Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BIBLE MENGUBAH HIDUP

Beri Saya Kedamaian dan Kebahagiaan Selama Setahun

Beri Saya Kedamaian dan Kebahagiaan Selama Setahun
  • TAHUN LAHIR: 1971

  • NEGARA ASAL: PERANCIS

  • LATAR BELAKANG: TERLIBAT DENGAN JENAYAH, DADAH, DAN KEHIDUPAN YANG TIDAK BERMORAL

MASA LALU SAYA:

Keluarga saya tinggal di Tellancourt, sebuah pekan di timur laut Perancis. Bapa saya berbangsa Perancis, dan ibu saya berbangsa Itali. Apabila saya berumur lapan tahun, kami berpindah ke bahagian luar bandar Roma, Itali. Orang di sana miskin dan merupakan golongan pekerja. Hidup kami sangat susah dan ibu bapa selalu bergaduh tentang masalah kewangan.

Apabila berumur 15 tahun, ibu menggalakkan saya untuk mencari kawan. Maka, saya meluangkan lebih banyak masa di luar rumah dan terlibat dengan pergaulan buruk. Pada suatu hari, seorang lelaki yang ramah menawarkan dadah. Saya mengambilnya kerana ingin berlagak seperti orang dewasa. Kemudian, saya terlibat dengan dadah dan perbuatan yang tidak bermoral. Saya dicabuli beberapa kali. Kehidupan menjadi tidak bermakna. Saya tidak peduli sama ada saya hidup atau mati. Saya berasa sangat sunyi. Pada umur 16 tahun, saya cuba membunuh diri dengan minum sebotol wiski lalu melompat ke dalam tasik. Akibatnya, saya koma selama tiga hari.

Saya mula menghargai kehidupan saya. Namun, saya menjadi ganas dan licik. Saya menawarkan seks kepada orang, menggunakan dadah untuk membuat mereka tidak sedar, dan merompak barang berharga di rumah mereka. Sindiket jenayah menggunakan saya untuk menjual dadah di sekitar Itali. Saya selalu mempunyai masalah dengan polis. Walaupun saya percaya bahawa ada sebabnya saya wujud, kehidupan saya tidak bermakna dan di luar kawalan. Saya memohon Tuhan memberi saya kedamaian dan kebahagiaan selama setahun.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:

Apabila berumur 24 tahun, saya memutuskan untuk berpindah ke England. Oleh sebab saya terlibat dengan dunia dadah, kehidupan saya terancam. Sebelum bertolak, saya melawat ibu saya. Saya hairan kerana Annunziato Lugarà sedang berbual dengan ibu tentang Bible. * Saya tahu bahawa dia pernah melakukan jenayah. Saya takut dan menanya dia mengapa dia datang. Dia menceritakan perubahan besar dalam hidupnya dan dia kini menjadi seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Dia menyuruh saya berjanji untuk mencari Saksi apabila di England. Saya setuju. Namun apabila di sana, saya kembali kepada gaya hidup dahulu.

Pada suatu hari, saya nampak seorang Saksi menawarkan majalah Watchtower dan Awake! di London. Saya teringat janji saya kepada Annunziato. Maka saya meminta pembelajaran Bible daripada Saksi itu.

Saya kagum dengan ajaran Bible. Contohnya, saya tersentuh dengan ayat di 1 Yohanes 1:9, “Jika kita mengakui dosa kita, Tuhan akan mengampunkan dosa kita dan membersihkan kita daripada segala yang jahat, kerana Dia setia dan adil.” Ayat itu membawa kesan yang besar kerana saya berasa jijik dengan gaya hidup saya. Saya mula menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka menyambut saya dengan mesra. Keakraban yang dinikmati mereka ialah sesuatu yang saya inginkan. Saya mahu menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.

Lebih senang bagi saya untuk menghentikan penggunaan dadah dan perbuatan tidak bermoral daripada menukar keperibadian saya. Saya sedar bahawa saya perlu melayan orang dengan hormat dan timbang rasa. Sehingga kini, saya masih berusaha untuk menyingkirkan beberapa sifat buruk. Dengan bantuan Yehuwa, saya telah membuat kemajuan. Selepas belajar Bible selama enam bulan, saya dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun 1997.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA:

Selepas dibaptis, saya mengahwini Barbara yang juga baru menjadi Saksi. Apabila seorang kawan melihat perubahan saya, dia mula belajar Bible. Akhirnya, dia dan kakaknya menjadi Saksi. Kemudian, kakak kepada nenek saya mula belajar Bible. Dia berumur lebih daripada 80 tahun. Dia dibaptis sebelum meninggal.

Kini, saya berkhidmat sebagai seorang penatua di sidang. Saya dan isteri meluangkan 70 jam setiap bulan untuk mengajarkan Bible kepada orang Itali yang tinggal di London. Ada kalanya, saya berasa murung kerana gaya hidup dahulu. Namun Barbara banyak membantu. Akhirnya saya memiliki kehidupan keluarga yang stabil, serta Bapa yang pengasih. Saya meminta Tuhan memberi saya kedamaian dan kebahagiaan selama setahun, tetapi Dia memberi saya lebih daripada apa yang diminta!

Akhirnya saya memiliki kehidupan keluarga yang stabil, serta Bapa yang pengasih

^ per. 10 Lihat rencana “Bible Mengubah Hidup—Saya selalu Membawa Pistol Bersama,” diceritakan oleh Annunziato Lugarà dalam Menara Pengawal 1 Julai 2014, muka surat 8-9.