dia sudah berumur. Hal ini demikian kerana Sara menganggap Dia yang telah berjanji itu setia.” (Ibrani 11:11) Sara tahu bahawa Yehuwa dapat menunaikan setiap janji-Nya. Sudah tentu, kita menginginkan iman seperti Sara. Maka, kita perlu belajar lebih banyak tentang Tuhan menerusi Bible. Dengan demikian, kita akan melihat bahawa Sara memang memiliki alasan yang kukuh untuk mempunyai iman yang kuat. Sesungguhnya, Yehuwa setia dan mengotakan segala janji-Nya, bahkan dalam cara yang begitu mengagumkan sehingga kita tertawa kerana tidak percaya!

‘BUATLAH APA YANG DISURUH SARA’

Yehuwa memberkati Sara kerana imannya

Saat yang sudah lama dinanti-nantikan oleh Sara akhirnya menjadi kenyataan sewaktu dia berumur 90 tahun. Dia melahirkan seorang anak lelaki semasa Abraham berumur 100 tahun! Seperti yang dikatakan Tuhan, Abraham menamakan bayi itu Isaac yang bermaksud “Dia Tertawa.” Kita dapat bayangkan Sara yang dalam kepenatan, tetap tersenyum sambil berkata, ‘Tuhan sudah membuat aku tertawa kerana gembira. Setiap orang yang mendengar hal ini akan tertawa bersama-samaku.’ (Kejadian 21:6) Pemberian yang menakjubkan ini tentu membuatnya bersukacita sehingga akhir hayatnya. Namun, Sara juga mendapat tanggungjawab yang besar.

Pada hari Isaac bercerai susu, keluarganya mengadakan jamuan besar. Namun, ada suatu perkara yang berlaku. Sara memperhatikan bahawa Ishmael, anak Hagar yang berumur 19 tahun, asyik mengejek Isaac yang berumur lima tahun. Ishmael bukannya sedang bermain dengan Isaac. Rasul Paulus diilhami untuk menulis bahawa Ishmael sebenarnya sedang menganiaya Isaac. Sara sedar bahawa perbuatan Ishmael merupakan ancaman yang serius terhadap kesejahteraan Isaac, orang yang akan memainkan peranan yang penting dalam tujuan Yehuwa. Maka, dia memberanikan diri dan meminta Abraham untuk mengusir Hagar dan Ishmael.—Kejadian 21:8-10; Galatia 4:22, 23, 29.

Apakah reaksi Abraham? Bible berkata, “Hal itu sangat menyusahkan hati Abraham kerana Ishmael anaknya juga.” Abraham sangat mengasihi Ishmael dan pandangannya dikelabui emosinya. Namun, Yehuwa tahu apa yang berlaku dan Dia berkata kepada Abraham, ‘Janganlah bersusah hati. Buatlah apa yang disuruh oleh Sara kerana melalui Isaac, engkau akan mendapat keturunan yang sudah Aku janjikan itu.’ Yehuwa juga meyakinkan Abraham bahawa Dia akan menjaga Hagar dan Ishmael. Maka, Abraham mendengar kata-kata Yehuwa.​—Kejadian 21:11-14.

Sara memang isteri yang baik dan pasangan yang sesuai bagi Abraham. Dia tidak hanya meluahkan kata-kata yang sedap didengar kepada suaminya. Apabila dia melihat bahawa ada masalah yang melibatkan keluarganya dan masa depan mereka, dia memberitahu suaminya dengan jujur. Sikapnya yang terus terang tidak bermaksud bahawa dia tidak menghormati Abraham. Rasul Petrus yang sudah berkahwin menggambarkan Sara sebagai teladan yang unggul kerana dia menunjukkan hormat yang mendalam kepada suaminya. (1 Korintus 9:5; 1 Petrus 3:5, 6) Sebenarnya, jika Sara berdiam diri tentang masalah ini, dia gagal menghormati Abraham kerana hal ini akan membawa masalah yang lebih besar kepada keluarganya. Sara telah bersuara tepat pada masanya.

Banyak isteri suka akan teladan Sara yang mengajar mereka cara untuk berkomunikasi secara terbuka dan hormat kepada suami. Ada kalanya, sesetengah isteri berharap agar Yehuwa juga membantu mereka sepertimana Dia membantu Sara. Walaupun demikian, mereka masih dapat belajar daripada iman, kasih, dan kesabaran Sara.

Yehuwa memanggil Sara “Puteri,” tetapi dia tidak mengharapkan layanan istimewa

Walaupun Yehuwa telah memberinya nama “Puteri,” Sara tidak mengharapkan layanan istimewa. Apabila dia meninggal pada umur 127 tahun, Abraham “sedih dan meratapi kematian isterinya” kerana dia sangat merindui “Puteri” kesayangannya. * (Kejadian 23:1, 2) Sudah tentu Tuhan Yehuwa juga merindui wanita yang setia ini dan pasti akan membangkitkannya di bumi firdaus. Berkat yang tidak terhingga menantikan Sara dan semua orang yang meniru imannya.​—Yohanes 5:28, 29.

^ per. 3 Pasangan ini pada mulanya dikenali sebagai Abram dan Sarai, namun Tuhan mengubah nama mereka. Untuk mengelakkan kekeliruan, rencana ini akan menggunakan nama yang biasa digunakan, iaitu Abraham dan Sara.

^ per. 10 Yehuwa mengizinkan lelaki memiliki lebih daripada seorang isteri pada masa itu. Namun, Yehuwa memberi Yesus kuasa untuk memulihkan semula standard perkahwinan yang asal seperti di Taman Eden, iaitu perkahwinan antara seorang lelaki dengan seorang wanita.​—Kejadian 2:24; Matius 19:3-9.

^ per. 25 Sara merupakan satu-satunya wanita yang umurnya semasa meninggal dicatatkan dalam Bible.