Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Apakah yang Akan Dilakukan oleh Kerajaan Tuhan?

Apakah yang Akan Dilakukan oleh Kerajaan Tuhan?

Yesus mengajar murid-muridnya untuk berdoa agar Kerajaan Tuhan datang. Dia tahu bahawa segala masalah di bumi bukanlah kehendak Tuhan, dan hanya Kerajaan Tuhan yang dapat menyelesaikannya. Apakah yang akan dilakukan oleh Kerajaan Tuhan?

APA YANG SUDAH DILAKUKAN OLEH KERAJAAN TUHAN

Dalam rencana sebelumnya, kita sudah membincangkan tanda yang disebutkan oleh Yesus. Tanda itu membuktikan dengan jelas bahawa Kerajaan Tuhan yang diperintah oleh Yesus Kristus sudah didirikan di syurga.

Bible menyatakan bahawa sejurus selepas Yesus menjadi Raja Kerajaan Tuhan, dia menghalau Syaitan dan roh-roh jahat dari syurga. Kini, mereka hanya dapat menimbulkan masalah di bumi, dan itulah salah satu sebabnya keadaan bumi menjadi semakin teruk sejak tahun 1914.​—Wahyu 12:7, 9.

Meskipun keadaan dunia semakin buruk, Yesus, selaku Raja Kerajaan Tuhan, sedang membantu orang di serata bumi. Melalui kerja pendidikan Bible, Yesus membantu banyak orang di serata dunia untuk mempelajari dan mengamalkan prinsip Bible dalam kehidupan seharian mereka. (Yesaya 2:2-4) Jutaan orang telah belajar cara untuk membina keluarga yang lebih bahagia, dan mereka dididik supaya memiliki pandangan yang seimbang terhadap kerja dan harta benda. Hasilnya, mereka dapat meraih manfaat sekarang dan bersedia untuk menjadi rakyat Kerajaan Tuhan.

APAKAH YANG AKAN DILAKUKAN OLEH KERAJAAN TUHAN TIDAK LAMA LAGI?

Yesus sudah mula memerintah di syurga, tetapi kerajaan manusia masih berkuasa di bumi. Namun, Tuhan telah menyuruh Yesus, “Pergilah dalam kalangan musuh-musuhmu dan taklukilah mereka.” (Mazmur 110:2) Tidak lama lagi, Yesus akan memusnahkan semua musuhnya dan membawa kehidupan yang lebih baik untuk semua orang yang rela mentaati Tuhan.

Pada masa itu, Kerajaan Tuhan akan:

  • Melenyapkan agama palsu. Agama-agama yang tidak mengajarkan kebenaran tentang Tuhan dan menindas orang akan dilenyapkan. Dalam Bible, agama palsu digambarkan seperti pelacur yang akan dibinasakan. Apabila hal itu berlaku, ramai orang akan terkejut.​—Wahyu 17:15, 16.

  • Menamatkan pemerintahan manusia. Kerajaan Tuhan akan mengakhiri semua kerajaan manusia.​—Wahyu 19:15, 17, 18.

  • Membinasakan orang jahat. Apakah yang akan berlaku kepada orang yang suka berbuat jahat dan enggan mentaati Tuhan? Bible menyatakan bahawa mereka “akan dilenyapkan dari bumi.”​—Amsal 2:22.

  • Memusnahkan Syaitan dan roh-roh jahat. Syaitan dan roh-roh jahat “tidak akan menyesatkan bangsa-bangsa lagi.”​—Wahyu 20:3, 10.

Bagaimanakah kehidupan yang menantikan orang yang ingin diperintah oleh Kerajaan Tuhan?

APA YANG AKAN DILAKUKAN OLEH KERAJAAN TUHAN BAGI MANUSIA

Sebagai Raja di syurga, Yesus jauh lebih unggul daripada mana-mana pemerintah manusia. Dia akan dibantu oleh 144,000 orang yang dipilih dari bumi. (Wahyu 5:9, 10; 14:1, 3) Dia akan melaksanakan kehendak Tuhan bagi bumi dan membawa banyak berkat kepada penduduk bumi. Apakah berkat-berkat itu?

  • Penyakit dan kematian dilenyapkan. “Tiada sesiapa pun di negeri itu yang akan berkata, ‘Aku sakit,’” dan “kematian tidak akan ada lagi.”​—Yesaya 33:24; Wahyu 21:4.

  • Kedamaian dan keselamatan yang sejati. “Mereka akan mendapat kedamaian yang berlimpah-limpah,” dan “setiap orang akan duduk di bawah pokok anggur dan di bawah pokok ara masing-masing. Tidak ada sesiapa yang akan membuat mereka berasa takut.”​—Yesaya 54:13; Mikha 4:4.

  • Pekerjaan yang memuaskan. “Umat pilihan-Ku akan menikmati hasil kerja mereka dengan sepuas-puasnya. Mereka tidak akan berjerih lelah dengan sia-sia.”​—Yesaya 65:22, 23.

  • Alam sekitar akan dipulihkan. “Padang belantara dan tanah yang gersang akan bersukacita. Padang gurun akan bergembira dan dipenuhi bunga-bunga.”​—Yesaya 35:1.

  • Manusia akan diajar cara untuk hidup selama-lamanya. “Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Tuhan yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang Engkau utus, maka mereka mendapat kehidupan kekal.”​—Yohanes 17:3.

Tuhan ingin mengurniakan berkat-berkat itu kepada anda. (Yesaya 48:18) Rencana seterusnya akan menjelaskan apa yang perlu anda lakukan sekarang untuk menikmati masa depan yang cerah itu.