Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 67

Yosafat Percaya pada Yehuwa

Yosafat Percaya pada Yehuwa

TAHUKAH adik siapa mereka dalam gambar ini? Apakah yang sedang dilakukan oleh mereka? Mereka sedang menuju ke medan pertempuran dan kumpulan lelaki yang berada di hadapan sedang menyanyi. Tetapi mungkin adik bertanya, “Mengapakah penyanyi-penyanyi ini tidak membawa pedang ataupun tombak untuk bertempur?” Marilah kita lihat jawapannya.

Yosafat ialah raja bagi kerajaan selatan yang terdiri daripada dua suku bangsa Israel. Dia hidup sezaman dengan Raja Ahab dan Izebel dari kerajaan utara yang terdiri daripada sepuluh suku bangsa Israel. Walau bagaimanapun, Yosafat ialah seorang raja yang baik dan bapanya, Asa juga merupakan seorang raja yang baik. Jadi untuk bertahun-tahun lamanya, rakyat kerajaan selatan menikmati kehidupan yang aman dan damai.

Tetapi, suatu peristiwa telah berlaku yang menyebabkan mereka berasa takut. Beberapa orang utusan memberitahu Yosafat, “Angkatan tentera yang besar dari negeri-negeri Moab, Amon, dan pergunungan Seir berada dalam perjalanan untuk menyerang tuanku.” Ramai orang Israel berkumpul di Yerusalem untuk memohon bantuan Yehuwa. Mereka pergi ke Rumah Tuhan, dan di sana Yosafat berdoa, “Ya Yehuwa, Tuhan kami. Kami tidak tahu apa yang harus dilakukan. Kami tidak berupaya melawan tentera yang besar ini. Kami mengharapkan bantuan-Mu.”

Yehuwa mendengar doa mereka lalu menghantar seorang daripada hamba-Nya untuk memberitahu mereka, “Pertempuran ini ialah pertempuran Tuhan dan bukannya pertempuran kamu. Kamu tidak perlu berlawan dalam pertempuran ini. Ambillah tempat kamu lalu tunggulah. Kamu akan melihat bagaimana Yehuwa menyelamatkan kamu.”

Maka pada keesokan paginya, Yosafat memberitahu orang Israel, “Percayalah pada Yehuwa!” Kemudian, dia menempatkan para penyanyi di hadapan askar-askarnya. Sambil berkawat mereka menyanyikan lagu untuk memuji Yehuwa. Tahukah adik apa yang berlaku apabila mereka berada tidak jauh dari medan pertempuran? Yehuwa menyebabkan askar-askar musuh melawan sesama sendiri. Apabila orang Israel tiba di medan pertempuran, tidak ada seorang pun daripada tentera musuh yang hidup!

Bukankah Yosafat seorang lelaki yang bijak kerana dia percaya pada Yehuwa? Kita boleh menjadi orang yang bijak jika kita percaya pada Yehuwa juga.