Berita Baik yang Disampaikan oleh Yohanes 3:1-36
3 Ada seorang Farisi yang bernama Nikodemus.+ Dia merupakan pemimpin orang Yahudi.
2 Dia datang kepada Yesus pada waktu malam+ dan berkata, “Rabbi,+ kami tahu bahawa Rabbi diutus oleh Tuhan sebagai guru, kerana tiada sesiapa pun yang dapat melakukan mukjizat+ seperti yang Rabbi lakukan kecuali Tuhan menyertainya.”+
3 Yesus menjawab, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Tiada sesiapa yang dapat melihat Kerajaan Tuhan+ kecuali dia dilahirkan semula.”*+
4 Nikodemus berkata kepadanya, “Bagaimanakah orang dewasa dapat dilahirkan semula? Dapatkah dia memasuki rahim ibunya buat kali kedua lalu dilahirkan?”
5 Yesus menjawab, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Tiada sesiapa pun yang dapat memasuki Kerajaan Tuhan kecuali dia dilahirkan daripada air+ dan kuasa suci Tuhan.+
6 Mereka yang dilahirkan oleh manusia merupakan anak-anak manusia, dan mereka yang dilahirkan daripada kuasa suci Tuhan merupakan anak-anak Tuhan.
7 Janganlah hairan kerana aku berkata kepada kamu: Kamu semua mesti dilahirkan semula.
8 Angin bertiup ke mana sahaja angin mahu, dan kamu mendengar bunyinya. Namun, kamu tidak tahu dari mana datangnya angin dan ke mana angin itu akan pergi. Demikian juga halnya dengan setiap orang yang telah dilahirkan daripada kuasa suci Tuhan.”+
9 Nikodemus pun bertanya, “Bagaimanakah hal-hal ini boleh terjadi?”
10 Yesus menjawab, “Bukankah kamu seorang guru di Israel? Mengapakah kamu tidak mengetahui perkara-perkara ini?
11 Sesungguhnya aku berkata kepadamu: Kami mengatakan apa yang kami tahu dan kami memberikan kesaksian tentang apa yang kami lihat, tetapi kamu semua tidak menerima kesaksian kami.
12 Jika kamu tidak percaya apabila aku memberitahu kamu tentang perkara di bumi, bagaimanakah kamu dapat percaya apabila aku memberitahu kamu tentang perkara di syurga?
13 Tambahan lagi, tiada seorang pun yang pernah naik ke syurga+ kecuali dia yang turun dari syurga,+ iaitu Anak Manusia.
14 Sepertimana Musa menggantungkan ular pada sebatang tiang di padang belantara,+ begitu juga Anak Manusia mesti digantungkan,*+
15 supaya semua orang yang percaya kepadanya boleh mendapat kehidupan kekal.+
16 “Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya,+ supaya setiap orang yang beriman kepadanya tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan kekal.+
17 Tuhan tidak mengutus Anak-Nya ke dunia untuk menghakimi dunia, tetapi untuk menyelamatkan dunia melaluinya.+
18 Sesiapa yang beriman kepadanya tidak akan dihakimi.+ Sesiapa yang tidak beriman telah pun dihakimi kerana dia tidak beriman kepada nama Anak tunggal Tuhan.+
19 Walaupun cahaya telah masuk ke dalam dunia,+ orang mencintai kegelapan dan bukannya cahaya kerana perbuatan mereka jahat. Itulah sebabnya mereka dihakimi.
20 Sesiapa yang mengamalkan perbuatan keji membenci cahaya dan tidak datang kepada cahaya, supaya perbuatannya tidak didedahkan.
21 Tetapi sesiapa yang melakukan apa yang benar datang kepada cahaya,+ supaya perbuatannya menunjukkan bahawa dia bertindak selaras dengan kehendak Tuhan.”
22 Selepas itu, Yesus dan murid-muridnya pergi ke kawasan desa di Yudea. Di situ, dia meluangkan sedikit masa dengan mereka dan membaptis orang.+
23 Tetapi Yohanes juga membaptis orang di Ainon, tempat yang berhampiran dengan Salim, kerana tempat itu mempunyai banyak air.+ Orang berduyun-duyun datang untuk dibaptis.+
24 Pada masa itu, Yohanes belum dipenjarakan.+
25 Murid-murid Yohanes mula bertengkar dengan seorang Yahudi mengenai adat penyucian.
26 Kemudian mereka datang kepada Yohanes dan berkata, “Rabbi, lihatlah lelaki yang pernah bersama Rabbi di seberang Sungai Yordan. Rabbi ada memberikan kesaksian tentang dia,+ tetapi sekarang dia membaptis orang dan semua orang pergi kepadanya.”
27 Lalu Yohanes menjawab, “Seseorang tidak dapat menerima apa-apa kecuali Tuhan memberikannya kepada dia.
28 Kamu sendiri menjadi saksiku bahawa aku berkata, ‘Aku bukanlah Kristus,+ tetapi aku telah diutus terlebih dahulu daripadanya.’+
29 Pengantin perempuan ialah milik pengantin lelaki.+ Namun begitu, sahabat pengantin lelaki sangat bersukacita apabila dia berdiri dan mendengar suara pengantin lelaki. Oleh itu, sukacitaku sudah sempurna.
30 Bilangan murid-murid Kristus akan terus meningkat, tetapi bilangan murid-muridku akan terus berkurang.”
31 Dia yang datang dari atas+ lebih besar daripada semua orang. Dia yang datang dari bumi adalah dari bumi, dan dia bercakap tentang perkara-perkara di bumi. Dia yang datang dari syurga lebih besar daripada semua orang.+
32 Dia memberikan kesaksian tentang apa yang telah dilihat dan didengarinya,+ tetapi tiada orang yang menerima kesaksiannya.+
33 Orang yang menerima kesaksiannya mengesahkan* bahawa firman Tuhan adalah benar.+
34 Orang yang diutus oleh Tuhan menyampaikan perkhabaran daripada Tuhan+ kerana Tuhan memberikan kuasa suci-Nya secara berlimpah-limpah.
35 Bapa mengasihi Anak+ dan telah menyerahkan segala-galanya ke dalam tangannya.+
36 Sesiapa yang beriman kepada Anak akan meraih kehidupan kekal,+ tetapi sesiapa yang tidak patuh kepada Anak tidak akan meraih kehidupan.+ Sebaliknya, kemurkaan Tuhan akan tetap ada padanya.+
Nota Kaki
^ Atau mungkin, “dilahirkan dari atas.”
^ Harfiah, “ditinggikan.”
^ Harfiah, “sudah meletakkan meterainya.”