Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bersiap Sedia untuk Menghadapi Cabaran

Bersiap Sedia untuk Menghadapi Cabaran

Bersiap Sedia untuk Menghadapi Cabaran

“Saya memutuskan untuk berhenti merokok demi kesihatan anak kami yang baru lahir. Jadi saya letak tanda ‘Dilarang Merokok’ di dalam rumah kami. Tapi sejam kemudian, keinginan merokok membanjiri saya bagaikan tsunami, dan saya terus menyerah lalu merokok.”​—Yoshimitsu, Jepun.

PENGALAMAN Yoshimitsu menunjukkan bahawa orang yang ingin berhenti merokok akan menghadapi cabaran. Kajian menunjukkan bahawa hampir 90 peratus orang yang menyerah kepada godaan akhirnya kembali kepada tabiat lama mereka. Maka, jika anda mahu berhenti, anda mungkin akan lebih berjaya jika anda bersedia menghadapi pelbagai rintangan. Apakah sesetengah halangan yang mungkin timbul?

Menginginkan nikotina: Selalunya, keinginan untuk nikotina mula memuncak dalam masa tiga hari selepas rokok terakhir, dan beransur-ansur reda selepas kira-kira dua minggu. Sepanjang masa itu, “keinginan itu mungkin datang dan pergi,” jelas seorang bekas perokok. Bahkan bertahun-tahun selepas tabiat ini dihentikan, keinginan untuk merokok dapat muncul secara tiba-tiba. Jika begitu, jangan cepat menyerah. Tunggu sekitar lima minit sehingga keinginan itu pudar.

Gejala lain setelah berhenti: Pada mulanya, anda mungkin sering rasa mengantuk, susah menumpukan perhatian, dan senang naik berat badan. Anda juga mungkin rasa sakit, gatal, batuk, dan cepat berpeluh. Emosi anda pula mungkin tidak stabil, cepat hilang sabar, senang marah, dan rasa murung. Kebanyakan gejala ini mungkin hilang dalam masa empat hingga enam minggu.

Inilah masa yang sangat genting. Jadi ikutlah nasihat berikut:

● Dapatkan tidur yang cukup.

● Minum banyak air atau jus dan makan makanan yang berkhasiat.

● Lakukan senaman ringan.

● Tarik nafas dalam-dalam dan bayangkan paru-paru dipenuhi udara yang segar dan bersih.

Godaan untuk merokok: Terdapat kegiatan atau perasaan yang dapat menyebabkan anda mahu merokok. Contohnya, anda mungkin biasa minum sesuatu sambil merokok. Jika begitu, jangan terlalu santai semasa minum agar keinginan untuk merokok tidak timbul. Pada kemudian hari selepas anda mengatasi ketagihan merokok, anda boleh menikmati minuman dengan santai.

Biarpun masa yang lama telah berlalu, tubuh dan minda anda mungkin masih mengaitkan tabiat merokok dengan sesetengah kegiatan. Torben yang disebut tadi berkata, “Walaupun sudah 19 tahun saya berhenti merokok, ada kalanya keinginan untuk merokok datang kembali semasa waktu rehat.” Tetapi, keinginan ini akan beransur-ansur kurang.

Jika anda sering minum alkohol sambil merokok, anda mungkin perlu menjauhi alkohol dan tempat orang biasa minum. Hal ini kerana kebanyakan orang menyerah kepada godaan untuk merokok semula semasa mereka minum. Mengapa?

● Kesan nikotina berlipat ganda dengan hanya sedikit alkohol.

● Orang sering minum alkohol sambil merokok.

● Alkohol dapat menyebabkan anda hilang kawalan diri dan tidak dapat berfikir dengan baik. Bible kata, ‘Wain melemahkan tekad seseorang untuk melakukan apa yang benar.’​—Hosea 4:11.

Pergaulan: Pilih kawan dengan cermat. Elakkan bergaul dengan orang yang merokok atau yang mungkin mengajak anda untuk merokok. Jauhi orang yang melemahkan tekad anda atau suka mengejek anda kerana ingin berhenti.

Jaga emosi: Dalam satu kajian, hampir dua pertiga orang mula merokok semula kerana berasa stres atau marah. Apabila perasaan tertentu buat anda ingin merokok, alihkanlah perhatian anda dengan minum air, mengunyah gula-gula getah, atau pergi bersiar. Isikan minda dengan hal-hal yang positif. Anda juga boleh berdoa atau membaca Bible.​—Mazmur 19:14.

Jangan Memberi Alasan

Saya hisap sekali saja.

Realiti: Satu hisapan saja dapat mengaktifkan kira-kira 50 peratus daripada sesetengah reseptor nikotina dalam otak selama tiga jam. Hal ini sering menyebabkan seseorang terjebak dalam tabiat itu semula.

Merokok membantu saya menangani stres.

Realiti: Selepas menghisap rokok, anda mungkin rasa lega untuk seketika kerana gejala akibat berhenti merokok telah diredakan. Tetapi sebenarnya, kajian menunjukkan bahawa nikotina meningkatkan tahap hormon stres.

Saya tidak mungkin dapat berhenti.

Realiti: Sikap negatif dapat mematahkan semangat. Bible kata, “Jika kamu tawar hati pada masa kesusahan, kekuatanmu akan berkurang.” (Amsal 24:10) Maka janganlah berfikir bahawa anda tiada harapan. Sesiapa yang betul-betul ingin berhenti dan berusaha menerapkan langkah praktikal seperti yang disebut dalam majalah ini pasti akan berjaya.

Saya tidak dapat tahan kesan negatif yang timbul selepas berhenti.

Realiti: Memang hal itu tidak senang. Tetapi gejala-gejala itu akan berkurangan dalam masa beberapa minggu. Jadi, jangan putus asa. Jika beberapa bulan atau tahun kemudian, keinginan untuk merokok timbul lagi, jangan digoda olehnya! Keinginan itu akan berlalu dalam masa beberapa minit.

Saya ada penyakit mental.

Realiti: Jika anda mempunyai penyakit mental seperti kemurungan atau skizofrenia, dapatkanlah bantuan doktor anda untuk berhenti merokok. Besar kemungkinan dia dapat membantu anda, contohnya dengan menyesuaikan ubat atau rawatan yang sedang anda jalani agar dapat kurangkan gejala negatif.

Jika saya gagal berhenti, saya akan rasa sangat tidak berguna.

Realiti: Jika anda sudah berhenti tetapi mula merokok lagi, janganlah tawar hati. Anda bukannya tiada harapan. Sebenarnya, ramai orang yang cuba berhenti merokok juga mengalami hal yang sama. Jika anda gagal kali ini, bangunlah dan terus berjuang. Anda hanya akan ditewaskan jika anda enggan berusaha untuk mengatasinya. Teruslah berusaha dan anda akan berjaya!

Perhatikan pengalaman Romualdo yang merokok selama 26 tahun. Dia telah berhenti merokok selama lebih daripada 30 tahun yang lalu. Dia menulis, “Saya cuba berhenti banyak kali, tetapi kemudiannya merokok lagi. Setiap kali hal itu berlaku, saya rasa sangat susah hati dan kecewa. Tetapi saya terus berdoa untuk meminta bantuan Tuhan Yehuwa kerana saya betul-betul mahu menyenangkan hati-Nya. Akhirnya saya berjaya!”

Dalam rencana terakhir siri ini, kita akan membincangkan langkah-langkah lain yang dapat anda ambil untuk membebaskan diri daripada tabiat merokok.

[Kotak/​Gambar pada muka surat 7]

SEMUA JENIS TEMBAKAU MEMUDARATKAN

Tembakau dapat digunakan dalam banyak cara. Sesetengah produk yang mengandungi tembakau bahkan dijual di farmasi atau kedai lain. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, “semua jenis tembakau memudaratkan kesihatan kita.” Seseorang boleh mati akibat penyakit yang berkaitan dengan penggunaan tembakau, contohnya kanser dan penyakit kardiovaskular. Ibu yang merokok juga dapat membahayakan nyawa janinnya. Apakah beberapa produk tembakau yang biasa digunakan?

Bidis: Sejenis rokok gulung yang biasa digunakan di Asia. Bidis mengandungi lebih banyak tar, nikotina, dan karbon monoksida berbanding rokok biasa.

Cerut: Rokok yang diperbuat daripada tembakau yang digulung padat menggunakan daun tembakau atau kertas yang dibuat daripada tembakau. Berbanding rokok biasa, tembakau dalam cerut lebih bersifat alkali. Maka, nikotina dapat diserap melalui mulut biarpun tidak dinyalakan.

Rokok cengkih atau keretek: Rokok ini mengandungi kira-kira 60 peratus tembakau dan 40 peratus cengkih. Berbanding rokok biasa, rokok ini mengandungi lebih banyak tar, nikotina, dan karbon monoksida.

Paip atau pipa: Menghisap paip juga dapat menyebabkan kanser dan penyakit lain.

Tembakau yang tidak dinyalakan: Ini merangkumi tembakau kunyah, snuf/snus, dan gutkha, iaitu tembakau berperisa yang sering digunakan di Asia Tenggara. Nikotina diserap ke dalam saluran darah melalui mulut. Penggunaan tembakau dalam cara ini tetap berbahaya.

Paip air (shisha, hookah, dan lain-lain): Asap rokok akan melalui air sebelum dihisap. Namun, air tidak dapat menapis bahan kimia dan toksik yang boleh menyebabkan kanser.

[Kotak/​Gambar pada muka surat 8]

BANTU ORANG LAIN BERHENTI MEROKOK

Bersikap positif. Berilah pujian dan ganjaran dan elakkan daripada meleter. Lebih baik untuk kata, “Jangan putus asa. Kamu boleh berjaya jika kamu cuba lagi,” daripada berkata, “Kamu gagal lagi!”

Rela memaafkannya. Jangan terlalu sensitif jika seseorang yang cuba berhenti merokok naik marah atau geram terhadap anda. Cubalah untuk bersikap baik hati. Anda boleh kata, “Pasti sangat susah bagi kamu, tapi saya sangat bangga kamu sedang berusaha berhenti.” Jangan sekali-kali kata, “Sikap kamu dulu lebih baik dari sekarang.”

Jadilah sahabat yang sejati. Bible kata, “Sahabat sejati sentiasa menunjukkan kasih; sahabat sejati bagaikan saudara kandung yang dapat diharapkan pada masa kesusahan.” (Amsal 17:17) Teruslah bersabar dengannya dan tunjukkan kasih pada setiap masa.