TOPIK UTAMA | SUDIKAH ANDA MENERIMA KURNIAAN TUHAN YANG TERUNGGUL?
Adakah Anda Menghargai Kurniaan Tuhan yang Terunggul?
“Kasih yang dimiliki Kristus menguasai kami, . . . Kristus sudah mati untuk semua orang, supaya orang yang hidup tidak lagi hidup untuk diri sendiri, tetapi untuk dia yang sudah mati bagi mereka.”
APABILA kita menerima kurniaan yang istimewa, tidakkah kita didorong untuk menunjukkan penghargaan? Yesus pernah menyembuhkan 10 orang yang menghidap sejenis penyakit yang tiada penawar pada masa itu. Tetapi hanya seorang yang “memuliakan Tuhan dengan suara yang lantang.” Yesus bertanya, “Ada 10 orang yang disembuhkan, bukan? Di manakah sembilan orang yang lain?” (Lukas 17:12-17) Apakah pengajarannya? Janganlah kita melupakan jasa orang yang telah membantu kita!
Tebusan merupakan kurniaan Tuhan yang tidak ternilai. Maka, bagaimanakah anda menunjukkan penghargaan kepada-Nya?
-
Mengenali Pemberi tebusan. Yehuwa telah mengurniakan tebusan untuk menyelamatkan kita, tetapi kita tidak akan menerima manfaatnya secara automatik. Yesus berkata, “Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Tuhan yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang Engkau utus, maka mereka mendapat kehidupan kekal.” (Yohanes 17:3) Jika anda diberitahu bahawa anda pernah diselamatkan semasa kecil, tidakkah anda ingin mengenali orang yang menyelamatkan nyawa anda itu? Tuhan Yehuwa bukan sahaja ingin anda mengenali-Nya; Dia juga ingin anda menjadi sahabat-Nya. Bible menyatakan, “Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu.”
—Yakobus 4:8. -
Beriman terhadap tebusan. “Sesiapa yang beriman kepada Anak akan meraih kehidupan kekal.” (Yohanes 3:36) Apakah maksud beriman? Iman bukan sekadar perasaan tetapi melibatkan tindakan. (Yakobus 2:17) Apakah tindakan yang diperlukan? Semasa diberi hadiah, anda perlu menghulurkan tangan untuk menerimanya. Begitu juga, anda perlu “menghulurkan tangan” untuk menerima tebusan. Bagaimana? Pelajarilah apa yang disenangi Tuhan dan hiduplah selaras dengan kehendak-Nya. * Berdoalah agar Tuhan mengampuni anda dan memberi anda hati nurani yang bersih. Yakinlah bahawa tebusan pasti mendatangkan masa depan yang kekal, damai, dan makmur, bagi semua orang yang beriman.
—Ibrani 11:1. -
Menghadiri Peringatan kematian Yesus. Yesus ingin kita memperingati korban tebusannya setiap tahun. Dia berkata, “Teruslah melakukan hal ini untuk mengenang aku.” (Lukas 22:19) Saksi-Saksi Yehuwa akan memperingati kematian Yesus pada hari Selasa, 11 April 2017, selepas matahari terbenam. Sambutan itu mengambil masa kira-kira satu jam dan mengandungi sebuah ceramah. Kita akan belajar pentingnya kematian Yesus dan manfaat yang dibawa oleh tebusan sekarang dan pada masa depan. Tahun lalu, sekitar 20 juta orang di serata dunia telah menghadiri Peringatan. Adakah anda akan hadir tahun ini? Marilah kita bersama-sama menunjukkan penghargaan untuk kurniaan Tuhan yang terunggul.
^ per. 7 Cara terbaik untuk mengenali Tuhan dan menghampiri-Nya adalah dengan mempelajari Firman Tuhan, Alkitab. Dapatkan maklumat lanjut daripada Saksi-Saksi Yehuwa atau melayari laman web kami, www.isa4310.com/ms.