Yehezkiel 2:1-10
2 Dia berfirman kepada aku, “Anak manusia,* berdirilah. Aku hendak berfirman kepadamu.”+
2 Apabila Dia berfirman kepadaku, kuasa suci-Nya menguasai aku lalu aku dapat berdiri+ dan mendengar Dia berfirman.
3 Dia berfirman, “Anak manusia, Aku mengutus engkau kepada orang Israel,+ iaitu bangsa-bangsa yang telah menentang dan memberontak terhadap Aku.+ Mereka dan nenek moyang mereka telah berdosa terhadap-Ku dari dahulu sampai sekarang.+
4 Aku mengutus engkau kepada anak-anak yang suka memberontak dan keras kepala.+ Engkau harus berkata kepada mereka, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.’
5 Bangsa Israel suka memberontak,+ jadi sama ada mereka mendengar engkau atau tidak, mereka akan tahu bahawa ada seorang nabi dalam kalangan mereka.+
6 “Tetapi engkau, hai anak manusia, janganlah takut akan mereka+ atau kata-kata mereka, meskipun engkau dikelilingi duri dan semak berduri,*+ dan hidup di tengah-tengah kala jengking. Janganlah takut akan kata-kata mereka,+ dan janganlah gentar semasa engkau nampak wajah mereka+ kerana mereka memang suka memberontak.
7 Sama ada mereka mendengar atau tidak, engkau harus menyampaikan firman-Ku kepada mereka yang suka memberontak itu.+
8 “Hai anak manusia, dengarlah firman-Ku. Janganlah memberontak seperti bangsa Israel yang suka memberontak. Bukalah mulutmu dan makanlah apa yang Aku berikan ini.”+
9 Ketika aku memandang, aku nampak tangan yang terhulur ke arahku.+ Tangan itu memegang sebuah gulungan yang bertulis.+
10 Apabila gulungan itu dibuka, aku nampak ada tulisan pada kedua-dua belahnya,+ dan padanya tertulis lagu-lagu ratapan, keluhan, dan rintihan.+
Nota Kaki
^ “Anak manusia” digunakan buat kali pertama di ayat ini. Gelaran ini muncul sebanyak 93 kali di dalam buku Yehezkiel.
^ Atau mungkin, “meskipun mereka berdegil dan meskipun mereka seperti benda-benda tajam yang menusuk engkau.”