Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

TOPIK UTAMA | BIBLE​—TERPELIHARA WALAUPUN DIANCAM

Bible Terpelihara walaupun Mudah Reput

Bible Terpelihara walaupun Mudah Reput

ANCAMANNYA: Biasanya, papirus dan kulit binatang digunakan oleh penulis dan penyalin Bible. * (2 Timotius 4:13) Apakah kesan buruk menggunakan bahan-bahan tulis ini?

Papirus merupakan bahan yang senang koyak, reput, dan warnanya cepat berubah. Ahli kaji purba Mesir yang bernama Richard Parkinson dan Stephen Quirke berkata, “Apabila papirus reput, yang tinggal hanyalah serat-serat dan habuk.” Mereka menyambung, “Papirus juga senang rosak disebabkan kulapuk, kelembapan, dan dimakan binatang atau serangga perosak, terutamanya anai-anai.” Selain itu, papirus yang terdedah kepada cahaya dan kelembapan juga akan lebih cepat rosak.

Kulit binatang lebih tahan berbanding papirus. Tetapi jika tidak dijaga dengan baik, atau terdedah dengan kelembapan, cahaya, dan suhu yang melampau, kulit binatang juga mudah rosak. * Serangga juga suka menyerang kulit binatang. Sebuah buku tentang tulisan Yunani dan Roma kuno menyatakan, “Bahan tulis ini biasanya tidak tahan lama dan senang rosak.” Bayangkan jika manuskrip Bible lenyap, kandungannya juga turut lenyap.

BAGAIMANA BIBLE TERPELIHARA: Menurut hukum untuk raja-raja Israel, mereka harus “menyalin Hukum itu dalam sebuah buku.” Ungkapan “Hukum itu” merujuk kepada lima buku pertama dalam Bible. (Ulangan 17:18) Selain itu, terdapat juga para penyalin yang menyalin Ayat-Ayat Suci. Pada abad pertama Masihi, terdapat begitu banyak salinan sehingga gulungan Ayat-Ayat Suci dapat dijumpai di rumah ibadat Yahudi di Israel dan Makedonia. (Lukas 4:16, 17; Kisah 17:11) Bagaimanakah gulungan-gulungan itu dapat bertahan sampai sekarang?

Manuskrip Gulungan Laut Mati dapat bertahan selama ratusan tahun kerana disimpan dalam tembikar di dalam gua yang kering

Seorang pakar Perjanjian Baharu yang bernama Philip W. Comfort berkata, “Orang Yahudi biasanya menyimpan gulungan Ayat-Ayat Suci di dalam balang atau tembikar.” Nampaknya, orang Kristian masa awal juga berbuat demikian. Maka, sesetengah manuskrip Bible dijumpai di dalam bekas tembikar, tempat yang gelap, gua, dan kawasan yang kering.

HASILNYA: Ribuan manuskrip Bible bertahan sehingga hari ini, dan ada antaranya yang berusia lebih daripada 2,000 tahun. Hal ini sangat mengagumkan kerana tidak ada teks kuno lain yang mempunyai begitu banyak manuskrip yang kekal sehingga hari ini.

^ per. 3 Papirus merupakan bahan tulis yang diperbuat daripada sejenis tumbuhan yang hidup di air.

^ per. 5 Contohnya, salinan dokumen rasmi Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat juga ditulis pada kulit binatang. Tidak sampai 250 tahun kemudian, tulisan pada salinan itu sudah pudar dan hampir tidak dapat dibaca.