Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

1 | Doa—“Lemparkanlah Segala Kekhuatiran Kamu kepada Tuhan”

1 | Doa—“Lemparkanlah Segala Kekhuatiran Kamu kepada Tuhan”

BIBLE KATA: “Lemparkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.”​—1 PETRUS 5:7.

Maksudnya

Tuhan Yehuwa mahu kita memberitahu-Nya apa sahaja masalah yang membebani hati dan minda kita. (Mazmur 55:22) Tiada masalah yang terlalu besar atau terlalu kecil untuk disebutkan dalam doa. Jika suatu hal membuat kita risau, Yehuwa ingin kita memberitahu-Nya kerana Dia mengambil berat terhadap kita. Berdoa merupakan langkah yang penting untuk mendapat ketenangan minda.​—Filipi 4:6, 7.

Manfaatnya untuk Kita

Semasa kita bergelut dengan masalah kesihatan mental, kita mungkin berasa keseorangan, kerana orang lain tidak selalunya memahami apa yang sedang kita lalui. (Amsal 14:10) Tetapi apabila kita meluahkan perasaan kita kepada Tuhan melalui doa, Dia sentiasa sudi mendengar, dan Dia faham sepenuhnya perasaan kita. Yehuwa memperhatikan kita, dan Dia mengetahui keperitan dan pergelutan kita. Dia mahu kita berdoa dan memberitahu-Nya segala kerisauan kita.​—2 Tawarikh 6:29, 30.

Apabila kita berdoa kepada Yehuwa, kita akan bertambah yakin bahawa Dia mengambil berat terhadap kita. Kita akan berasa seperti penulis mazmur yang berkata, “Engkau telah melihat penderitaanku, dan Engkau mengetahui kesengsaraanku.” (Mazmur 31:7) Ya, Yehuwa tahu masalah yang kita hadapi. Sekadar mengetahui hal itu pun sudah membantu kita bertabah hati. Namun, Yehuwa bukan sahaja memperhatikan kesusahan kita. Dia juga amat memahami apa yang sedang kita lalui, dan Dia menggunakan Bible untuk memberi kita galakan dan kelegaan.