Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 4

Maria Hamil tetapi Belum Berkahwin

Maria Hamil tetapi Belum Berkahwin

MATIUS 1:18-25 LUKAS 1:56

  • MARIA MEMBERITAHU YUSUF BAHAWA DIA HAMIL

  • MARIA MENJADI ISTERI YUSUF

Maria sudah hamil selama empat bulan. Sebelum ini, dia melawat Elisabet di pergunungan Yudea yang terletak di selatan Nasaret. Tetapi kini, dia sudah pulang ke Nasaret. Tidak lama lagi, orang akan tahu bahawa Maria sudah hamil. Hal ini pasti membuat dia berasa sangat gelisah!

Lagipun Maria sudah bertunang dengan Yusuf, seorang tukang kayu. Dia tahu bahawa menurut Hukum Tuhan, jika seorang gadis yang sudah bertunang bersetubuh dengan lelaki lain, gadis itu mesti direjam sampai mati. (Ulangan 22:23, 24) Jadi, meskipun dia tidak bersalah, dia masih risau tentang bagaimana dia dapat menjelaskan hal itu kepada Yusuf. Dia juga risau tentang apa yang akan berlaku kelak.

Yusuf sangat merindui Maria kerana sudah tiga bulan mereka tidak berjumpa. Apabila mereka bertemu, Maria memberitahu Yusuf bahawa dia hamil kerana kuasa suci Tuhan. Biarpun begitu, pasti susah bagi Yusuf untuk memahami dan mempercayai hal itu.

Yusuf sangat mencintai Maria dan dia tahu bahawa Maria ialah seorang gadis yang baik. Meskipun demikian, dia tidak dapat menerima penjelasan Maria kerana seorang gadis hanya boleh hamil jika dia bersetubuh dengan lelaki. Tetapi dia tidak mahu Maria direjam atau dimalukan di hadapan umum. Maka dia ingin menceraikannya secara diam-diam. Pada zaman itu, orang yang sudah bertunang seolah-olah sudah berkahwin. Maka jika seseorang ingin putus tunang, dia perlu mendapatkan surat cerai.

Semasa Yusuf mempertimbangkan hal itu, dia tertidur. Malaikat Yehuwa muncul dalam mimpinya dan berkata, “Hai Yusuf anak Daud, janganlah takut untuk mengahwini Maria. Dia hamil kerana kuasa suci Tuhan. Maria akan melahirkan seorang anak lelaki dan hendaklah kamu menamakannya Yesus, kerana dia akan menyelamatkan bangsanya daripada dosa mereka.”​—Matius 1:20, 21.

Yusuf pasti bersyukur kerana dia mendapat jawapan yang jelas! Selepas dia terjaga, dia terus mengikut arahan malaikat itu. Dia membawa Maria ke rumahnya. Tindakannya ini menunjukkan kepada orang ramai bahawa dia sudah mengambil Maria sebagai isterinya. Meskipun demikian, dia tidak bersetubuh dengan Maria sehingga Maria melahirkan Yesus.

Beberapa bulan kemudian, Yusuf dan Maria membuat persediaan untuk mengadakan perjalanan jauh. Mereka akan meninggalkan rumah mereka di Nasaret. Mengapakah mereka perlu mengadakan perjalanan padahal Maria sudah sarat mengandung?