BAB 64
Pentingnya Mengampuni Orang
-
MENGAMPUNI ORANG SEHINGGA TUJUH KALI?
-
PERUMPAMAAN TENTANG HAMBA YANG TIDAK BERSYUKUR
Setelah mendengar nasihat Yesus tentang cara menangani masalah yang timbul antara saudara saudari, Petrus ingin tahu berapa kali dia patut mengampuni orang.
Dia bertanya, “Tuan, jika saudaraku berdosa terhadapku, berapa kalikah aku harus mengampuninya? Sehingga tujuh kalikah?” Sebilangan pemimpin agama mengajar bahawa seseorang harus mengampuni saudaranya sehingga tiga kali. Maka Petrus mungkin berasa bahawa dia sangat murah hati jika dia mengampuni saudaranya ‘sehingga tujuh kali.’—Matius 18:21.
Pandangan sedemikian tidak selaras dengan ajaran Yesus. Maka dia membetulkan pandangan Petrus dengan berkata, “Aku memberitahumu, bukan 7 kali tetapi sehingga 77 kali.” (Matius 18:22) Hal ini tidak bererti bahawa Petrus patut menyimpan rekod kesalahan orang lain. Yesus sebenarnya ingin menunjukkan bahawa kita wajib mengampuni orang tidak kira berapa kali mereka berbuat salah.
Kemudian Yesus menceritakan sebuah perumpamaan tentang sikap suka mengampuni. Cerita itu tentang seorang raja yang ingin memungut hutang daripada hamba-hambanya. Seorang hamba yang berhutang 10,000 talenta [60,000,000 denari] dibawa masuk. Dia tidak mampu membayar hutangnya. Maka raja itu memerintahkan agar dia dan anak isterinya dijual untuk membayar hutangnya. Hamba itu segera bersujud kepada raja itu dan merayu, “Bersabarlah terhadap hamba. Hamba akan membayar balik semua hutang itu.”—Matius 18:26.
Raja itu berasa kasihan terhadapnya lalu membatalkan hutangnya. Tetapi apabila dia keluar, dia berjumpa dengan seorang hamba lain yang meminjam 100 denari daripadanya. Dia menangkap rakannya dan mula mencekiknya sambil berkata, “Bayarlah semua hutang kamu.” Rakannya terus bersujud sambil merayu, “Bersabarlah terhadapku. Aku akan membayar hutangku.” (Matius 18:28, 29) Tetapi hamba itu enggan membatalkan hutang rakannya sepertimana raja telah membatalkan hutangnya tadi. Meskipun hutang rakannya jauh lebih sedikit daripada hutangnya, dia memasukkan rakannya ke dalam penjara sehingga hutang itu dilangsaikan.
Apabila hamba-hamba lain nampak apa yang terjadi, mereka melaporkannya kepada raja. Kemudian raja memanggil hamba itu lalu berkata, “Hai hamba yang jahat, beta membatalkan semua hutangmu semasa kamu merayu kepada beta! Tidakkah kamu harus berbelas kasihan terhadap rakanmu sebagaimana beta berbelas kasihan terhadapmu?” Raja itu marah dan memenjarakannya sehingga dia membayar semua hutangnya. Kemudian Yesus membuat kesimpulan dan berkata, “Demikianlah Bapaku yang di syurga akan memperlakukan kamu jika kamu masing-masing tidak mengampuni saudaramu dengan ikhlas.”—Matius 18:32-35.
Perumpamaan ini mengajar kita pentingnya untuk mengampuni orang. Dosa orang lain terhadap kita tidaklah sebanyak dosa kita terhadap Tuhan. Tetapi Yehuwa masih sudi mengampunkan dosa kita. Selain itu, kita selalu berbuat salah, dan Tuhan mengampuni kita berkali-kali. Maka bukankah kita patut mengampuni saudara atau saudari kita berkali-kali meskipun mereka membuat kita marah? Seperti yang dikatakan oleh Yesus dalam Ceramah Di Atas Gunung, Tuhan akan ‘mengampunkan dosa kita sebagaimana kita mengampuni orang yang berdosa terhadap kita.’—Matius 6:12.