Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB SEBELAS

Pelihara Kedamaian dalam Keluarga Anda

Pelihara Kedamaian dalam Keluarga Anda

1. Mengapakah sesetengah keluarga berpecah belah?

BERBAHAGIALAH keluarga yang saling mengasihi, memahami, dan hidup damai! Semoga keluarga anda juga begitu. Sedihnya, banyak keluarga berpecah belah. Apakah sebabnya? Dalam bab ini, kita akan membincangkan tiga sebab. Sesetengah keluarga terdiri daripada ahli yang menganuti agama yang berlainan. Ada keluarga yang terdiri daripada ibu bapa tiri. Ada pula keluarga yang berpecah belah kerana masalah ekonomi atau kerana ingin mengejar kekayaan. Tetapi perkara yang memecahbelahkan sesebuah keluarga tidak semestinya mempengaruhi keluarga lain. Mengapakah perbezaan ini wujud?

2. Dari manakah orang mendapatkan bimbingan tentang kehidupan keluarga? Tetapi, bimbingan yang terbaik datang dari mana?

2 Salah satu sebab ialah sudut pandangan. Jika anda berusaha memahami pandangan orang lain, anda boleh memelihara perpaduan keluarga. Sebab yang kedua ialah dari mana anda mendapatkan bimbingan. Ramai orang mengikut nasihat rakan kerja, jiran, pengulas radio, surat khabar, atau orang lain. Namun begitu, ada yang mempelajari Firman Tuhan dan menerapkan ajarannya dalam kehidupan mereka. Bagaimanakah Bible dapat membantu kita memelihara kedamaian keluarga?​—2 Timotius 3:16, 17.

JIKA SUAMI TIDAK SEIMAN

3. (a) Apakah nasihat Bible tentang perkahwinan dengan orang yang tidak seiman? (b) Jika pasangan anda tidak seiman, apakah prinsip Bible yang boleh diterapkan?

3 Bible menasihati kita agar jangan berkahwin dengan orang yang menganuti agama yang berlainan. (Ulangan 7:3, 4; 1 Korintus 7:39) Tetapi bagaimana pula jika anda mempelajari Bible setelah berkahwin, sedangkan suami anda tidak mahu belajar? Ingatlah, perkahwinan anda masih sah di mata Tuhan. (1 Korintus 7:10) Bible menegaskan bahawa ikatan perkahwinan haruslah kekal buat selama-lamanya. Bible juga menggalakkan suami isteri untuk berusaha menyelesaikan masalah mereka, dan tidak melarikan diri daripadanya. (Efesus 5:28-31; Titus 2:4, 5) Bagaimana pula jika suami melarang anda mengikut ajaran Bible? Barangkali, dia mencuba menghalang anda daripada menghadiri perjumpaan di sidang, atau dia tidak mahu anda menginjil dari rumah ke rumah. Apakah yang patut anda buat?

4. Bagaimanakah isteri boleh menunjukkan bahawa dia memahami perasaan suaminya yang tidak seiman?

4 Tanyalah diri, ‘Mengapakah suami saya berasa sedemikian?’ (Amsal 16:21, 23) Suami anda mungkin risau kerana dia tidak memahami sepenuhnya apa yang sedang anda lakukan. Atau dia mungkin mendapat tekanan daripada saudara-mara kerana anda tidak lagi mengamalkan adat resam yang penting di mata mereka. “Semasa berseorangan di rumah, saya rasa seperti ditinggalkan isteri,” kata seorang suami. Dia berasa bahawa isteri dirampas oleh agamanya. Tetapi, dia ingin menjaga muka dan enggan mengakui bahawa dia kesunyian. Suami anda mungkin perlu diyakinkan bahawa meskipun anda mengasihi Yehuwa, kasih sayang anda terhadapnya tidak berubah. Jangan lupa untuk meluangkan masa bersamanya.

5. Apakah pandangan seimbang yang patut dimiliki oleh seorang isteri jika suaminya tidak seiman?

5 Anda juga perlu mengambil kira perkara yang lebih penting. Firman Tuhan menggesa isteri: “Taatlah kepada suami, kerana demikianlah seharusnya kelakuan kamu sebagai orang Kristian.” (Kolose 3:18) Maka, isteri tidak patut bertindak sesuka hati; dia harus taat kepada suaminya. Tetapi “sebagai seorang Kristian” dia juga patut taat kepada Kristus. Isteri perlu memupuk pandangan yang seimbang.

6. Apakah prinsip-prinsip yang harus diingati oleh isteri Kristian?

6 Menghadiri perjumpaan dan menginjil ialah aspek penting ibadat sejati. Seorang Kristian tidak boleh mengabaikan hal-hal ini. (Roma 10:9, 10, 14; Ibrani 10:24, 25) Maka, apakah yang akan anda lakukan jika seseorang mengarahkan anda supaya mengingkari perintah Tuhan? Para rasul menjawab, ‘Kami harus taat kepada Tuhan dan bukan kepada manusia.’ (Kisah 5:29) Kita boleh mencontohi teladan mereka dalam kehidupan seharian. Adakah kasih akan Tuhan menggerakkan anda untuk mentaati perintah-Nya? Seterusnya, adakah kasih dan hormat terhadap suami menggerakkan anda untuk mengambil kira perasaannya semasa anda mentaati perintah Yehuwa?​—Matius 4:10; 1 Yohanes 5:3.

7. Bagaimanakah isteri Kristian boleh menunjukkan ketabahan?

7 Yesus sedar bahawa tidak mudah untuk berbuat demikian. Dia memberikan amaran bahawa penganut ibadat sejati akan ditentang oleh ahli keluarga sendiri. (Matius 10:34-36) Hal ini terjadi kepada seorang wanita di Jepun. Dia ditentang oleh suaminya selama 11 tahun. Suami wanita ini melayannya dengan buruk dan selalu mengunci pintu rumah agar dia tidak dapat masuk. Tetapi wanita ini bertabah. Saudara saudari di sidang Kristian membantunya. Dia berdoa bersungguh-sungguh dan mendapat galakan daripada 1 Petrus 2:20. Wanita Kristian ini percaya bahawa jika dia terus bertabah, suaminya pasti menyembah Yehuwa bersamanya suatu hari nanti. Akhirnya, hal ini menjadi kenyataan.

8, 9. Apakah yang boleh dilakukan oleh isteri Kristian untuk menyenangkan hati suaminya?

8 Kelakuan anda boleh mempengaruhi sikap suami. Misalnya, jika dia menentang kepercayaan anda, jangan memberinya peluang untuk mengadu tentang hal-hal lain. Pastikan keadaan rumah bersih. Jagalah penampilan diri. Tunjukkan kasih dan kesyukuran. Jangan cari kesalahannya, tetapi berikan sokongan anda. Tunjukkan bahawa anda menghormatinya sebagai ketua keluarga. Jangan balas dendam meskipun dia yang bersalah. (1 Petrus 2:21, 23) Ingatlah bahawa kita semua tidak sempurna; jika timbulnya perselisihan, tunjukkan kerendahan hati dan minta maaf.​—Efesus 4:26.

9 Sebelum menghadiri perjumpaan, pastikan bahawa anda telah menyediakan makanan untuknya. Anda boleh memilih untuk keluar menginjil sewaktu suami tiada di rumah. Jika suami tidak suka anda menginjil kepadanya, janganlah berbuat demikian. Sebaliknya, ikutlah nasihat rasul Petrus: ‘Isteri-isteri harus taat kepada suami, supaya jika ada antara suami kamu yang tidak percaya kepada firman Tuhan, kelakuan kamu akan menyebabkan mereka menjadi percaya. Kamu tidak perlu mengatakan apa-apa kepada mereka, kerana mereka boleh melihat kelakuan kamu yang murni dan penuh hormat.’ (1 Petrus 3:1, 2, ABB) Isteri-isteri Kristian harus berusaha memupuk semua aspek buah daya aktif Tuhan.​—Galatia 5:22, 23.

JIKA ISTERI TIDAK SEIMAN

10. Bagaimanakah seorang suami Kristian harus melayan isterinya yang tidak seiman?

10 Bagaimana pula jika isteri tidak seiman? Bible memberikan bimbingan dengan berkata, “Jika seorang lelaki Kristian mempunyai isteri yang bukan Kristian, dan isterinya itu bersetuju hidup bersama-sama dia, orang itu tidak boleh menceraikan isterinya.” (1 Korintus 7:12) Bible juga mengingatkan suami agar terus ‘mengasihi isteri.’​—Kolose 3:19.

11. Jika isteri tidak seiman, bagaimanakah suami dapat menunjukkan pengertian dan mengambil kira perasaannya?

11 Jika anda mempunyai isteri yang tidak seiman, anda harus menghormati dan mengambil kira perasaannya. Sebagai orang dewasa, dia berhak memilih agamanya, walaupun anda tidak menyetujuinya. Pada kali pertama anda menceritakan kepercayaan anda kepada isteri, jangan berharap dia akan serta-merta meninggalkan sesuatu yang telah lama dipercayainya. Jangan berkata bahawa dia dan keluarganya menganuti agama palsu. Sebaliknya, anda harus bersabar semasa membantunya menggunakan daya fikir untuk mencapai kesimpulan yang betul menerusi ayat Bible. Dia mungkin berasa tersisih jika anda menghabiskan banyak masa untuk kegiatan sidang. Dia mungkin menghalang anda menyembah Yehuwa, tetapi sebenarnya dia cuma ingin anda meluangkan lebih banyak masa bersamanya. Bersabarlah dengannya. Jika anda menunjukkan kasih dan bertimbang rasa, lama-kelamaan dia mungkin memeluk ibadat sejati.​—Kolose 3:12-14; 1 Petrus 3:8, 9.

MENDIDIK ANAK-ANAK

12. Jika ibu dan ayah tidak seiman, apakah prinsip Bible yang boleh membantu mereka mendidik anak?

12 Jika ibu dan ayah tidak seiman, siapakah yang harus mendidik anak dari segi rohani? Menurut prinsip Bible, ayahlah yang memikul tanggungjawab utama untuk mendidik anak, tetapi ibu juga memainkan peranan yang penting. (Amsal 1:8; bandingkan Kejadian 18:19; Ulangan 11:18, 19.) Meskipun ayah tidak menerima Kristus sebagai kepalanya, dia masih kepala keluarganya.

13, 14. Apakah yang boleh dilakukan oleh isteri jika suami tidak membenarkannya membawa anak-anak ke perjumpaan Kristian atau mengajar mereka Bible?

13 Sesetengah suami bukan Kristian tidak kisah jika isteri mengajar anak-anak tentang agama. Yang lain pula membantah. Jika suami tidak membenarkan anda membawa anak ke perjumpaan atau mengajar mereka tentang Bible di rumah, apakah yang harus anda lakukan? Ingatlah, anda perlu seimbang dalam menunaikan tanggungjawab anda kepada Tuhan Yehuwa, suami anda, dan anak-anak yang dikasihi. Bagaimanakah anda boleh berbuat demikian?

14 Sudah tentu, anda akan berdoa tentang hal ini. (Filipi 4:6, 7; 1 Yohanes 5:14) Tetapi, akhirnya anda sendirilah yang patut memutuskan tindakan yang harus diambil. Jika anda bertindak dengan bijak dan menunjukkan kepada suami bahawa anda tidak mencabar kedudukannya, lama-kelamaan tentangannya mungkin akan berkurang. Biarpun suami tidak membenarkan anda membawa anak-anak ke perjumpaan atau mengadakan pembelajaran Bible dengan mereka, anda masih boleh mengajar mereka setiap hari. Menerusi kata-kata dan tindakan, cubalah pupuk dalam diri mereka kasih kepada Yehuwa, kepercayaan terhadap Firman-Nya, hormat kepada ibu dan juga bapa mereka, keprihatinan kepada orang lain, dan tabiat kerja yang baik. Lambat-laun, ayah mereka mungkin melihat hasil yang baik dan menghargai usaha anda.​—Amsal 23:24.

15. Apakah tanggungjawab seorang bapa Kristian dalam soal mendidik anak?

15 Jika isteri anda bukan seorang Kristian, anda sebagai suami bertanggungjawab mendidik anak-anak “dengan ajaran dan nasihat Tuhan.” (Efesus 6:4) Semasa anda berbuat demikian, tunjukkanlah sifat baik hati, kasih, dan munasabah kepada isteri anda.

JIKA IBU BAPA TIDAK SEIMAN

16, 17. Jika anda menganuti agama yang berbeza daripada ibu bapa, apakah prinsip-prinsip Bible yang harus diingati?

16 Dewasa ini, ramai anak bawah umur menganuti agama yang berbeza daripada ibu bapa. Adakah anda salah seorang daripada mereka? Jika ya, Bible mengandungi nasihat untuk anda.

17 Bible berkata, “Hai anak-anak, sebagai pengikut Kristus, kamu harus taat kepada ibu bapa, kerana hal itulah yang seharusnya kamu lakukan. ‘Hormatilah ibu bapamu.’” (Efesus 6:1-3, ABB) Meskipun penting untuk mentaati dan menghormati ibu bapa, anda juga perlu mematuhi Tuhan yang benar. Apabila anak sudah cukup dewasa untuk membuat keputusan, dia juga harus lebih bertanggungjawab atas tindakannya. Dia bertanggungjawab dari segi undang-undang, dan khasnya dari segi hukum Tuhan. ‘Kita masing-masing harus mempertanggungjawabkan segala perbuatan kita kepada Tuhan,’ kata Bible.​—Roma 14:12.

18, 19. Jika anda menganuti agama yang lain daripada ibu bapa, bagaimanakah anda dapat membantu mereka untuk lebih memahami kepercayaan anda?

18 Cubalah memahami pandangan ibu bapa jika agama anda mendorong anda untuk membuat perubahan dalam hidup. Mereka mungkin gembira jika selepas mempelajari Bible, anda lebih menghormati mereka, lebih patuh, dan lebih tekun menunaikan permintaan mereka. Tetapi jika anda menolak adat dan kepercayaan yang sudah lama dihargai mereka, mereka mungkin berasa bahawa anda sedang menolak warisan keluarga. Barangkali mereka juga risau jika kepercayaan anda tidak disukai masyarakat atau menghalang anda daripada menikmati kehidupan yang mewah. Tindakan anda juga mungkin melukai maruah ibu bapa; mereka berasa bahawa anda sedang mengatakan, “Saya yang betul, kamu yang salah.”

19 Oleh itu, perkenalkan penatua atau saudara saudari Kristian yang matang kepada ibu bapa anda secepat mungkin. Jemputlah mereka ke Dewan Perjumpaan agar mereka boleh mendengar apa yang dibincangkan di situ serta melihat dengan mata sendiri sikap yang diperlihatkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Hal ini mungkin akan melembutkan hati ibu bapa anda. Meskipun mereka keras membantah, memusnahkan bahan bacaan Bible, dan menghalang anda menghadiri perjumpaan Kristian, anda masih boleh membaca bahan bacaan di tempat lain, menghubungi rakan Kristian, dan menginjil secara tidak formal. Anda juga boleh berdoa kepada Yehuwa. Ada remaja yang perlu menunggu sehingga mereka sudah cukup umur untuk berpindah dari rumah, barulah mereka dapat lebih bergiat dalam aktiviti Kristian. Tidak kira apa jua keadaan di rumah, “hormatilah ibu bapamu” sentiasa. Cubalah pelihara kedamaian di rumah. (Roma 12:17, 18) Yang terpenting, berusahalah untuk hidup damai dengan Tuhan.

CABARAN YANG DIHADAPI OLEH IBU BAPA TIRI

20. Apakah perasaan anak-anak yang mempunyai ibu atau bapa tiri?

20 Bagi banyak rumah tangga, cabaran terbesar yang dihadapi bukanlah agama tetapi pertalian darah. Banyak keluarga hari ini terdiri daripada ibu bapa tiri. Dalam keluarga sebegini, anak-anak mungkin akan iri hati, geram, atau berasa bahawa kesetiaan mereka berbelah bahagi. Akibatnya, mereka mungkin menolak niat baik ibu atau bapa tiri mereka. Apakah yang dapat membantu keluarga tiri untuk hidup bahagia?

Ibu bapa kandung atau tiri, bergantunglah pada bimbingan Bible

21. Meskipun ibu bapa tiri menghadapi cabaran besar, mengapakah mereka patut mendapatkan bimbingan daripada Bible?

21 Meskipun anda mempunyai keluarga tiri, prinsip Bible yang dapat membantu keluarga lain untuk hidup bahagia juga dapat membantu anda. Jika anda mengetepikan prinsip tersebut, keadaan mungkin akan bertambah baik buat seketika, tetapi akhirnya anda pasti sakit hati. (Mazmur 127:1; Amsal 29:15) Pupuklah hikmat dan pengertian. Hikmat membantu anda menerapkan prinsip Bible agar keluarga anda mendapat manfaatnya kelak, dan pengertian membantu anda memahami mengapa mereka mengatakan atau melakukan sesuatu perkara. Anda juga perlu belajar memahami dan menyelami perasaan ahli keluarga.​—Amsal 16:21; 24:3; 1 Petrus 3:8.

22. Mengapakah anak-anak sukar menerima ibu atau bapa tiri mereka?

22 Sebagai ibu atau bapa tiri, anda mungkin ingat bahawa anak-anak menyukai anda semasa anda menjadi kawan keluarga mereka. Tetapi sikap mereka berubah apabila anda menjadi ibu atau bapa tiri. Mereka mungkin merindukan ibu atau bapa kandung sendiri, dan berasa bahawa kesetiaan mereka berbelah bahagi. Di mata mereka, anda sedang merampas kasih mereka terhadap ibu atau bapa kandung. Ada masanya, mereka mungkin berkata bahawa anda bukanlah ibu atau bapa mereka. Kata-kata sebegini menusuk hati. Tetapi “jangan lekas marah” dan tersinggung. (Pengkhutbah 7:9) Anda perlu menunjukkan pengertian dan menyelami perasaan mereka.

23. Bagaimanakah disiplin harus diberikan dalam keluarga tiri?

23 Sifat-sifat yang disebutkan di atas sangat penting semasa mendisiplinkan anak. Berikan disiplin secara tetap. (Amsal 6:20; 13:1) Setiap anak memerlukan disiplin yang berlainan. Ada ibu bapa tiri yang mendapati bahawa pada mulanya adalah lebih baik untuk membenarkan ibu atau bapa kandung memberikan disiplin. Tetapi kedua-dua ibu bapa haruslah menyokong disiplin yang diberikan dan melaksanakannya, tanpa memilih kasih terhadap anak kandung sendiri. (Amsal 24:23) Memang anak-anak haruslah patuh, tetapi ingatlah bahawa mereka tidak sempurna. Jadi, jangan bertindak secara keterlaluan. Berikan disiplin dengan penuh kasih.​—Kolose 3:21.

24. Bagaimanakah masalah moral dalam ahli keluarga tiri boleh dihindari?

24 Perbincangan keluarga boleh mengelakkan banyak masalah, dan membantu seisi keluarga untuk bertumpu pada hal-hal yang terpenting dalam hidup. (Bandingkan Filipi 1:9-11.) Menerusi perbincangan ini, setiap orang juga boleh memahami bagaimana dia dapat membantu mencapai matlamat keluarga. Tambahan lagi, perbincangan yang terus terang boleh menghindari masalah moral. Anak perempuan harus mengetahui cara berpakaian dan berkelakuan semasa bersama ayah, abang, atau adik lelaki tiri. Anak lelaki juga perlu diajar tingkah laku yang sesuai terhadap ibu, kakak, atau adik perempuan tiri.​—1 Tesalonika 4:3-8.

25. Apakah kunci untuk memelihara kedamaian dalam keluarga tiri?

25 Hadapilah cabaran sebagai ibu atau bapa tiri dengan penuh sabar. Masa diperlukan untuk menjalin hubungan yang baru. Tidak mudah untuk meraih kasih sayang dan rasa hormat anak-anak yang tidak mempunyai pertalian darah dengan anda. Tetapi anda boleh berjaya. Hikmat dan pengertian, serta hasrat untuk menyenangkan hati Yehuwa merupakan kunci untuk memelihara kedamaian dalam keluarga tiri. (Amsal 16:20) Sifat-sifat ini juga dapat membantu anda menangani situasi lain.

ADAKAH KELUARGA ANDA BERPECAH BELAH KERANA WANG?

26. Bagaimanakah masalah kewangan dan sikap terhadap wang memecahbelahkan keluarga?

26 Masalah kewangan dan sikap terhadap wang boleh memecahbelahkan keluarga. Sedihnya, perpaduan sebilangan keluarga musnah kerana mereka bergaduh tentang wang atau asyik mengejar kekayaan. Keluarga mungkin berpecah apabila kedua-dua suami isteri bekerja dan enggan menggunakan pendapatan sendiri untuk menampung keluarga. Biarpun mereka tidak bergaduh, mereka tidak dapat meluangkan masa bersama kerana sibuk bekerja. Kebelakangan ini, semakin banyak ayah tinggal berjauhan daripada keluarga selama berbulan-bulan, atau bahkan bertahun-tahun, untuk mencari lebih banyak wang. Perbuatan ini boleh menimbulkan masalah yang amat serius.

27. Apakah prinsip-prinsip yang dapat membantu keluarga yang menghadapi masalah kewangan?

27 Meskipun setiap keluarga mempunyai tekanan dan keperluan yang berbeza, nasihat Bible boleh membantu mereka. Contohnya, Amsal 13:10 menyatakan bahawa kadangkala kita dapat menghindari masalah dengan “meminta nasihat.” Selain mengutarakan pendapat sendiri, kita perlu meminta nasihat dan mendengar sudut pandangan ahli keluarga yang lain. Seterusnya, keluarga juga boleh merancang perbelanjaan bersama. Ada kalanya, kedua-dua suami isteri perlu bekerja buat sementara waktu untuk menampung perbelanjaan tambahan, terutamanya jika mereka mempunyai anak atau orang lain yang bergantung pada mereka. Apabila hal ini terjadi, suami boleh meyakinkan isteri bahawa dia masih akan meluangkan masa bersamanya. Suami dan anak-anak juga boleh meringankan beban isteri di rumah.​—Filipi 2:1-4.

28. Apakah peringatan yang membantu keluarga hidup bersatu padu?

28 Ingatlah, meskipun wang diperlukan dalam sistem dunia ini, wang tidak menjamin kebahagiaan ataupun memelihara kehidupan. (Pengkhutbah 7:11, 12) Jika kita terlalu mementingkan wang, kita akan binasa secara rohani dan moral. (1 Timotius 6:9-12) Lebih baik mengutamakan Kerajaan Tuhan dan kehendak-Nya kerana Dia pasti memberkati usaha kita untuk menampung keperluan hidup! (Matius 6:25-33; Ibrani 13:5) Ya, keluarga anda mungkin berpecah belah akibat keadaan tertentu. Tetapi anda masih boleh hidup bersatu padu jika anda mendahulukan kepentingan rohani dan berusaha untuk berdamai dengan Tuhan.